Search

Jelmaan Haiwan Bermata Merah

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada KC dan pembaca blog Malam Seram!


Saya Puteri dari Puchong, Selangor, Malaysia. Peristiwa ini berlaku kepada saya dan keluarga kira-kira tujuh tahun lepas apabila kami sedang menuju ke destinasi yang ingin dituju iaitu ke Johor, Malaysia.

Kami sebenarnya dalam perjalanan untuk mengikuti hari keluarga yang dianjurkan oleh syarikat ayah saya di Johor. Kami perlu bergerak dari rumah ke sana selepas ayah saya pulang dari kerja supaya sampai tepat pada masa yang telah ditetapkan syarikat untuk pendaftaran dan sebagainya. Keluarga saya sebenarnya amat tidak gemar kalau perlu gerak pada waktu petang atau malam hari apabila hendak berjalan jauh tetapi atas masa yang perlu ditepati, kami terpaksa turutkan.

Ketika dalam perjalanan, ayah berkata, "Bapak tak biasa memandu malam-malam, petang-petang hari macam ni. Nanti di Johor, kita perlu lalu kawasan hutan-hutan yang lama. Disebabkan sudah hampir malam, jangkaan sampai kawasan itu pasti suasana sudah gelap gelita. Bapak harap semua berkelakuan baik nanti supaya tak ganggu konsentrasi bapak memandu..." Bapak berpesan kepada saya dan adik-beradik yang lain kerana mengikut urutan keluarga, masih ada adik-adik yang masih kecil.


Sampai kawasan tersebut, waktu sudah hampir Maghrib. Adik-adik puteri sudah tidur. Saya lihat ibu dan kakak saya masih lagi terjaga. Oleh kerana bapak kata perjalanannya lama, saya juga sudah mengantuk. saya pun mengambil keputusan untuk lelapkan mata sebentar. Namun tiba-tiba saja, saya terjaga. Saya tidak sedar berapa lama saya tertidur tetapi badan saya seperti digegarkan, membuatkan saya terjaga.


Ketika saya terjaga, saya terkejut. Kereta ayah saya sedang mengelak sesuatu di atas jalan itu dan akhirnya berpusing sebelum berhenti dengan mendadak. Semua kelihatan panik dan terkejut. Bapak kelihatan tegang dengan tangan masih memegang stereng. Ketika saya tersedar, kereta kami berhenti di tengah jalan kawasan hutan tebal itu. Tiada langsung kereta lain yang lalu, sama ada di belakang atau depan kami sebelum kejadian tersebut berlaku. Bapak terus memperbetulkan posisi kereta dan memandu dengan laju tanpa memikirkan apa-apa. Saya hanya terdiam.


Akhirnya apabila sudah jauh dari tempat kejadian, saya tanya bapak dan yang lain, "Apa yang dah jadi tadi? Kenapa Bapak bawa kereta macam tu? Macam elak lembu lalu je?" Ayah tidak menjawab. Yang menjawab adalah ibu saya. Ibu memberitahu ketika ayah sedang memandu, tiba-tiba ibu dan ayah terperasan ada sesuatu yang besar di hadapan. Jaraknya dengan kereta sewaktu mereka sedar akan kehadirannya masih jauh tapi mereka terkejut kerana objek tersebut tidak bergerak. Apabila semakin dekat, mereka terkejut melihat objek itu seperti babi hutan tapi sebesar seekor kerbau!


Yang anehnya, ketika ayah saya memandu dengan lebih dekat, mereka sempat melihat matanya merah semerah darah dan seperti dalam keadaan bengis. Kami menaiki kereta jenis Hilux. Bayangkan haiwan tersebut sebesar kereta kami, kata ibu. Ketika hampir, haiwan tersebut cuba untuk berlaga dengan kereta kami. Mujurlah ayah saya cepat bertindak. Kerana gegaran tersebutlah yang membuatkan saya terjaga. Setelah berhenti dengan mendadak ayah dan ibu saya sempat memandang ke belakang. Saya tidak faham apa-apa ketika itu. Rupanya, ketika mereka memandang ke belakang, haiwan itu sedang memandang ke arah kereta kami sebelum lesap di depan mata mereka.


Persoalannya, apakah jelmaan yang dikatakan ibu? Hingga kini masih menjadi misteri buat keluarga kami. Mujur selepas itu tiada gangguan aneh yang melanda kami sepanjang perjalanan ke Johor dan sewaktu pulang semula ke Puchong.


Sekian terima kasih!

96 views0 comments

Recent Posts

See All

Mimpi Ditindih

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram, Nama saya Ilya. Saya pernah ditindih ketika mengalami demam panas. Elok-elok saya boleh tidur dalam bilik, sekarang saya sudah tidak berani tidur dalam

Suara Menggigil

Assalamualaikum KC, Saya berasal dari Perak, Malaysia. Nama saya Fiza, berumur 34 tahun sekarang. Peristiwa ini berlaku ketika umur saya enam belas tahun (Tingkatan 4) di salah sebuah sekolah asrama d

Jatuh Sakit Akibat Gerai Disihir

Assalamualaikum KC, Nama saya Muhd Hafiz, pendengar dari Malaysia. Kisahnya bermula begini. Saya berniaga kecil-kecilan, lebih tepat lagi berniaga menjual burger. Saya mula berniaga pada pertengahan t