top of page
Search

Gangguan Di Rumah Lama Di Pasir Ris!

Selamat Malam Seram!


Saya Sab. Cerita ini berlaku pada tahun 2015 di kawasan Pasir Ris. Pada waktu itu saya baru berpindah ke rumah baru saya. Baru pun tak lah baru sangat, rumah yang dijual semula. Rumah kami besar sekali. Ada dua ruang besar. Saya mempunyai lima orang anak dan ketika itu anak-anak saya yang lebih dewasa berumur antara 8, 9 dan 10 tahun, yang kecil merupakan kembar berusia dalam tiga tahun. Kejadian seram ini berlaku kira-kira dua tahun setelah kami berpindah.


Pada mulanya bekas suami saya sedang membuat susu kat dapur. Saya dengan anak-anak di dalam bilik anak saya yang pertama kerana biliknya besar sekali. Saya terdengar bekas suami saya seperti berkata, "Tidur sana!" di dapur. Bila dia masuk bilik, saya bertanya, "Kenapa bising-bising kat dapur?" Dia pun bertanya siapa yang bermain sembunyi-sembunyi di luar pintu dapur? Saya pun berkata, "Mana ada? Kan semua dah tidur ni..." Selepas itu saya pun masuk tidur.


Esoknya saya bawa anak-anak balik dari rumah penjaga anak-anak saya. Waktu itu pembantu kami belum sampai ke Singapura. Pada sebelah malamnya sekitar jam 10.30 malam, sedang kami sedang menonton televisyen, tiba-tiba anak perempuan saya yang nombor tiga terpekik dan menangis. Saya pun lari masuk ke bilik dan bertanya kenapa dia menangis? Dia peluk saya kuat-kuat sambil tunjuk di belakang pintu. Saya hidupkan lampu bilik, namun tidak nampak apa-apa.


Pada esoknya saya bertanya padanya kenapa dia menangis? Dia pun ceritakan yang pada malam semalamnya ada perempuan berambut panjang berdiri di belakang pintu dengan matanya yang agak kemerahan. Rambutnya panjang sekali. Saya pun jadi takut! Kami hanya buat endah tak endah kerana saya penakut orangnya. Mujur tidak ada sebarang gangguan hinggalah tiba ketika pembantu saya telah pun tiba di Singapura untuk bertugas di rumah kami.


Pada satu hari, saya pulang kerja sekitar jam 7 malam. Saya ternampak burung tiong di luar rumah saya. Saya perhatikan burung tiong ini seperti sedang berbual. Saya perhatikan paruh burung tiong itu seperti sedang berkumat-kamit. Saya menjadi rasa takut. Bila pembantu saya tutup pintu, saya terus menghendap pada lubang pintu. Saya ternampak burung itu masih ada. Dengan sekelip mata saya terperasan burung itu terbang berlalu pergi namun yang memeranjatkan saya, sayapnya besar seperti burung angsa!


Beberapa bulan kemudian kami membuat acara rumah terbuka sambil menonton bola sehingga pukul 3 pagi. Setelah tetamu beredar dan kami habis mengemas, kami pun masuk tidur. Saya tidur di sebelah bawah dan bekas suami saya tidur di atas katil bersama anak saya yang sulung. Bila saya hendak lelapkan mata, saya terdengar suara garau di telinga saya sebelah kiri. Saya pun menyuruh bekas suami tidur bawah di sebelah saya. Esoknya saya demam selama dua hari kerana terlalu takut!


Bila saya tahu rumah saya banyak gangguan, saya beritahu seorang pakcik saya. Bekas suami saya juga selalu terkena gangguan benda-benda aneh. Dia pernah mendengar alat tutup periuk diketuk-ketuk dan melihat kelibat budak kecil bermain sembunyi-sembunyi. Pembantu saya pun mengalami pengalaman yang hampir serupa dengan bekas suami. Pakcik saya pun datang pada waktu senja keesokan harinya untuk melihat keadaan rumah saya dengan membawak sebotol air yang telah dibaca dengan ayat-ayat suci.


Mulanya sebelum azan Maghrib, setelah meninjau dan berjalan sekitar dalam rumah, dia berkata tidak ada apa-apa. Namun setelah beberapa minit selepas masuk waktu Maghrib, sekali lagi pakcik saya berjalan lagi di seluruh kawasan dalam rumah. Kali ini dia memberitahu bahawa bilik anak saya ada susuk tubuh seperti Kakak Cantik sedang duduk di atas almari anak saya! Namun makhluk itu hilang setelah pakcik saya merenjis air tadi ke dalam bilik, terutama sekali di bahagian atas almari tersebut.


Esoknya pakcik saya datang lagi untuk menghalau benda ini sekali lagi. Pakcik saya memberitahu benda ini suka duduk dalam bilik anak saya. Sebenarnya dalam bilik anak saya ada satu gambar besar seperti satu lukisan di mana ada lima ekor kuda berwarna cokelat, hitam dan putih. Kami memang perasan bila kami mematikan lampu, salah satu kuda di dalam gambar itu punya mata yang bernyala merah. Tapi memang tidak kami endahkan kerana sangkakan ia hanya efek gambar seperti efek "glow-in-the-dark".


Setelah mengetahui cerita di sebalik gambar itu, bekas suami pun terus membuangnya dan kami pun terus mencari jalan untuk berpindah ke rumah baru selepas itu kerana tidak tahan dengan gangguan di dalam dan di luar rumah lama kami itu.


Sekian terima kasih...

259 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page