top of page
Search

Hilaian Dalam Hutan

Salam pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Mohd Farid dari Temerloh, Pahang. Saya ada satu kisah misteri untuk dikongsikan dengan KC dan anda sekelian. Seingat saya, perkara ini berlaku pada tahun 2005 atau 2006 begitu sewaktu bulan Ramadhan. Bila difikirkan semula memang agak lama dahulu.


Saya dan kawan-kawan selalu bermain dengan meriam buluh dan waktu itupun telah masuk bulan Ramadhan. Kami pun buat satu meriam tapi bukan dengan buluh, tetapi dengan paip besar hitam. Kami akan selalu buat percubaan rambang dahulu samada padu atau tidak bunyi dentumannya. Kalau padu, kami akan membawa meriam itu ke dalam hutan untuk dilepaskan tembakan di sana. Bukan itu saja, kami akan mendirikan khemah dengan menggunakan kayu-kayu hutan untuk berehat dan lepak di sana.


Selepas siap khemah semua, kami pun mulakan aksi bermain dengan meriam buluh. Lebih kurang dah lama kami bermain, mungkin dah masuk pukul 11 lebih malam begitu, kami ramai-ramai duduk di dalam khemah untuk berehat seketika. Setelah puas berehat, seorang demi seorang kawan saya pergi dan meninggalkan khemah untuk sambung bermain dengan meriam. Hanya tinggal saya di dalam khemah, waktu itu saya layan bermain gitar.


Pada mulanya saya tidak merasa apa-apa yang pelik tetapi daripada tujuh orang di dalam khemah, dengan perlahan tinggal lima dan dari lima orang, tinggal empat sehinggalah tinggal saya dan dua orang rakan yang berada di dalam khemah tersebut. Di kala saya sedang asyik bermain gitar, tiba-tiba salah seorang kawan saya menunjukkan isyarat jari telunjuknya di mulut menyuruh saya diam. Namun saya tidak mengendahkannya sambil membuat muka mengejek padanya hinggalah kawan saya yang menyuruh saya diam tadi pun meninggalkan khemah tersebut.


Saya pun teruskan bermain gitar tanpa menghiraukannya. Sedang saya asyik memetik gitar, saya dapat mendengar sayup-sayup suara perempuan mengilai. Agak sayu bunyinya. Saya pun pandang teman saya yang seorang lagi dan dia pun memandang saya. Kami berdua pun apa lagi, terus lari meninggalkan khemah. Patutlah lepas seorang pergi meninggalkan khemah tersebut tanpa berkata apa-apa. Rupanya mereka semua dah terdengar dahulu! Mujur benda itu tidak mengekori kami pulang.


Terima kasih dan selamat tengah malam!

456 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page