Assalamu'alaikum semua,
Nama saya Ali (bukan nama sebenar). Saya dan teman saya bertugas dengan syarikat yang mengendalikan keretapi gerak cepat LRT di kawasan Sengkang & Punggol. Kerja kami membersihkan landasan keretapi pada setiap waktu malam. Waktu malam sajalah keretapi ini tidak beroperasi.
Kisah seram saya terjadi pada sekitar tahun lalu. Waktu itu, saya dan teman saya sepatutnya bertugas di salah sebuah stesen LRT di Punggol yang ketika itu masih belum lagi beroperasi kerana kawasan sekelilingnya masih belum ada kawasan perumahan yang sudah siap. Sekelilingnya masih dalam pembinaan lagi. Mungkin ada yang dapat mengagak di bahagian mana di kawasan Punggol yang saya maksudkan walaupun saya tak menamakan tempatnya.
Tugas kami boleh dikatakan mudah, jalan kaki dari satu stesen ke stesen yang depan. Dalam masa itu kami wajib membersihkan dan membuang sampah, tumbuh-tumbuhan kecil atau daun-daun kering dan adakalanya binatang atau serangga besar yang mati di landasan tersebut. Walaupun stesen ini masih belum beroperasi sepenuhnya tetapi pihak syarikat pengendali LRT ini sering membuat ujian dan pemantauan pergerakan keretapi LRT. Lagipun ada stesen lain yang telah dibuka, jadi laluan keretapi mesti mengikut jadual seolah-olah kesemua stesen di laluan ini telah dibuka.
Pada malam itu, saya dan teman saya sedang berjalan di landasan stesen yang belum beroperasi ini menuju ke arah satu lagi stesen yang juga belum dimulakan operasinya. Jarak antara kedua-dua stesen ini sekitar 400m. Namun begitu, kerana tugas kami, perjalanan di antara kedua-dua stesen memakan masa sekitar 30 minit. Bila waktu kami hendak sampai ke stesen seterusnya, saya ternampak tumbuhan yang tumbuh di landasan keretapi. Saya pun mengarahkan teman saya untuk petik tumbuhan itu. Sambil itu saya tolong suluhkan lampu ke arah tumbuhan itu.
Bila teman saya sedang memetik tumbuhan itu saya menyuluh lampu ke arahnya. Ya Allah terperanjat saya apabila menyuluh lampu ke arahnya. Saya seperti dikunci dan tak boleh bergerak dan terus tidak boleh berbual. Saya ternampak ada kain putih sedang berkibaran di belakang teman saya! Di kiri kanan kawasan keliling kami cuma ada hutan. Saya terus memberitahu teman saya agar cepat dan tak perlu ke stesen seterusnya.
Pada mulanya teman saya terpinga-pinga kenapa saya katakan begitu, sehinggalah kami terdengar sayup-sayup bunyi hilaian dan seperti bunyi kain berkibaran dari arah stesen berikutnya. Tanpa menegur, kami terus berlari semula ke arah di mana kami mulakan tugas. Mujur tak ada apa-apa perkara pelik yang berlaku pada malam itu. Itu pertama kali kami mengalami pengalaman misteri dan seram sewaktu bertugas walaupun pernah mendengar kisah-kisah yang serupa dari teman-teman sekerja yang lain yang pernah bertugas pada sebelah malam.
Sememangnya laluan landasan keretapi LRT di sini agak keras sedikit memandangkan kawasan sekelilingnya sebelum kawasan perumahan baru dibina, merupakan kawasan hutan. Sudah beberapa kali terdengar kisah penampakan tentang kakak cantik. Ada yang pernah melihatnya duduk di atas pagar landasan keretapi dan seperti kakinya terjuntai ke bawah. Ada yang pernah melihat kelibatnya berdiri di atas bumbung stesen yang belum beroperasi ataupun di atas landasan...
Itu saja kisah saya. Terima kasih kerana ketengahkan di blog Malam Seram...
Comentarios