top of page
Search

Gurauan Membawa Padah

Assalamualaikum KC,


Saya dikenali sebagai Hona oleh rakan-rakan rapat saya. Saye berumur dua puluh satu tahun pada bulan Disember ini. Saye ingin berpesan, kalau hendak bergurau dengan teman-teman seperti sergah-menyergah, biarlah jangan dilakukan pada waktu malam. Sebab kisah yang ingin saya ceritakan terjadi di sekolah ITE saya sewaktu saya masih menuntut kira-kira tiga tahun lalu.


Saya dan teman-teman seramai empat lelaki dan tiga perempuan memang sangat akrab. Sewaktu zaman pengajian, kami telah senaraikan seratus perkara yang kami perlu lakukan sebelum kami tamat pengajian di ITE. Salah satu di antaranya kami gelarkan sebagai Perang Gurauan atau dalam ertikata bahasa Inggerisnya "Prank Wars". Permainan ini merupakan perlawanan antara jantina. Saya merupakan ketua dalam merancang gurauan apa yang patut kami lakukan terhadap pihak lelaki.


Salah seorang teman perempuan saya, Nur, mempunyai kanta lekap berwarna merah yang dia tersalah beli. Saya pun menggunakan alat itu sebagai kesempatan untuk menjadi salah satu bahan gurauan. Gurauan yang akan kami laksanakan merupakan kerasukan hantu. Dipendekkan cerita, kami sekumpulan telah merancang selama dua minggu untuk laksanakan gurauan kami terhadap pihak lelaki. Sebelum ia dilaksanakan, kami berlatih dahulu di luar ketika waktu Maghrib, sejurus selepas menunaikan waktu solat. Kami jangka untuk laksanakan guarauan itu sekitar pukul 8 malam.


Saya orangnya boleh nampak benda-benda halus. Dari kecil hingga kini, hijab saya masih belum ditutup. Sewaktu berlatih kami bertiga ketawa berdekah-dekah kerana teman saya yang lagi satu, Fifi, tidak boleh berlakon dan tidak boleh membawa watak. Dalam kami berlatih sambil ketawa, saya rasakan seperti kami diperhatikan dari tingkat tujuh. Disebabkan gelap sangat, ia tidak berapa jelas untuk melihat lembaga yang sedang memerhatikan kami. Saya pun tidak endahkan. Jam 8 malam kami naik ke tingkat tujuh untuk melaksanakan gurauan tersebut ke atas budak lelaki.


Sebenarnya jalan cerita gurauannya begini. Nur terasa badannya lemah selepas berjalan lalu sebuah gereja yang telah dikosongkan dan sebuah tanah perkuburan pada hari sebelumnya untuk ke sebuah acara. Saya pula menggunakan peluang itu untuk memberitahu teman-teman lelaki yang lain dan sebab itulah Nur rasa lemah kerana mungkin ada benda yang mengikutinya pulang.


Selepas memberitahu budak lelaki tentang hal ini, Nur berlari ke tandas untuk "muntah" tapi sebenarnya dia perlu memakai kanta lekap yang berwarna merah itu. Saya pun mengikutnya ke tandas dan boleh dilihat dari raut muka teman-teman lelaki, ada seperti terasa cuak dan dahi berkerut seperti mengambil berat. Setelah memakai kanta lekap, saya memapah Nur yang badannya "lemah". Bila kami sampai di hadapan teman-teman lelaki, bermulalah episod gurauan kami.


Nur menolak saya seakan dia mempunyai kekuatan yang menakjubkan. Nur orangnya berbadan kecil dan saya pula tinggi besar sedikit. Kami berdua merupakan pelajar seni persilatan. Jadi kami tahu bagaimana hendak mengelak supaya tidak tercedera kerana gurauan kami pun ada babak seperti tumbuk-menumbuk sedikit. Selepas Nur menolak saya, semua terperanjat.


Salah seorang teman lelaki kami bernama Man memang susah hendak dikenakan. Selepas Nur dah kenakan teman-teman lelalki yang lain bernama Rish dan Didi, bermulalah bahagian kedua gurauan kami iaitu si Fifi pula yang "dirasuk". Saya telah merancang untuk menyuruhnya mengambil kunci untuk mengelar pergelangan tangannnya secara acah-acah sahaja. Sebenarnya di pergelangan tangannya ada bekas cakaran kucing peliharaannya, jadi saya menggunakan sebab itu untuk mewarnakan cakaran tersebut merah jadi nampak lebih menjadi.


Namun bila Fifi mula berlakon, saya ternampak sesuatu lari di belakangnya dan dia terus mula mengambil kunci untuk mengelar pergelangan tangannya. Saya pun apa lagi, tahu itu bukan Fifi dan terus mencapai kunci itu dari tangannya tetapi dia betul-betul kuat! Saiz badan Fifi pun lebih kecil sedikit dari saya sampaikan saya dengan Man harus bergelut dan menarik kunci itu dari tangannya. Semasa saya sedang menarik kunci dari tangannya, Fifi melihat saya dan memberi satu senyuman sinis. Bulu roma saya meremang terus!


Saya pun tahu itu bukan Fifi, lantas saya pun menyebut kalimah "Allahu Akbar!" berulang kali dan berjaya menarik kunci dari tangannya bersama Man. Saya memegang dahinya dan membaca Ayat Kursi dan Fifi terus pengsan. Nak tahu apa yang saya nampak di belakang Fifi? Cik Kak (Ponti) sedang berdiri tidak berapa jauh dari kami. Saya terus pekik, "Korang lari!" dan mereka semua lintang-pukang lari sebab mereka tahu saya ternampak sesuatu.


Saya cuba memapah Fifi tapi dia terlalu berat sangat. Saya memanda dah terbiasa untuk mengencang Fifi tapi kali ini saya betul-betul tidak mempunyai tenaga untuk memapahnya sehinggakan saya dan teman-teman lelaki lain terpaksa memanggil seorang lagi teman lelaki yang tinggi besar dan kuat untuk mengangkatnya, namun masih lagi berat. Kami berlima akhirnya berjaya memapah dan mengangkat Fifi ke tempat rehat yang mempunyai sebuah bangku.


Sambil memapah, saya membaca Ayat Kursi. Fifi tiba-tibe tertawa tanpa membuka mata sambil kami semua cuba memapah dan mengangkatnya bersama. Ketika dia mula tertawa, kami semua rasa seperti ingin meninggalkannya di situ tetapi tidak baik pula kan? Sampai sahaja di tempat rehat tersebut, saya terduduk di atas lantai dan mereka meletakkan Fifi di atas pangkuan saya dan mengambil air.


Walaupun saya seorang bekas pelajar ITE, saya dibesarkan dalam keluarga yang adik-beradik saya bersekolah di institusi madrasah. Saya mengambil air dan membaca Ayat Kursi, surah-surah tiga Qul dan Al-Fateha sambil merenjis air tersebut ke muka Fifi hingga dia tersedar. Saya menyuruhnya minum air tersebut dan sejurus selepas dia minum air tersebut, dia terus menangis ketakutan.


Dia berkata, "Aku tak dapat kawal diri aku... Aku tak tahu, tapi aku rasa lemah sangat. Itu bukan aku..." Saye pun mengajaknya membaca Ayat Kursi dengan saya dan mengingatinya tentang kebesaran Allah S.W.T. Jadi pesan saya kepada semua, jangan buat gurauan kerasukan sebab benda halus ini sentiasa perhatikan dan mungkin ingin turut serta bersama. Maaf sekiranya kisah saya ini terlalu panjang...

238 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page