top of page
Search

Jelmaan Teman Setugas...

Assalamualaikum KC,


Nama saya Safuan Alex, berasal dari Labuan, Sabah dan bertugas sebagai seorang pegawai warden di salah sebuah pusat pemulihan akhlak di Malaysia. Pada satu malam, saya bertugas syif malam bersama seorang kawan di pusat pemulihan akhlak tersebut. Pada malam itu, saya masuk bertugas bermula jam 11 malam sehingga 7 pagi.


Selepas menanda jari sebagai penanda kehadiran saya di tempat tugas, saya menerima tugas dari warden yang tamat bertugas pada jam 11 malam. Ssemasa sesi penyerahan tugas, hanya saya seorang sahaja yang ada, manakala rakan saya masih belum masuk bertugas. Tambahan pula pada malam itu, telefon bimbit saya tertinggal di rumah jadi saya tidak dapat apa-apa maklumat samada rakan saya masuk lambat atau mengambil cuti kecemasan. Sungguhpun begitu, pada jam 11.10pm, kawan saya masuk bertugas dan memaklumkan ada masalah yang tidak dapat dielakkan yang menyebabkan dia masuk kerja lewat.


Rakan sekerja saya dikenali sebagai seorang yang kuat mengusik, mulutnya yang sentiasa riuh, tetapi pada malam itu, kelihatan dia tidak seperti biasa. Dia hanya diam dan bercakap apabila saya bertanya sahaja. Saya bertanya samada dia sihat atau tidak, dia hanya menjawab yang dia sihat, cuma agak kepenatan. Saya memberitahunya, kalau tidak, pergilah berehat sebentar dan saya juga berkata, kalau lapar atau dahaga, saya boleh pergi ke kedai mamak berhampiran untuk bungkuskan makanan dan minuman, namun dia menjawab, dia telah membuat pesanan pada kawan lain dan makanan akan sampai sebentar lagi.


Sekitar jam 11.55pm, rakan saya berkata yang dia hendak pergi ke tandas. Saya sempat berseloroh dengannya agar berhati-hati, takut-takut ada benda lain yang mengikutnya sekali. Dia cuma senyum melirik sahaja. Sepuluh minit kemudia, ada sebuah motosikal masuk dan berhenti di depan pagar bilik kami bertugas. Saya pergi ke pagar dan membuka pintu pagar. Alangkah terkejutnya saya apabila rakan sekerja saya yang pergi ke tandas tadi datang dengan membawa makanan!


Saya bertanya kepadanya, "Tadi bukan ke kau yang pergi tandas? Macamana kau boleh keluar sedangkan pintu pagar berkunci dan kunci ada dengan aku?" Dia membalas, "Kau tak baca ke sms yang aku hantar? Aku dah bagi tahu yang aku masuk kerja lewat sikit, nanti aku bungkuskan makan untuk kau sekali, tapi kau tak balas sms aku..." Saya memberitahunya, "Habis, tadi aku berborak dengan siapa?" sambil menceritakan dari mula saya terlupa membawa telefon bimbit hinggalah sewaktu saya berinteraksi dengan "teman sekerja" saya.


Hingga hari ini menjadi satu misteri bagi saya, siapa yang saya berbual pada malam itu? Adakah ia satu jelmaan penunggu di pusat pemulihan tempat saya bertugas?

Sekian dan terima kasih...

210 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page