top of page
Search

"Kakak Ada Nampak Ibu Saya Tak?"

Assalamualaikum,


Saya Nursyaza Fatini, saya ada satu kisah yang terjadi pada 24 Oktober 2019 merupakan malam Jumaat. Kisah ini berlaku di salah sebuah pusat membeli-belah di Pulau Pinang di mana tempat saya bertugas. Saya bekerja sebagai seorang jurujual salah sebuah kedai di dalam pusat membeli-belah ini. Tempat saya bekerja ini cuma ada dua orang saja, saya dan kawan saya bertugas dari 9 pagi hingga 10 malam.


Pada malam itu kawan saya tak pulang awal sebab ada hal, jadi malam itu tinggal saya seorang, kemas itu dan ini. Hampir 11.30 malam baru siap. Pada malam itu, mungkin saya seorang yang masih ada di bangunan itu, sebab waktu itu hampir kesemuanya lampu dipadamkan dan pintu utama semua dah dikunci pada pukul 10 malam, jadi saya perlu keluar melalui pintu belakang di bahagian kawasan memunggah. Walaupun jauh, pekerja-pekerja di bangunan pusat membeli-belah ini sememangnya akan menggunakan pintu itu untuk keluar dan masuk bangunan tersebut.


Dalam samar-samar cahaya, saya berjalan untuk keluar dari bangunan itu. Sampai di satu penjuru, tiba-tiba saya terhenti langkah, sebab saya terdengar suara seorang budak sedang menangis teresak-esak. Seram pula nak terus melangkah bila terdengar, tapi macamanapun saya kena lalu sebab dah tak ada jalan lain untuk keluar. Lagipun suami saya pun dah lama menunggu saya di luar. Sebelum saya teruskan perjalanan, saya menjenguk perlahan-lahan ingin pastikan ada ataupun tidak pemilik suara yang menangis itu. Kalau saya menjenguk tidak ada apa-apa, bermakna bukan manusia. Jadi perlahan-lahan saya jengguk. Tiba-tiba saya ternampak seorang kanak-kanak perempuan lebih kurang berusia 5 tahun yang sedang menangis sambil bersandar di dinding dalam keadaan menunduk dan menutup mukanya dengan tangan. Jadi sahlah ini manusia, saya teruskan berjalan. Dalam perjalanan untuk melepasi budak itu, saya tengok dia saya rasa simpati sangat-sangat. Lebih kurang dalam 5 meter darinya, dia bertanya saya dalam keadaan masih tunduk dan menutup mukanya.

"Kakak ada nampak ibu saya tak?"


Dalam hati saya berkata, "Ehh macamana dia tahu aku nak lalu sedangkan dari tadi tunduk tutup muka?"


Saya tanya dia, "Ibu adik mana? Kenapa sorang-sorang kat sini, rumah adik di mana?"


Dia balas, ''Saya tinggal dekat-dekat sini kak, ibu dah lama tinggalkan saya, kakak ada nampak ibu saya?"

Saya pun cakap padanya, ''Mari ikut kakak cari ibu adik, kalau tak ada ibu adik, kakak hantar adik kat rumah adik kalau adik ingat di mana rumah adik..."


Jadi dia pun berdiri, untuk ikut jalan di belakang saya. Sebelum saya melangkah untuk berjalan, tiba-tiba saya terfikir, ''Sekarang dah dekat pukul 12. Tak mungkin ibunya tak cari dan biarkan dia. Tak maklumkan pada pihak atasan atau sekuriti bangunan kalau betul-betul hilang pun sebelum tutup lagi pasti dah jumpa, sedangkan sekecil-kecil barang pun akan dapat semula..."

Itulah yang buat saya untuk pusing semula menoleh kepada budak itu untuk saya bertanya. Apabila saya pusing saya melihat budak itu tiada di belakang saya. Bila tidak ada di belakang, saya pun pusing ke hadapan semula untuk saya berjalan keluar. Apa yang memeranjatkan saya apabila saya pusing ke hadapan, budak itu berada di hadapan saya sambil menutup mata dan separuh wajahnya dengan lengan kirinya sambil bertanya lagi, "Kakak ada nampak ibu saya?" kali ini dengan suara yang nyaring dan panjang. Dalam keadaan dia membuat suara nyaring itu, dia turunkan tangannya perlahan-lahan. Apa yang membuat saya menjerit dan berlari macam orang gila apabila saya nampak dia tak ada muka!


Sekian terima kasih....


441 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page