top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Gangguan Setelah Menerima Pemberian Orang

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,

Saya Eda dari Bukit Panjang ingin berkongsi sebuah misteri yang terjadi kepada saya beberapa tahun lepas pada satu hari Khamis malam Jumaat. Seperti biasa habis kerja, saya dan suami akan mengambil anak-anak kami yang ketika itu berusia di antara tujuh bulan hingga 4 tahun dari rumah ibu dan terus balik ke rumah kami. Rumah saya dengan ibu dekat saja, hanya mengambil masa dalam 10 hingga 15 minit berjalan kaki. Kerana saya dan suami bekerja, maka hari-hari kami menghantar anak-anak ke rumah ibu, kecuali pada hujung minggu kerana saya tidak bertugas dan berada di rumah.

Kisahnya terjadi tatkala saya sampai di rumah ibu dan duduk rehat sambil menunggu ibu habis menunaikan solat. Lalu nenek saya berkata, “Da, nampak tak dua periuk atas meja tu? Ada orang beri pada mak kau, katanya sayang nak buang. Nenek dengar mak kau nak bagi pada kau sebab masih nampak cantik lagi...” Saya pun berkata pada nenek, “Memanglah lawa Nek, tapi masalahnya nak letak mana periuk tu?” Tak lama kemudian ibu pun keluar dari bilik sambil berkata, “Kau kan suka warna merah jambu. Lawa ni... Ambil lah... Mak tak nak sebab dah banyak sangat kat rumah. Bolehlah kau buat masak daging kari ke, ayam ke atau sup...

Sebenarnya berat sungguh hati saya hendak bawa pulang kedua-dua periuk itu. Pertama, mana saya nak letak kerana almari kabinet saya dah penuh dan kedua perasaan saya mengatakan bahawa saya tak perlu pun sebab jarang memasak di rumah. Lagipun macam seram sejuk bila saya pegang periuk itu. Kerana tak nak melukakan hati orang tua, saya terpaksa bawa pulang.

Dipendekkan cerita, saya dan anak perempuan saya yang berusia empat tahun belum tidur lagi pada malam itu. Yang lain semua telah dibuai mimpi. Saya sebenarnya memang dah rasa mengantuk tetapi kerana temankan anak, saya terpaksa bermain permainan video melalui aplikasi telefon bimbit dan dia pula menonton YouTube di iPad. Tepat pukul 11:45 malam saya terdengar bunyi hentakan kuat di dinding bilik saya. Saya dan anak saya saling berpandangan antara satu sama lain.

Bunyinya semakin lama semakin kuat. Kemudian saya terdengar bunyi orang jalan seret kaki, jalan ke hulu ke hilir depan bilik tidur saya. Rumah saya di penghujung koridor tingkat blok saya, jadi jalan masuk ke bilik tidur dari ruang tamu seperti lorong kecil. Rumah saya memang jenis rumah lama. Bila hendak masuk ke bilik kena jalan sampai hujung dan sebelah bilik saya merupakan bilik stor. Jadi bayangkan, kedengaran sesuatu berjalan ke hulu ke hilir menyeret kakinya lalu berhenti sejenak di depan pintu bilik saya dan mencakar pintu berkali-kali. Ia cakar dan hentak tembok berkali-kali. Saya dari baring dalam keadaan tiarap di hujung katil terus baring sebelah anak-anak saya, takut kalau ada yang masuk bilik.

Tiba-tiba kucing saya bising di luar, dengan bunyi suara yang kuat dan garang. Saya takut untuk keluar dan tak tahu apa yang terjadi. Selang lima belas minit kemudian, tiba-tiba senyap. Saya pandang sekeliling bilik, takut kiranya ia berada di dalam. Saya cuba untuk lelapkan mata namun tidak berjaya, hanya diam dan matikan diri sehingga pukul satu pagi, apabila anak saya yang berusia tujuh bulan bangun untuk disusukan.

Saya terpaksa beranikan diri untuk keluar membuat susu. Saya keluar mencari kucing saya dan mendapati ia berada di depan pintu rumah sambil duduk di situ. Saya buat bodoh dan saya mengomel sendiri sambil membuatkan anak saya susu, lalu terdengar suara yang sama mengikut saya mengomel! Saya terdiam seketika kerana terperanjat, pusing perlahan-lahan terus bergegas ke dalam bilik saya lalu menutup pintu bilik. Sekali lagi saya terdengar untuk kali terakhir hentakan di tembok.

Keesokan harinya di tempat tugas saya pun memberitahu suami apa yang terjadi pada malam semalamnya, saya kena marah kerana tak kejutkannya. Lantas balik rumah suami saya membuat sesuatu dalam pinggan putih di dapur. Saya kurang pasti apa dia buat atau letak, tapi saya tahu yang ini untuk "benda" itu. Saya memang dah beberapa malam tidak keluar dari bilik untuk buatkan anak susu. Saya bawa semua perkakas untuk membuat susu termasuk tempat simpan air panas, ke dalam bilik kerana masih takut.

Selang beberapa hari kemudian, ibu saya menelefon bertanya tentang periuk itu. Ibu dan suami memang dah pesan agar jangan cuci periuk itu tetapi saya tidak ambil endah, saya cuci juga. Ibu berkata dia tidak sedap hati tentang periuk itu seperti ada yang tidak kena. Periuk itu adalah pemberian dari saudara ibu kerana saudara ibu mempunyai penyakit barah tahap keempat dan barangannya banyak disedekahkan kepada orang yang dikenali termasuk ibu saya. Lalu saya pun berkata, memang ada yang tidak kena kerana semasa saya mencuci periuk itu, seluruh bulu roma saya meremang, rasa seram sejuk dan saya pun ternampak beberapa helai rambut di celah-celah pemegang di tepi.


Bila ibu saya dengar apa yang terjadi, dia terus arahkan saya untuk buang periuk itu jauh dari rumah saya. Letak cuka kerana saya dah pun mencucinya. Lalu saya menelefon suami saya yang bertugas sebagai penghantar makanan untuk pulang sekejap kearna ibu dah arahkan untuk buang periuk tersebuh. Suami saya pun menyuruh saya mengambil tanah dan taburkan di dalam periuk itu dan tutup dengan suratkhabar, nanti dia akan pulang mengambilnya dan buang jauh dari kawasan rumah kami.

Periuk itu memang lawa, warna merah jambu dan berjenama Fujiwara. Lain yang dicari, lain pula yang datang. Itu saja kisah saya. Maaf kalau tidak seram tapi saya yang menulis ni rasa seram sangat bila teringat kembali. Itu saja kisah saya. Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya di blog Malam Seram!

Wassalam,


Siti Zuraidah Jamil

205 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page