top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Hantu Tandas

Assalamualaikum KC,


Saya Syaz dan hari ini saya ingin berkongsikan kisah yang agak menakutkan yang saya lalui sepanjang berada di asrama di sebuah kolej vokasional yang terletak di Gombak, Selangor. Kisah ini terjadi pada tahun 2018 dan pada ketika itu merupakan tahun pertama saya di sana. Pada awalnya, biasalah asrama, jadi memang banyak kes histeria, lagipun pelajar senior juga ada maklumkan kepada beberapa orang pelajar baru seperti saya bahawa setiap tahun, pasti ada kes histeria, kira-kira dalam minggu pertama atau kedua. Kemungkinan makhluk halus suka pada muka muka baru.


Dorm saya terletak di aras yang paling atas dan kes histeria kerap berlaku pada aras bawah saya. Saya merupakan seorang yang agak berani dan saya tidak berapa takut dengan makhluk halus ini. Tetapi perasaan takut itu pastinya ada sedikit di dalam diri setiap manusia. Sebelum ini saya memang tidak pernah terkena gangguan apa-apa pun sampailah satu hari pada bulan yang ketiga saya duduk di asrama.


Saya sering pulang ke dorm agak lewat kerana saya menyertai sukan ragbi wanita di situ, jadi biasanya selepas selesai sesi pembelajaran pada pukul 5 petang, saya akan terus naik dorm dan menukar pakaian, terus bergerak ke padang dan mulakan latihan. Asrama saya punya peraturan pula, setiap pelajar perlu turun surau setiap waktu solat dan sudah tentulah waktu solat Maghrib, semua orang sudah turun, paling lewat pun, tepat pukul 7 malam mesti sudah berada di surau. Namun warden kami baik hati kerana membenarkan pelajar yang menyertai apa-apa latihan sukan untuk turun lewat sedikit kerana latihan biasanya akan berakhir pada pukul 6 petang atau 7 malam.


Jadi di dalam dorm saya, saya dan seorang kawan saya menyertai sukan ragbi tetapi pada waktu itu, kawan saya ini tidak menghadiri latihan dan saya seorang sahaja pada waktu itu yang naik dorm agak lewat untuk membersihkan diri dan sebagainya. Saya seorang yang suka menyanyi sambil mandi. Biasalah, bilik air di asrama memang jenis yang berderet. Pada waktu itu saya mandi sambil menyanyikan sebuah lagu yang agak terkenal pada waktu itu dan tidak lama kemudian, saya terasa seolah-olah di kubikel sebelah saya, seperti ada orang masuk dan turut mandi kerana saya terdengar bunyi orang buka pili air dan bunyi air pancuran mengalir.


Tidak lama selepas itu, saya terdengar ada orang menyambung irama lagu yang saya nyanyi tadi dengam suara yang amat halus. Pada waktu itu, saya tidak merasakan apa-apa kerana biasanya memang ada segelintir pelajar yang agak nakal dan tidak turun ke surau dan mungkin mereka akan solat Maghrib di dalam dorm. Kemudian, saya ajak dia berbual. Saya bertanyakan siapakah orang yang mandi di bilik air sebelah saya itu tetapi dia diam sahaja. Dalam hati saya berfikir, mungkin dia jenis orang yang tidak suka bercakap ketika mandi kerana lagu yang saya nyanyikan tadi itu pun dia hanya sambung dengan irama dan bukan lirik, jadi saya pun biarkan sahaja.


Apabila selesai saya mandi, di kubikel sebelah saya tadi masih kedengaran bunyi air yang mengalir. Jadi saya pun terus buat biasa, saya gosok gigi, kemudian cuci muka. Saya memang sengaja buat semua itu dengan lambat kerana saya ingin menunggu orang itu selesai mandi dan kebetulan pula pada masa itu saya cuti solat. Saya menunggu tetapi dia tidak keluar, kemudian saya baru teringat bahawa kubikel yang digunakannya itu adalah satu-satunya kubikel yang pintunya tidak boleh dikunci. Saya terasa pelik dan bertanyakan pada diri sendiri mengapa orang tersebut tidak keluar dari lagi.


Kerana sudah tidak tahan menunggu, saya pun menolak pintu kubikel sebelah itu dan alangkah terkejutnya apabila saya dapati tiada sesiapa pun di dalamnya dan airnya mengalir deras. Saya kemudiannya menutup pili air dan terus bergegas keluar dari bilik mandi dan masuk ke dalam dorm saya. Dorm saya bersebelahan sahaja dengan bilik air jadi, memang dekat. Setelah saya masuk ke dalam dorm, saya pun cepat-cepat uruskan diri untuk bergegas turun ke surau. Tiba-tiba saya rasa hendak terbuang air kecil dan di dalam hati kecil saya merungut kenapa pada masa ini juga di dalam saat saya agak ketakutan.


Saya cuba memberanikan diri dan buat seperti biasa dan kembali ke bilik air. Di dalam bilik air di asrama kami, ada dua bahagian, bahagian bilik mandi di hadapan dan bahagian tandas pula di belakang. Bahagian tandas pula hanya mempunyai satu lampu yang berfungsi kerana dua lagi rosak. Jadi, memang gelaplah tandas itu. Saya pula jenis suka masuk ke kubikel tandas yang paling hujung dan paling gelap kerana tiada sesiapa yang berani menggunakannya atas sebab gelap. Lagipun kubikel tersebut bersih.


Pada waktu itu, saya tidak terfikir ingin menggunakan kubikel itu kerana saya baru sahaja terkena gangguan semasa mandi. Jadi, saya buat keputusan untuk membuang di kubikel paling depan yang paling cerah. Apabila saya baru sahaja ingin masuk ke kubikel pertama itu, saya terdengar bunyi air terbuka serta bunyi pam tandas seolah-olah ditekan di kubikel hujung yang paling gelap itu. Untuk sedapkan hati, saya kemudiannya bersuara dan bertanya siapa di dalam tandas bersama saya, tetapi tiada sahutan. Saya dah mula rasa tidak sedap hati dan terus pergi memeriksa kubikel tersebut. Sekali lagi saya dapati tandas itu kosong!


Saya amat terkejut dan sangkakan bahawa benda tersebut ingin bermain-main dengan saya. Selepas itu, saya tidak jadi mahu membuang di situ, dan terus berjalan dengan pantas untuk keluar dari bilik air tersebut. Semasa saya sampai ke pintu keluar bilik air, tiba tiba paip sinki terbuka sendiri dan saya mendengar suara yang saya dengar menyahut saya menyanyi ketika mandi itu memainkan irama lagu yang sama. Saya tidak toleh dan terus berjalan dengan laju menuruni tangga tanpa melihat sekeliling dan mata saya hanya tertumpu pada kaki saya sahaja.


Apabila sampai di surau, kawan-kawan saya bertanya pada saya, mengapa muka saya pucat tetapi saya enggan menjawab dan hanya memberikan alasan bahawa saya kepenatan dengan latihan ragbi pada petang tadi. Setelah selesai waktu solat Isyak berjemaah, saya duduk di surau agak lama dan tidak terus ikut kawan-kawan saya naik dorm. Tidak lama selepas itu, seorang rakan satu dorm saya mengajak saya naik dorm bersamanya dan pada waktu itu, keadaan sudah jadi agak sunyi kerana penghuni asrama semuanya sudah naik dorm, jadi di kawasan sekitar surau memang agak sunyi.


Dalam perjalanan menuju ke tangga blok, kami berdua terbau sesuatu yang amat harum dan baunya seperti pandan walhal tiada sebarang pokok pandan pun yang terdapat di situ. Pada mulanya, saya sangkakan hanya saya seorang yang terbau, jadi saya ada rasa yang kurang enak jadi, saya hanya mendiamkan diri tetapi secara tiba-tiba kawan saya pula menegur tentang keharuman bau pandan tersebut. Saya amat terkejut dan membeliakkan mata memandang ke arahnya dan menegurnya. Kami terhenti seketika dan memandang ke arah satu sama lain dan tanpa berkata-kata, terus kami berlari naik ke blok dan masuk ke dalam dorm. Alhamdulillah malam itu kami tidur dengan lena.


Keesokan harinya, kawan-kawan dorm saya semua turun ke kafe tetapi saya tidak mahu ikut kerana ingin berehat di katil dorm saya. Untuk pengetahuan semua, dorm saya katilnya dua tingkat, dan katil saya tingkat yang bawah. Pada masa itu saya baring secara meniarap dan tiba-tiba saya terdengar seolah-olah ada orang yang naik ke katil tingkat atas dan sangka saya kawan saya sudah pulang dari kafe. Jadi saya pun bertanya, "Qibi, mana yang lain?'' kerana tadi dia ke kafe dengan yang lain. Namun tiada jawapan yang saya terima. Pada masa itu saya hanya biarkan sahaja kerana terlalu kepenatan.


Sedang saya baring sambil menutup muka dengan bantal, saya merasakan seperti kawan saya yang sedang duduk di katil atas itu seperti membetulkan posisi baringnya kerana katil saya itu jika bergerak walau sedikitpun, memang akan berbunyi. Maklumlah katil lama. Pada masa yang sama saya terdengar bunyi sesuatu yang nyaring sangat dekat dengan telinga saya dan saya amat terkejut. Saya kemudiannya bangun dari katil dengan niat ingin tidur di sebelah kawan saya di katil atas. Tetapi apa yang lebih mengejutkan apabila saya lihat ke arah katil atas, sangat tersusun dan seperti tidak disentuh langsung dan tiada sesiapa pun berada dalam dorm kecuali saya. Saya terus keluar dari dorm dan pergi ke kafe untuk duduk bersama kawan-kawan saya yang lain.


Itu sahaja pengalaman saya. Terima kasih kerana sudi ketengahkan di blog Malam Seram!

859 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page