Assalamualaikum KC,
Saya Nurul dari Kuala Terengganu. Saya ingin berkongsi pengalaman saya sembilan tahun
lepas. Cerita yang saya ingin sampaikan ini adalah cerita yang benar-benar berlaku.
Saya adalah seorang jururawat di salah sebuah pusat jagaan warga tua di negeri Johor. Tempat saya bekerja mempunyai tiga tingkat di mana pesakit-pesakit yang terlantar di katil ditempatkan di tingkat bawah bagi kemudahan kecemasan. Di tingkat bawah ini terdapat dua wad iaitu satu wad untuk pesakit lelaki di tepi pintu lif dan satu lagi wad untuk pesakit
wanita yang terletak di hujung bersebelahan dengan bilik mayat. Biasanya pesakit di tingkat bawah adalah pesakit-pesakit yang tidak mampu menguruskan diri sendiri dan kebanyakan adalah pesakit strok dan koma. Setiap wad ada lima buah katil dan pesakit dijaga seorang jururawat.
Pada malam kejadian saya ditugaskan di bahagian wad wanita. Kebiasaannya saya akan bekerjasama dengan rakan setugas dari wad lelaki. Jam lebih kurang 12 malam setelah selesai kami memeriksa pesakit. Saya dan rakan bercadang untuk merehatkan badan di lantai mengalaskan linen. Saya mengalaskan linen tersebut antara katil pesakit kiri dan kanan (kerana disitu terdapat ruang yang luas sedikit). Kami mematikan semua lampu kecuali lampu katil setiap pesakit.
Sedang saya dan rakan saya Ain bersembang, tiba-tiba kami terdengar seperti ada orang cuba membuka laci meja pesakit kami. Untuk pengetahuan semua, meja kayu pesakit ada tiga buah laci (meja kayu dari Ikea). Saya dan Ain terus terdiam kerana terperanjat kenapa tiba-tiba ada bunyi seperti orang menarik laci ingin mengambil sesuatu sedangkan semua pesakit kami hanya mampu terbaring.
Saya dan Ain cuba mengintai di sebalik tirai katil pesakit kami, namun tiada sesiapapun. Saya dan Ain sambung berbaring. Kami tidak lelapkan mata pun, cuma kami rasa penat sangat dan bila duduk di kaunter jururawat, terasa lenguh lain macam pada malam itu. Saya dan Ain memandang antara satu sama lain. Selang beberapa minit, tiba-tiba ada bunyi seperti seseorang cuba membuka pintu wad kami.
Saya dan rakan bingkas bangun sebab mungkin bos kami datang untuk buat pemeriksaan mengejut, namun tiada sesiapapun yang datang dan pintu tertutup semula. Kami terdiam. Pintu untuk masuk ke dalam wad kami diperbuat dari pintu kayu dan apabila dibuka memang akan berbunyi. Selepas itu, kami sambung berbaring semula di bawah. Tiba-tiba salah seorang pesakit kami yang mengalami angin ahmar menjerit, "Missy! Missy!"
Saya dan rakan terus bangun menuju ke katil pesakit kami. Kami memanggil pesakit
kami dengan panggilan “Popo” yang bermaksud nenek.
Saya: "Popo… Kenapa ni?"
Popo: "Missy! Ada hantu datang! Ada hantu datang! Ada dua orang askar Jepun mahu bunuh kita! Dia ada dekat pintu!"
Saya dan Ain terkejut kerana sebenarnya pesakit itu sudah lama terkena angin ahmar dan sudah lama tidak boleh bercakap! Kami betul-betul terkejut sebab pada malam itu dia boleh bercakap dan kami faham dengan jelas apa yang dia katakan. Selepas mendengar apa yang diberitahu oleh pesakit itu, bulu roma kami terus meremang. Kami cuma mampu memujuknya untuk tidur sebab kami dah rasa lain macam. Selepas habis waktu bertugas pada jam 7 pagi, kami menceritakan kepada rakan rakan kami yang lain dan mereka
terkejut sebab mereka tidak pernah mengalami situasi tersebut.
Sudah beberapa kali kejadian aneh berlaku di tempat kerja saya. Pernah beberapa kali ketika saya bertugas pada syif malam, terdengar suara mengilai yang sangat jelas dan tapak kaki kanak-kanak yang menaiki tangga. Pada waktu malam sememangnya peraturannya tiada pelawat yang dibenarkan datang dan saya pula jenis suka menegur. Pernah masa terdengar suara mengilai yang saya pun tak tahu datang dari arah mana, saya terus menegur, “Eh, bunyi apa tu?”, terus kena marah dengan rakan setugas saya. Sebelum tempat itu dijadikan pusat jagaan warga tua, bangunan itu memang sudah lama kosong dan terbiar.
Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya...
Comments