top of page
Search

Jatuh Sakit Akibat Gerai Disihir

Assalamualaikum KC,

Nama saya Muhd Hafiz, pendengar dari Malaysia. Kisahnya bermula begini. Saya berniaga kecil-kecilan, lebih tepat lagi berniaga menjual burger. Saya mula berniaga pada pertengahan tahun 2010. Alhamdulillah perniagaan saya mendapat sambutan yang amat baik dari pelanggan. Boleh dikatakan setiap hari sentiasa ada orang yang tidak putus-putus datang melanggani gerai saya sehinggalah pada awal tahun 2011 saya diuji.


Semasa saya sedang menyiapkan tempahan pelanggan, ada seorang pakcik datang ke gerai saya. Pada mulanya saya tidak syak apa-apa yang pelik, sehinggalah dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia pegang telefon bimbitnya sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu sambil mengelilingi gerai burger saya. Saya mula rasa sesuatu yang tidak kena dan bulu roma saya mula meremang. Habis pakcik tadi membaca, dia terus berlalu pergi.


Saya berniaga macam biasa setelah itu, pulang dan kembali keesokan hari jam 6.30 petang untuk mulakan operasi meniaga. Saya datang ke gerai dan secara lazimnnya memang akan kemas gerai burger saya terlebih dahulu sebelumm mulakan operasi, tetapi saya rasa agak berlainan sedikit gerai saya kerana keadaan amat lengang, tiada satu orang pun yang singgah di gerai saya. Yang saya perasan apabila orang lalu di depan gerai saya, mereka hanya melihat sambil menggelengkan kepala dan berlalu pergi.


Keesokan harinya saya pergi meminta bantuan pakar untuk menyemah gerai saya. Rupa-rupanya gerai saya telah ditutup, kata pakar tersebut dan pakar itu mula upacara membersihkan gerai saya dan gerai saya di pagar oleh pakar tersebut, bertujuan tidak akan “ditutup” lagi. Selepas berberapa hari, perniagaan saya berjalan lancar seperti biasa. Orang semakin ramai, saya amat gembira tapi kegembiraan saya tidak berpanjangan.


Selepas seminggu saya mula merasa tidak kena dengan badan saya, kerap kali batuk dan badan mula rasa tidak sihat, pendek kata saya terkena demam dan rasa keletihan. Saya tidak mampu untuk berniaga, jadi saya ambil keputusan untuk ke klinik menerima rawatan doktor dan saya disuruh mengambil ubat demam dan batuk. Setelah seminggu saya terlantar di katil, saya merasakan semakin hari semakin teruk sakit saya, ubat dah bermacam-macam yang doktor bagi, namun tidak mujarab.


Pada satu malam semasa saya sedang tidur di dalam bilik, saya terdengar seperti seseorang sedang menaiki tangga di dalam rumah saya (Rumah saya dua tingkat). Selepas itu saya terbangun dan cuba untuk melihat. Nak tahu apa yang saya nampak? Saya nampak seorang perempuan menggendong seperti bayi di tangannya sambil merangkak! Saya tidak nampak mukanya tetapi pada malam itu amat menyeramkan!

Dia berbaju putih yang amat lusuh, menggendong bayi sambil merangkak ke arah saya!!! Saya kaku dan tidak mampu berbuat apa-apa. Lidah saya kelu dan hanya mampu beristighfar dalam hati dan membaca Ayat Kursi. Semakin lama semakin dekat sehingga benda itu berada betul-betul di depan muka saya! Selepas itu saya tidak sedarkan diri.


Pada keeesokan pagi ibu kejutkan saya. Saya terbangun dalam keadaan ketakutan, namun saya tidak menceritakan kejadian tersebut kepada sesiapa. Akhirnya saya membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan dari seorang pakar. Dipendekkan cerita, pakar tersebut berjaya mengubati penyakit saya dan gangguan yang saya alami pada malam itu.


Sekian, itu saja cerita dari saya. Saya mohon maaf kepada pembaca blog Malam Seram seandainya cerita saya ini tidak seram. Terima kasih! Assalammualaikum!

212 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page