top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Gangguan Rumah Sewa AirBNB

Assalamualaikum KC,


Saya ingin menceritakan kisah saya apabila saya sedang berlibur di Kuala Lumpur. Nama samaran saya adalah Ella, ibu bapa saya pengemar rancangan kelolaan KC dan setiap malam mereka mendengar jadi saya tidak mahu mereka tahu ini saya. Saya bersama tiga orang teman ingin bercuti dan kami pada waktu itu umur saya baru lapan belas tahun. Umur yang paling tua pun baru mencecah dua puluh tahun saja. Ini kali pertama kami semua pergi ke luar negara tanpa keluarga atau bimbingan orang tua dan ibu bapa saya hanya mengizinkan saya pergi jikalau tidak ada lelaki, namun dua orang teman saya membawa pasangan mereka. Jadi sebab itu saya tidak mahu memberitahu nama saya.


Kami sampai di KL pada waktu pagi, sejam sebelum masuk waktu Subuh. Kami semua mencari rumah sewa AIRBNB di salah sebuah kawasan yang terkenal di KL. Seorang pasangan teman saya bernama Aiman, membaca ayat-ayat suci sebelum masuk, tapi mungkin kerana masih jam 4 lebih pagi pada ketika itu, suasana di dalam rumah sewa itu agak ngeri. Kami pun memutarkan surah-surah Ruqyah di seluruh rumah sambil kami mengeluarkan barang-barang keperluan dari dalam beg bagasi kami. Yang perempuan semua tidur di dalam bilik tidur yang besar, dan yang dua lelaki di bilik tidur yang kecil.


Pada hari kedua, kami menonton filem seram berjudul "Pengabdi Setan" di panggung wayang kerana filem ini belum lagi ditayangkan di pawagam merata Singapura pada ketika itu. Kami menonton filem itu agak lewat pada pukul 10 malam jadi apabila berakhir tayangan, semua kedai sudah pun tutup dan kami tiada pilihan untuk ke mana-mana dan terpaksa pulang ke bilik sewa kami.


Salah seorang lagi pasangan teman saya mulutnya pula agak celupar, dia berlagak bongkak selepas menonton filem itu.


"Alah tak ada apa-apa lah... Ni semua tipu je la..." - Yazid (nama samaran)


"Eh awak diamlah, nanti kena kacau, padan muka awak!" Pasangannya Nana memarahinya.


Sampai sahaja di rumah, saya mandi dulu kerana ingin tunaikan solat Isyak. Saya keseorangan di dalam bilik kerana yang lain di ruang tamu. Apabila saya mengangkat tangan saya untuk mengucapkan dan memulakan solat saya selepas berniat, "Allahu Akbar!" tiba-tiba kedengaran seperti ada orang sedang mengetuk tingkap. Bulu roma saya tiba-tiba meremang, kerana bilik sewa kami terletak di tingkat lima! Macamana boleh ada ketukan di tingkap? Saya diamkan diri dan tidak memberitahu teman-teman saya kerana mereka semua dasarnya memang penakut.


Keesokan hari, selepas makan lewat malam, Yazid keluar bilik kami dan berjalan ke penghujung bangunan untuk membuang sampah. Waktu itu sekitar satu lebih pagi. Kami yang sedang berehat di ruang tamu terperanjat melihat Yazid bergegas masuk ke dalam bilik dan terdiam kerana selalunya dia yang jenis kecoh dan bising. Mulutnya sentiasa mengusik sesiapa saja yang dia suka. Kami tidak endahkan dan masuk tidur.


Tidak lama kemudian, tiba-tiba pasangan Yazid, Nana, bangun dari katil dan pergi ke ruang tamu. Saya dan teman saya yang lagi satu masih sibuk berceloteh. Setelah beberapa minit, Nana masuk semula dan mengangkat tilam di bawah katil sambil merungut yang Yazid suruh temankannya tidur di ruang tamu. Kami pun keluar dari bilik dan melihat Yazid sedang duduk di atas sofa dan berdiam sambil menghisap rokok. Dia agak keberatan untuk berbual jadi dia hanya berkomunikasi menerusi pesanan Whatsapp kumpulan kami.


Yazid: "Korang nak tahu apa aku nampak tadi?"

Nana: "Apa?"

Teman lagi seorang bernama Aila: "Yaz kau ok tak?"

Saya: "Apa kau nampak?"

Yazid: "Takpelah, besok saja aku ceritakan..."


Pada malam itu juga, kami terkena gangguan. Saya sedang di bilik tapi si Yazid tiba-tiba menghantar pesanan kepada saya.


Yazid: "El? Kau ada keluar bilik eh?"

Saya: "Tak ah, aku tengah baring ni sebelah Aila. Kenapa?"

Yazid: "Sumpah, aku, Nana dengan Su (teman wanita lagi satu yang meneman mereka di ruang tamu) nampak kau keluar bilik..."

Saya: "Wei, pintu bilik aku tutup dari tadilah..."


Saya fikirkan ini adalah salah satu gangguannya kerana seperti saya katakan tadi, dia jenis suka kacau dan mengusik orang. Saya pun tidak berfikir panjang. Tiba-tiba pintu balik saya seperti ada ketukan. Tapi ketukannya perlahan tapi dalam keadaan cepat. Bilik saya cuma ada Aila dan saya dan Aila jenis cepat tidur orangnya. Saya pun ketakutanlah tapi kuatkan semangat dan cuba untuk tidur.


Tak lama gitu, kedengaran suara Su tiba-tiba memekik, "OI! JANGAN MAIN MAIN LAH!"


Saya pun terperanjat lalu keluar bilik dan nampak yang lain di depan bilik air. "Kenapa?" saya bertanya. "Tadi lampu bilik air tiba-tiba termati. Siapa yang matikan?" Su bertanya. "Kita semua dalam bilik tengah nak tidur Su, apa kau merepek?" "Sumpah! Aku tak tipu!" balas Su dengan nada marah bercampur takut. Kami pun semua berkongsi pengalaman masing-masing diganggu. Si Yazid pun ceritakan yang dia ternampak lembaga hitam di kawasan tong sampah, itu yang membuat dia terdiam.


"Takpe, kita semua duduk di ruang tamu dulu..." Aiman berkata dan kami semua sedang stres tentang keadaan yang melanda kami. Malam itu sukar untuk kami lelapkan mata dan kami terpaksa tunggu sehingga waktu Subuh sebelum semua masuk tidur. Kami tidak pasti benda ini mengganggu kerana filem seram yang kami tonton ataupun rumah sewa itu memang seram dan punya sejarah tersendiri.

Itu sahaja kisah saya. Sehingga hari ini, kami tidak tahu apa yang mengganggu kami.

Salam,


Ella

406 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page