top of page
Search

Jangan Suka Ambil Barang Di Tempat Orang

Assalammualaikum KC,


Saya Fikri berasal dari Subang, Shah Alam. Saya hendak cerita sedikit pengalaman saya sewaktu acara kem dalam hutan. Ini merupakan salah satu peristiwa yang amat seronok saat masih remaja. Waktu ini saya berumur dalam belasan tahun. Saya mengikut satu aktiviti perkhemahan di Sungai Itik di Perak selama tiga hari dua malam anjuran Majlis Perbandaran Shah Alam.


Saat sampai di sana buat kali pertama, amat kekok sedikit sebab tidak kenal dengan ahli yang lain. Kami cuba bertegur sesama kita. Sampai saja di sana, kami terus bawa turun barang-barang perkhemahan dan mula mendirikan khemah. Pegawai penyelia kami kemudian mengajak semua berendam ramai-ramai di dalam sungai yang berada di tepi tapak perkhemahan.


Waktu itu jam 5 petang rasanya. Di situlah bermulanya saya mengenali kawan-kawan baru yang turut serta dalam acara perkhemahan tersebut. Ada yang berumur belasan dengan puluhan tahun. Semuanya pelajar. Sedang seronok berendam, saya mula seluk tangan ke dalam air sungai dan mencapai batu-batu kecil di dalam. Kebetulan, satu batu yang saya capai dan dapat berbentuk seperti jantung hati. Memang cantik!


Niat di hati hendak simpan batu ini buat kenangan, namun disebabkan pernah mendengar orang tua berpesan, "Bila masuk mana-mana sungai dan hutan, jangan sesekali ambil barang yang kita jumpa...", saya pun abaikan niat asal saya untuk menyimpannya. Saya pun tunjuk kawan yang baru saya kenali di sebelah saya berasal dari Sabah. Dia berkata, "Bah, cantik batu kau jumpa ni. Boleh ndak saya mahu pinjam..." Saya pun berikan padanya dan dia pun pergi menunjukkan kepada kawan-kawannya yang lain.


Malam itu kami telah turut serta dalam beberapa aktiviti termasuk berjalan malam dan diakhiri dengan acara mempelajari cara-cara menghadapi kecemasan, lebih tepat lagi cara-cara untuk memberi pertolongan CPR. Apabila tiba giliran saya dan teman saya untuk melaksanakan dan menunjukkan cara-cara untuk melakukannya, salah seorang daripada kami diwajibkan baring. Yang baring inilah peranannya adalah mangsa dan saya ditugaskan untuk menjadi mangsa.


Sebelum kami bermula adalah sedikit taklimat dari pelatih. Kerana terlalu letih, saya yang terbaring ketika itu boleh terlelap. Apabila saya terlelap, saya bermimpi seorang lelaki telah muncul dan membawa saya berjalan dalam hutan. Sampai di satu tempat, dia menghulurkan tangannya dan pandang tepat ke arah saya. Saya terus tersedar dan semua orang memerhatikan saya bila saya terjaga. Teman saya memarahi saya kerana tertidur.

Pada malam berikutnya, setiap kumpulan wajib bertanding persembahan. Kami diberi masa untuk memikirkan apa yang kami hendak buat. Pastikan acara yang dipersembahkan bermoral. Setiap kumpulan diasingkan agar tidak meniru antara satu dengan yang lain. Kumpulan saya ditempatkan di tepi sungai. Sedang kami memikirkan untuk dapatkan ilham membuat persembahan, salah seorang pelajar perempuan dari kumpulan saya tiba tiba menangis.


Apabila ditanya kenapa, dia hanya berkata yang dia "nampak" sambil menangis teresak-esak. Ketua kami cuba menenangkannya tetapi dia tunjuk ke arah saya! Dia ternampak satu lembaga yang jelas bertenggek atas dahan pokok dan ia merangkak perlahan-lahan ke bawah. Betul-betul di belakang saya! Kami pun pujuk dia agar kuatkan diri. Semua dalam ketakutan seram. Tapi kami terus cuba tenangkan diri.


Kemudian saya bertanya kepada semua: "Ada petik mana mana bunga ke atau ambil barangan yang berasal dari tempat ini?" Saya dapat rasakan sesuatu yang ada kena-mengena dengan mimpi saya malam semalam. Dia pun menjawab yang ada seorang budak lelaki telah memberi hadiah kepadanya. Apabila saya tanya barang apa, dia menjawab, "Batu sungai!" Niatnya hendak simpan untuk bawa pulang sebagai kenangan.

Saya terus teringat tentang batu berbentuk jantung hati dan budak Sabah yang saya kenali pada hari sebelumnya. Dia pun menganggukkan kepala. Saya kemudian menceritakan kepada ahli kumpulan saya tentang mimpi saya berjumpa jelmaan lelaki dalam hutan dan saya yang pertama jumpa batu itu. Mungkin penghuni di sini tidak suka barangan mereka diambil tetamu dari luar.


Kami mula rasa tidak sedap hati. Kami menyuruhnya ambil batu itu dan saya sendiri yang menghantar semula ke sungai di mana saya terjumpa batu itu. Alhamdulillah semuanya okay selepas itu, terlepas dari sebarang gangguan susulan. Inilah kisah yang dapat saya ceritakan kepada semua. Semoga cerita ini bermanfaat buat kita yang tidak biasa ke sana (hutan).

Sekian. Assalammualaikum...

611 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page