top of page
Search

Ibu Mempunyai Pendamping

Salam KC dan Selamat Malam Seram!


Saya Siti dari Punggol, ingin menceritakan pengalaman saya. Sebelum itu, saya ceritakan sedikit tentang Ibu saya. Ibu saya seorang yang lemah semangat, sering kena sampuk dan mempunyai pendamping. Kami telah pergi berjumpa ramai ustaz mahupun pakar perubatan tradisional untuk membuang pendamping ini tetapi ia enggan keluar dari badan ibu saya.


Ustaz dan juga pakar perubatan mengatakan pendamping ibu saya ini merupakan makhluk yang boleh dianggap baik dan ia cuma mahu menjaga ibu saya sahaja. Pendamping ini turun-temurun dari atuk moyang saya. Atuk saya memang sudah lama meninggal sewaktu saya kecil. Ibu saya pun ada bercakap yang beliau tidak menerima pendamping ini, tetapi ia telahpun mengikut ibu saya sejurus setelah atuk saya meninggal dunia. Ibu saya ada dua belas orang adik-beradik dan adalah kakak paling sulung dalam keluarga.


Pada satu malam, saya sedang tidur dan termimpi seolah-olah semacam diberi sesuatu alamat. Ada seorang wanita berpakaian jubah putih datang ke dalam bilik tidur dan mengejutkan saya dari tidur. Saya pun bangun dan bertanyakan apa yang dia mahukan dari saya. Senario dalam mimpi itu, saya bangun lantas menghidupkan lampu bilik. Sebenarnya dia mengajak saya berbicara. Hairan juga, kerana saya seperti tidak rasa takut atau seram untuk berbual dengannya walaupun saya tahu di dalam mimpi itu wanita itu adalah jelmaan pendamping ibu selama ini.


Wanita itu bertanya kepada saya bila ibu mahu menunaikan ibadah Umrah? Memang pada waktu itu, ibu saya akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah tetapi masih ada lagi sebulan beliau akan berangkat. Mungkin wanita itu tahu yang dia tidak dapat ikut bersama ibu. Saya memberitahunya agar jangan mengganggu keluarga saya apabila ibu tiada di sini. Dia mengatakan bahawa dia tidak mengganggu sesiapa, cuma dia mahu seorang teman berbual sahaja. Selepas berborak dengan saya, dia terus terbang dari tingkap bilik tidur saya.


Apabila ibu berada di Tanah Suci, wanita itu datang lagi di dalam mimpi saya. Dia datang untuk menanyakan berapa lama lagi ibu akan pulang dan tanya beberapa lagi soalan seperti seseorang yang sedang berbual kosong. Bila ibu pulang kembali ke tanahair, saya memberitahu ibu tentang mimpi yang saya alami. Ibu memberitahu saya bahawa beliau tidak pernah nampak sosok pendamping itu secara empat mata.


Ibu cuma beritahu kalau ibu sudah tiada kelak, mungkin pendamping itu akan mengikut saya ataupun kakak saya. Saya hanya ada empat orang adik-beradik termasuk diri saya. Saya ada seorang abang, kakak dan adik lelaki. Maaf jika pengalaman saya ini tidak seram tetapi saya masih risau kalau satu hari nanti ia akan mengikut dan mendamping diri saya.


Sekian. Terima kasih kerana mengetengahkan kisah saya ini...

180 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page