Assalamualaikum,
Saya adalah salah seorang peminat Malam Seram. Sebelum itu saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Mila, berasal dari Pahang, mempunyai tiga orang adik-beradik. Mak dan ayah berniaga di sebuah kedai. Oleh kerana tugasan dan menjaga kedai, mereka bermalam di sana dan hanya akan pulang ke rumah seminggu sekali untuk rehatkan diri. Jarak rumah dan kedai sekitar 10 kilometer sahaja.
Sebelum pergi dan pulang dari kerja, Mila akan singgah di kedai mak dan ayah dan Mila akan membuat laporan apa-apa yang berlaku di rumah, hatta semut melintas di hadapan pintu bilik. Makanya hanya Mila yang menjaga / berada di rumah itu. Jarak rumah Mila dengan rumah jiran berdekatan dalam 400m-600m, jadi memang jauh dan kalau menjerit, memang tidak dengar. Rumah kampung katakan, biasalah jarak jauh antara rumah ke rumah.
Antara kisah yang terjadi pada Mila berlaku pada akhir tahun 2008, sebulan sebelum Mila tamatkan zaman bujang. Satu malam, Mila bermimpi berlari dan selamatkan ‘adik’ dari seseorang yang ingin membuat sesuatu hal yang tidak elok (secara realiti Mila tiada adik). Dalam ketakutan melarikan diri, Mila ternampak satu cahaya semakin lama semakin dekat dan dekat. Pada mulanya Mila gembira tetapi semakin dekat cahaya itu pada Mila dan "adik", kami merasa takut kerana cahaya itu datang dari orang-orang yang ingin buat sesuatu hal yang tidak elok pada "adik" Mila dalam mimpi itu.
Tiba-tiba terdengar satu suara meminta Mila membaca sepotong ayat dalam tulisan Jawi dari awal hingga akhirnya jika Mila mahu selamat. Kerana terlalu takut, Mila terus membacanya untuk menyelamatkan "adik". Apabila Mila membaca terdengar bunyian yang keluar dari mulut Mila bukan dari ayat suci Al-Quran, tetapi ia seperti mentera dalam bahasa Thai. Mila berhenti membaca dan terus berkata, "Ini bukan ayat suci Al-Quran, aku tak nak! Aku ada ALLAH, aku tak nak!"
Suara itu meminta Mila membacanya hingga habis. Mila masih menolak dan mengatakan, "TAK NAK!!! AKU ADA ALLAH, AKU ADA ALLAH... AKU ADA ALLAH…” sambil menjerit sekuat hati mengatakan tidak sesekali menduakan Allah. Tiba-tiba suara itu menjadi suara garau yang menakutkan dan mengatakan, "JIKA KAU TIDAK MEMBACANYA, KAU DAN KELUARGA KAU TAK AKAN SELAMAT!!!" Entah macamana tiba-tiba Mila ditangkap dan diikat pada satu batang pokok dan dipertontonkan kepada orang kampung. "Adik" Mila hilang entah ke mana, tinggal Mila seorang diikat pada batang pokok.
Mila disimbah pasir, batu dan bermacam lagi oleh orang kampung. Menangis Mila sebab Mila akan dihukum bunuh tanpa sebab. Masa itu Mila berserah pada Allah, "Jika ini jalan cerita hidupku, aku redha Ya Allah..." Dengan sekelip mata, empat orang lelaki menghampiri dan melindungi Mila, lagaknya seperti hulubalang zaman dahulukala. Di depan, belakang, kiri dan kanan, ada yang memegang pedang, lembing dan panah. Kemudian ada seorang pemuda datang hendak membunuh Mila tetapi salah seorang dari hulubalang itu memanahnya dan keluarlah darah mencurah-curah.
Mila terkejut dari mimpi waktu itu dan terdengar ayam jantan berkokok berkali-kali. Mila terfikir dalam hati, "Dah masuk waktu Subuh ke?" Apabila Mila melihat jam di telefon bimbit, waktu baru sekitar pukul 3 pagi. Bunyi ayam jantan siapa yang berkokok pada waktu itu? Kerana tak mahu berfikir panjang, Mila sambung tidur tetapi sebelum baring semula, Mila terasa keadaan katil seperti berpasir, lantas Mila kebas-kebas sebelum sambung tidur.
Keesokan paginya bila bangun dari tidur, kelihatan bilik Mila penuh dengan pasir, daun-daun kering dan batu kecil dari atas katil hingga di tepi katil. Mila lantas teringat mimpi pada semalamannya dan timbul rasa takut memikirkan apa maksud mimpi itu? Siapa yang bawa masuk pasir? Batu-batu? Ranting-ranting pokok? Mila ceritakan pada mak selepas tiga hari jatuh demam panas dan tidak boleh bangun. Semasa Ayah membawa Mila ke klinik, dia berkata, "Jika apa-apa berlaku pada anak bini aku, tahulah aku mengajarnya..."
Bila Mila dengar ayah berkata begitu, semangat Mila jadi kuat dan bertambah yakin kerana Allah ada dan akan menjaga diri Mila. Sejak itu bermacam-macam hal terjadi sehingga kini. Mungkin akan Mila kongsikan kalau berkesempatan. Arwah mak dan arwah ayah pergi selepas enam bulan usia anak pertama Mila dan pesan arwah ayah pada suami supaya melaungkan azan di keempat-empat penjuru rumah setiap hari, mengadu dan minta pertolongan dari Allah SWT agar keluarga kami sentiasa dipeliharaNYA.
Sekian terima kasih...
Comments