top of page
Search

Hilaian Halus Dalam Lif!

Salam KC,


Kisah yang hendak saya ceritakan terjadi sewaktu saye bekerja menghantar makanan di kawasan timur di Singapura. Waktu jam 8 malam, saya ditugaskan menghantar makanan di sebuah kondominium yang lama sangat yang terletak di daerah Siglap.


Kondominium ini memang sekali pandang ibarat hidup segan mati tak mahu, ibarat tunggu masa untuk dirobohkan dan dibina semula bangunan kondominium yang baru. Lobi lif mempunyai lampu tapi agak malap pancaran cahayanya. Hairan juga seperti tak terurus oleh pihak atasan yang menjaga kebajikan dan persekelilingan kondo ini.


Untuk pengetahuan semua, di Singapura, rata-rata bangunan kondominium di sini dijaga dengan baik oleh pihak atasan yang menjaga. Setiap kondominium mempunyai ahli jawatankuasa tersendiri. Kalau ada yang rosak, akan cepat-cepat diperbaiki demi keselesaan penduduk. Maklumlah tiap-tiap bulan mereka membayar bil penyelenggaraan yang agak tinggi yang memakan ratusan dolar.

Saya gemar mendengar rancangan kelolaan KC, tidak kiralah Malam Seram ataupun rancangan lama sewaktu KC bertugas di radio. Kalau pada waktu malam saya tidak dapat mendengar kerana terlalu penat, saya akan mendengar melalui YouTube pada keesokan harinya. Sewaktu saya bekerja, saya akan mendengar melalui fon telinga. Kadang-kadang kisah yang sejauh tahun 2012 pun saya dengar semula.


Sewaktu saya sampai di depan lobi lif kondominium yang lama ini, saya memang dah rasa tidak sedap hati dan takut walaupun hanya pukul 8 malam. Dengan lampunya yang malap, keadaan blok yang agak lama dan sunyi, memang rasa seperti dalam filem seram. Apabila lif tiba, lampu di dalamnya ibarat lampu hiasan Raya, berkelap-kelip dan sama malap seperti di kawasan lobi. Saya jangkakan mungkin tak lama lagi, lampu akan terus termati dengan sendirinya.


Di telinga pula saya sedang mendengar rancangan kendalian KC dan pada waktu itu KC sedang memutarkan bunyi suara pontianak sedang mengilai. Bertambah lagi keadaan seram saya. Saya terus naik lif dan tekan butang, tingkat berapa saya memang dah terlupa. Bila pintu tertutup dan saya sedang naik ke atas, saya rasa hairan kenapa putaran suara pontianak itu seperti tidak henti, seperti meleret bunyi suara hilaian di telinga saya.


Tiba-tiba ada sesuatu bau yang menusuk masuk ke dalam hidung saya, sukar untuk saya jelaskan tapi saya rasa mungkin ini bau cempaka yang selalu pendengar cakap, wangi sangat! Saya lantas menekan butang "Pause" di fon telinga saya. Bunyi suara mengilai itu pun terhenti. Sangkaan saya mungkin hilaian itu dari rancangan kendalian KC dan bau yang saya hidu itu mungkin datang dari alat pewangi udara yang berada di dalam lif. Namun sangkaan saya meleset!


Belum sempat saya tekan butang "Play" semula, saya terdengar suara perempuan mengilai secara halus. Saya hairan lalu saya melihat telefon bimbit saya, masih dalam fungsi berhenti seketika (Pause). Bulu roma dah mula meremang. Baik-baik hendak mendengar semula rancangan KC, terus saya tukar kepada bacaan surah Al-Baqarah!


Selesai menghantar makanan kepada pelanggan yang memesan, saya pun beredar dari kondominium itu. Sempat juga saya bercakap dengan pengawal keselamatan yang menjaga di pintu utama kondominium itu bahawa lampu lif dan lobi dah malap dan nampak seperti bila-bila masa akan mati, dia dengan nada terperanjat berkata yang pihak penyelenggaraan baru saja perbetulkan pada hari sebelumnya!


Sekian terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya!

139 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page