top of page
Search

Jeritan Di Asrama

Assalamualaikum KC,


Saya Khairul, berasal dari Hulu Langat, Selangor. Kisah ini berlaku sekitar sembilan tahun yang lalu semasa saya berada di tingkatan 5. Masa itu dah hujung tahun dan ketika musim peperiksaan SPM. Semua pelajar dari tingkatan satu hingga empat sudah mula bercuti dari sekolah. Yang tinggal di asrama hanya pelajar-pelajar dari tingkatan lima yang masih mempunyai kertas peperiksaan SPM yang bakal diduduki.


Kisahnya bermula bila kami pelajar lelaki dan perempuan membuat sesi belajar berkumpulan di meja batu yang terletak di luar koridor asrama. Lebih kurang ada lapan orang ketika itu. Selepas saja selesai kami mengulangkaji pelajaran, saya dan seorang kawan saya bernama Zul, naik ke atas untuk berehat dan tidur. Kami dah siap turunkan tilam ke lantai untuk tidur di bawah.


Datang seorang lagi kawan saya masuk ke dalam bilik kami dan berkata salah seorang kawan perempuan kami ternampak sesuatu berdiri bersebelahan telefon awam yang terdapat di sekitar kawasan asrama kami. Dia kata benda itu berwarna putih. Benda itu muncul semasa kami sedang membuat ulangkaji pelajaran. Hanya kawan perempuan kami seorang itu sahaja yang nampak. Jadi kami yang lelaki masa itu hanya tinggal tiga orang sahaja.


Kami pun berpakat dengan kawan perempuan yang lain untuk membaca surah Yassin di bilik masing2. Sedang kami membaca surah Yassin, dalam pertengahan bacaan, saya tidak pasti samada saya sahaja yang terdengar atau kawan saya yang lain pun ada terdengar juga. Saya terdengar suara jeritan dari kawasan asrama kami. Berdebar hati saya ketika itu. Sebelum suara jeritan itu kedengaran, kami telah terdengar bunyi kerusi jatuh di bilik belajar di bawah. Bilik kami pula di tingkat dua.


Mujur tidak ada apa-apa yang aneh berlaku selepas itu apabila kami mengakhiri bacaan surah Yassin dengan bacaan surah-surah suci yang lain. Kami juga telah menasihatkan teman-teman pelajar wanita yang lain supaya tidur di dalam satu bilik agar mereka tidak terasa takut. Begitu juga kami yang lelaki tidur di dalam satu bilik.


Sekian, itu sahaja perkongsian saya. Terima kasih!

329 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page