top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Gangguan Di Hotel Pulau Langkawi...

Assalamualaikum KC,


Gelaran saya Sasha, ingin berkongsi cerita dan pengalaman saya sewaktu bercuti di Pulau Langkawi. Memang sudah menjadi kebiasaan saya, suami, abang saya, dan salah seorang teman karibnya, kami berempat akan pergi bercuti bersama setiap tahun. Ia ibarat sesuatu yang dinanti-nantikan dan sangat-sangat diperlukan setelah bekerja keras sepanjang tahun. Kirakan ini sesuatu yang kami hadiahkan untuk diri masing-masing.


Pada tahun tersebut kami berempat pergi ke Pulau Langkawi. Kami telah menempah sebuah hotel di daerah Kuah. Kami menempah hotel tersebut kerana saya suka dengan seni bina dan reka bentuk hotel itu seperti sebuah istana. Setibanya kami di hotel, kami diberitahu bahawa bekalan elektrik putus untuk kawasan di situ untuk beberapa jam. Memang jalan raya menuju ke hotel gelap dan kami hanya beritahu pegawai di resepsi kami ingin masuk ke dalam bilik kami untuk bersihkan diri. Jadi kami pun ke bilik masing-masing.


Masa ketika itu sekitar 5 lebih petang hampir pukul 6. Masih ada cahaya matahari di luar, tapi tidak ada alat pendingin hawa ataupun lampu di bilik. Walaupun tidak ada bekalan elektrik, saya rasa gembira sangat kerana bilik kami sangat cantik. Jadi saya dan suami berkemas-kemas, bersihkan diri dan bersolat jemaah bersama. Sempat kami tunaikan solat Asar dan tunggu waktu Maghrib tiba.


Yang peliknya sejurus kami masuk ke dalam bilik, semuanya elok belaka. Selepas menunaikan solat Maghrib dan kami menerangkan bilik dengan menyalakan fungsi lampu suluh dari telefon bimbit, kami bersiap-siap untuk ke pasar malam di daerah situ. Tiba-tiba hidung saya terhidu sesuatu bau yang tidak enak seperti bau muntah. Saya mula menjadi jengkel. Saya dah cuba untuk tidak hiraukan bau itu tapi tidak boleh.


Saya mengadu kepada suami dengan nada suara bingit, “B! Awak bau tak? Kenapa ada bau muntah kat sini? Saya tak boleh tahan seh!” Suami pun mula menghidu dan dia pun bersetuju. Yang hairannya, bau itu berada di kawasan tempat saya sedang bersiap. Bila beredar dari kawasan itu sedikit pun tidak ada bau muntah walaupun sedikit. Lagi satu, semasa kami baru masuk ke dalam bilik, saya duduk di kawasan yang sama sambil menyusun barang mekap saya, langsung bau itu tidak wujud. Suami pun berkata, “Dahlah buat bodoh, Jom pegi pasar malam, Abang awak dengan kawannya dah menunggu..."


Kami pun keluar ke pasar malam, beli makanan dan patah balik hotel. Alhamdullilah, setelah kembali ke hotel, bekalan elektrik sudah pun disambungkan semula. Kami berempat naik ke bilik kami untuk makan bersama-sama. Selepas makan, dah penat, Abang dan kawannya pulang ke bilik mereka. Saya dan suami pun bersihkan diri, suami dahulu sebelum saya menyusul.


Sedang saya mencuci muka di dalam tandas, saya melihat cermin dan mata saya terpandang refleksi cermin. Di belakang saya merupakan almari besar tetapi saya ternampak di depannya ada makhluk hitam, kurus dan tinggi, badannya seperti seorang lelaki kurus tetapi lehernya panjang! Saya istighfar dalam hati. Mulut agak berat untuk memanggil suami saya. Saya diam dan sambung mencuci muka. Saya tidak beritahu suami sehingga keesokan harinya.


Keesokan paginya sewaktu bangun Subuh tiada lagi bau muntah tetapi telekung saya kotor dengan kotoran berwarna cokelat. Seperti tapak kaki seekor binatang. Saya dan suami punya terkejut dan tidak dapat terkata apa-apa. Nasib baik, sewaktu kami di pasar malam pada malam sebelumnya, saya ade beli telekung baru. Waktu untuk sarapan, kami berempat pergi ke bawah untuk makan dan saya bercerita apa yang saya nampak semalamannya serta kejadian pada waktu Subuh.


Abang saya pula bercerita, beliau tidak dapat tidur. Sambil menonton televisyen beliau menyunting klip video yang dirakam di telefon bimbit untuk dimuatnaikkan ke aplikasi Instagram. Dengan tidak sengaja, dia terakam sesuatu, seperti seorang perempuan sedang menangis, sayup dan perlahan bunyinya diikuti suara anjing menyalak. Abang saya memperdengar saya rakaman tersebut. Saya pun menyuruh Abang untuk membuang klip video rakaman tersebut.


Malamnya, kami hanya bungkus makanan dari KFC dan balik ke hotel. Selesai mkn, saya menyuruh suami letakkan plastik makanan yang mengandungi sisa-sisa makanan di luar pintu hotel. Suami berkata yang dia dah malas dan menyuruh saya pula. Saya dengan perasaan takut, dengan pantas membuka pintu dan cepat-cepat letak di luar. Silap saya, saya tidak mengikat beg plastik itu kerana takut dan hendak cepat.


Keesokan paginya sedang saya bersiap untuk aktiviti kami, bau muntah itu muncul sekali lagi. Tiba-tiba loceng bilik kami berbunyi berkali-kali. Suami pun buka pintu, kawan Abang saya di luar pintu kami dengan muka terkejut. Plastik KFC itu terburai dan segala sisa-sisa serta tulang-tulang di dalamnya semua bersepah di depan pintu bilik saya. Ya Allah, itulah peristiwa dan pengajaran buat saya.


Assalamualaikum...

Yang benar,


Sasha

3,713 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page