Assalamualaikum KC dan para pembaca blog Malam Seram,
Saya peminat rancangan kelolaan KC dari Georgetown, di Pulau Pinang, Malaysia sejak dari zaman saya bujang sampailah saya sudah beranak tiga. Saya berkahwin dengan warga asing iaitu warga Afrika.
Kejadian ini berlaku pada ketika anak sulong saya berusia lebih kurang hampir tiga tahun lebih dan sudah pandai bercakap tapi pelat sedikit. Masa itu saya sedang mengandung anak yang ketiga. Untuk pengetahuan semua, anak saya yang sulong tidak fasih berbahasa Melayu sebab dia lebih cenderung dengan bahasa Inggeris kerana di rumah saya dan suami bertutur dalam bahasa Inggeris.
Pada satu hari ketika musim bulan Hantu yang diraikan oleh masyarakat Tionghua, kebetulan saya pergi melawat teman saya yang tinggal di blok yang berselang dengan blok saya tinggal. Biasalah bila orang perempuan berjumpa, macam-macam yang hendak diperbualkan. Sedar tidak sedar, jam sudah hampir pukul 11 malam. Saya pun beransur pulang ke rumah saya.
Dalam perjalanan pulang, anak saya mula menunjukkan reaksi yang agak ganjil. Anak saya agak agresif dan sangat aktif malah terlalu aktif. Kebiasaannya jika saya pegang tangannya, dia akan cuba lepaskan dari genggaman tangan saya. Namun pada malam itu ketika berjalan pulang ke rumah, cara dia menggenggam tangan saya lain sedikit, genggamannya sangat kuat dan erat. Saya bertanya padanya kenapa dia pegang tangan saya kuat sangat dalam bahasa Inggeris, dia tidak menjawab, malah dia meminta saya untuk mendukungnya.
Saya pun tidak fikir banyak, mungkin dia penat, saya pun mengangkatnyaa. Termengah-mengah saya dukungnya dengan bayi dalam perut lagi. Dalam perjalanan pulang, dia berbisik sesuatu ke dalam telinga saya. Selepas saya mendengar terus saya menjadi meremang. Nak tahu apa yang dia cakap? "Mummy I saw Popo (nenek tua berbangsa Cina) crawling following us...!" (terjemahan: "Ibu, saya ternampak nenek tua merangkak mengekori kita...")
Saya tenangkannya dengan membaca Ayat Kursi dan surah Al-Fatihah sambil mengajaknya membaca sekali. Dalam hati ini hanya Allah saja yang tahu. Sampai saja di kolong blok semasa hendak naik lif, saya tanya lagi sama ada makhluk itu mengikut kami atau tidak. Dia cakap masih ikut. Sebaik saja pintu lif terbuka, saya terus meluru masuk lif, tapi sesuatu terjadi! Semasa saya tekan butang lif untuk menutup pintu lif, pintu lif itu tertutup separuh jalan dan terbuka semula!
Berkali kali saya tekan tetap terbuka. Anak saya mula menangis dan dia cakap yang dia rasa takut. Saya pun dah ketakutan pada masa itu. Kebetulan pada ketika itu ada seorang pakcik ahli Qariah surau berdekatan blok saya lalu dan mungkin hendak menaiki lif juga. Saya melihat beliau membaca sesuatu kemudian menepuk pintu lif. Saya dan anak saya terkejut sampai tersentak. Pakcik itu memberitahu saya bahawa anak saya ternampak sesuatu.
Dia menyuruh saya balik rumah tapi sebelum sampai di depan pintu rumah, supaya ketuk kaki sebanyak tiga kali sambil selawat, baru langkah masuk ke dalam rumah. Selepas masuk ke dalam rumah, terus kunci pintu dan jangan buka walau apa pun bunyi ketukan dari luar. Tambahannya lagi, agar saya bersihkan badan anak saya sambil selawat dan tiup ke ubun-ubun kepala anak saya.
Sebelum saya tidur saya ada bertanya anak saya kenapa dia menangis dalam lif tadi, dia berkata bahawa pintu lif tidak dapat ditutup kerana makhluk itu meletakkan kepalanya untuk membuka pintu lif sambil mengeluarkan lidahnya yang panjang! Cuba anda bayangkan apa yang anak saya ternampak tapi saya tidak dapat nampak. Ya Allah kuat betul semangatnya! Saya pun tidurkannya.
Selepas menidurkannya, saya pergi ke ruang tamu untuk tutup lampu. Saya tutup semua lampu utama dan saya pasang lampu neon malap. Tiba-tiba saya terdengar bunyi orang ketuk pintu sekali saja diikuti dengan suara meleret yang agak panjang sangat. Seram! Alhamdulillah gangguan cuma setakat itu sahaja. Sampai ke hari ini bila saya tanya pada anak saya adakah dia ternampak apa-apa, dia akan cakap yang dia nampak tapi dia dah tak takut sebab mereka tidak pernah mengganggunya.
Sekarang anak sulong saya dah berumur 11 tahun. Sudah pandai berbahasa Melayu. Saya ada juga membawanya pergi berubat sebab mak saya memberitahu saya kemungkinan hijabnya terbuka, tapi ustaz memberitahu dia tidak perlu tutup sebab apabila anak saya dah dewasa, nanti hijabnya akan tertutup sendiri. Tapi kadang-kadang saya terperasan dia akan terkumat-kumit membaca Al-Fatihah atau surah-surah suci lain yang dia tahu. Bila saya bertanya, dia akan cakap yang dia tidak takut, cuma tidak mahu tengok wajah mereka yang mengerikan.
Kadang-kadang pada waktu malam waktu hendak tidur, saya dengar dia berkata, "Janganlah kacau, saya tak kacau korang semua. Saya nak tidur, korang bisinglah kat sini..." Selepas itu dia akan keluar dari bilik sambil menghempas pintu bilik. Marah betul! Bila saya bertanya kenapa, dia akan jawab, "Tak tahulah jembalang apa entah bising-bising dalam bilik abang, kacau betul, nak tidur pun tak boleh!"
Ada sekali bila saya buka pintu biliknya, saya tidak nampak apa-apa pun. Saya pun berkata, "Mummy tak nampak apa-apa pun, dahlah pergi masuk tidur..." Nak tahu tak apa yang dia kata? "Ada tu Mummy depan muka Mummy! Tak naklah tidur dalam bilik tu, dahlah bising, bau dia busuk pulak tu..." Ya Allah meremang bulu roma saya! Tak tahulah mungkin kelebihan dirinya.
Saya ingin minta pendapat patutkah saya biarkan hingga hijab itu tertutup sendiri atau saya perlu bawa anak saya berubat juga? Wallahu'alam. Terima kasih kongsi kisah saya...
Nota Penyunting:
Gangguan dalam rumah anda tidak akan berhenti selagi hijab anak anda masih terbuka ataupun ditutup. Sebaiknya rumah anda dibersihkan dan dihiasi dengan bacaan surah-surah suci setiap malam dan dihidupkan dengan solat yang didirikan. Insya Allah "mereka" akan beredar sekiranya anda sekeluarga rajin menghidupkan Islam dalam rumah...
Comments