top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Gangguan Penggera Telefon

Assalamualaikum KC,


Nama saya Pijan, berasal dari Perlis. Kisah yang ingin saya kongsi ini berlaku di sebuah pulau lagenda di Malaysia, iaitu Pulau Langkawi. Ssaya pasti ramai pendengar pernah pergi ke sana. Kejadian ini berlaku lebih kurang sekitar tahun 2015. Saya dan dua orang sepupu telah merancang untuk pergi ke sana sewaktu berlansungnya pertunjukkan LIMA Langkawi 2015. Untuk pengetahuan mereka yang tidak berada di Malaysia, pertunjukan LIMA ini diadakan setiap dua tahun dan merupakan pameran serta pertunjukan laut dan udara oleh kapal-kapal laut dan jet-jet pejuang dari syarikat-syarikat aviasi dan perkapalan terkemuka di seluruh dunia.


Di Langkawi, saya ada seorang makcik yang menetap di sana. Biarlah nama kampungnya saya rahsiakan tetapi berdekatan dengan Pantai Kok. Kami cuma bermalaman selama dua malam sahaja di sana. Bila dah puas menonton pertunjukan jet pejuang sewaktu acara LIMA tersebut, kami pun pergi meronda-ronda di sekitar Pantai Cenang hingga ke Dataran Helang. Sampai di rumah makcik lebih kurang pukul 10 malam.


Semasa kami pulang ke rumah makcik saya, beliau dah pun masuk tidur tetapi pintu rumahnya tidak dikunci. Makcik dah bagitahu saya sebelum kami pulang bahawa dia tidak mengunci pintu, jadi kami bertiga boleh terus masuk saja. Setelah mandi dan melakukan yang lazim, kami pun terus baring dalam bilik yang makcik dah sediakan buat kami bertiga berehat dan tidur. Bilik itu sebenarnya bilik anak makcik saya tetapi anaknya tidak ada sewaktu kami ke sana kerana melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Kuala Lumpur.


Dalam keadaan letih seharian meronda, kami bertiga terus tertidur. Sepupu saya seorang berada di atas katil dan seorang lagi di bawah. Sebab katil sepupu saya yang pergi melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur, hanya muat untuk seorang saja. Sedang kami nyenyak tidur, tiba-tiba bunyi penggera telefon bimbit salah seorang dari sepupu saya berbunyi. Telefon bimbit itu diletak atas almari solek. Kalau tak silap, pukul 2 pagi macam tu ia berbunyi.


Saya yang pertama terjaga lalu terus mengejut sepupu saya dan memberitahunya bahawa penggera telefonnya berbunyi. Dia pun bangun dan bertanya, "Eh siapa yang letak jam pukul 2 pagi ni?" Saya dalam keadaan sedar tidak sedar terus sambung tidur. Dalam masa sepuluh hingga lima belas minit kemudian, penggera itu berbunyi lagi. Saya masih dalam keadaan sedar tidak sedar terjaga dan saya sendiri yang bangun untuk menutup penggera itu. Seingat saya memang saya dah hentikan bunyi penggera itu tetapi apa yang terjadi selepas itu, saya baru nak lelap semula apabila ia berbunyi kembali! Ketika itu baru saya rasa bulu roma saya mula meremang!


Pada awalnya saya rasa mengantuk dan letih, terus hilang semua rasa itu. Bila saya lihat dua orang sepupu saya masih nyenyak tidur, saya tidak kejutkan mereka, malah saya bangun sekali lagi dan matikan terus telefon bimbit sepupu saya. Saya kembali ke tempat tidur dan cuba lelapkan mata kerana tidak mahu rasa ketakutan terus-menerus. Apa yang mengejutkan, beberapa minit kemudian, bunyi penggera telefon bimbit sepupu saya berbunyi sekali lagi! Saya terus selubung diri dan terus tidur tanpa hiraukan bunyi itu.


Tika tiba waktu Subuh, saya dikejutkan oleh sepupu saya yang hairan kenapa saya tidur di bawah dan bukan di atas. Dia memberitahu saya ketika sedang tidur, dia rasa ada sesuatu sedang tidur menghimpit di sebelahnya. Dia sangkakan mungkin itu saya atau sepupu yang lagi satu yang turut tidur di bawah. Dia cuba menolak tapi benda itu tidak bergerak. Bila dia buka mata, dia ternampak satu badan besar dan hitam di sebelahnya.


Itulah pengalaman kami di sana. Bila saya ceritakan hal ini kepada makcik saya, dia berkata bahawa dia juga pernah rasakan perkara yang sama seperti ternampak kelibat seperti ada orang melintas atau mundar-mandir di dalam rumah. Setelah itu dia pergi berjumpa seorang ustaz. Apa yang ustaz bagitahu, benda yang mengganggu itu sebenarnya milik seorang jiran kampung itu juga kerana tuannya sudah meninggal dunia dan makhluk itu tidak ada tempat untuk bergantung. Alhamdulillah sekarang sudah tidak ada gangguan apabila saya menginap di sana.


Terima kasih...

265 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires

Noté 0 étoile sur 5.
Pas encore de note

Ajouter une note
bottom of page