Assalamualaikum KC,
Mohon identiti saya dirahsiakan. Saya menetap di kawasan Ghim Moh sejak umur saya empat tahun hingga saya berumahtangga pada umur saya masuk dua puluh enam tahun. Dari tahun 1986 hinggalah tahun 2008. Kini, saya sudah pun pindah dari sana. Saya pernah mengalami bermacam-macam gangguan di rumah lama saya sewaktu menetap di sana. Untuk pengetahuan mereka di luar Singapura, kawasan Ghim Moh merupakan antara kawasan estet perumahan yang pertama dibina di Singapura.
Rumah lama saya di kawasan Ghim Moh menghadap landasan keretapi lama yang kini telah diubahsuai menjadi trek untuk aktiviti riadah seperti menaiki basikal, berjalan atau berlari-lari anak. Trek ini kini dikenali dengan nama "The Rail Corridor". Berbeza dengan waktu itu yang memang sunyi dan seram pada waktu malam. Walaupun saya membesar di sana, saya tetap rasa takut terutama sekali pada waktu malam. Saya ada beberapa kisah yang pernah saya alami dahulu yang akan saya kongsikan secara ringkas di sini.
Pengalaman pertama: - Pada siang hari, selalu akan kedengaran suara garau bernafas di dalam rumah. Saya pernah beritahu ayah dan ibu saya tetapi mereka sekadar buat endah tak endah saja. Selalu juga ketika saya di rumah, saya akan terdengar suara seperti ayah saya memanggil saya. Namun apabila saya menyahut dan pergi ke mana ayah berada, dia akan katakan yang dia tidak memanggil saya.
Pengalaman kedua: - Saya pernah membela seekor kucing. Satu malam, saya dalam bilik tidur dan hendak terlelap. Malam itu terasa seperti ada orang menarik-narik bantal sehingga saya terbangun. Ia berlaku beberapa kali. Sampai saya terbangun ingatkan kucing saya tetapi kucing saya tidur di dalam bilik ayah. Bila saya hidupkan lampu, memang mustahil kucing saya kerana yang saya rasakan adalah bantal ditarik dari atas kepala. Sedangkan katil menyandar ke tembok (tembok di belakang kepala saya). Malam itu saya tidur dengan lampu dihidupkan sepanjang malam.
Pengalaman ketiga: - Saya suka masak pada tengah malam bila rasa tidak boleh tidur. Pada satu malam saya teringin hendak makan Nasi Goreng jadi saya keluarkan daging mentah dari dalam peti ais dan letaknya di dalam sinki di tepi tingkap. Sementara menunggu untuk daging mentah itu cair, saya pun pergi menonton televisyen. Ketika itu waktu dah masuk pukul 11 malam. Setelah sekian lama menunggu terasa macam malas pula hendak masak jadi saya biarkan daging itu dan tidak simpan semula. Sekitar pukul dua pagi, saya terdengar di luar tingkap dapur seperti ada bunyi galah dihentak-hentak, seperti ada yang memukul galah yang memang tergantung di luar. Saya tidak berani ke dapur kerana saya tahu ia mungkin ada kena-mengena dengan daging mentah di dalam sinki itu dengan darah dari daging itu mula mengalir.
Pengalaman keempat: - Ayah saya meninggal dunia semasa umur saya dua puluh empat tahun. Setiap malam selepas dia meninggal dunia, suis thermos elektrik akan dihidupkan secara automatik apabila tiba waktu Maghrib. Kenapa ia terjadi? Sebab itulah waktunya arwah ayah saya akan pulang dari kerja dan membuat air teh untuk dibancuh dan diminum. Pernah satu malam saya bersendirian seorang diri di dalam rumah, saya terdengar sesuatu bunyi yang agak aneh dari arah dapur, tak dapat saya perincikan bagaimana bunyinya tapi bulu roma saya tiba-tiba rasa meremang. Saya yang berada di dalam bilik ketika itu tidak berani keluar.
Pengalaman kelima: - Setiap malam Jumaat, bilik akan bau kemenyan kuat sangat. Sangkanya jiran sedang bakar kemenyan tapi apabila saya keluar untuk pantau, tidak ada bau pun. Bau kuat itu cuma berada di dalam bilik saya saja. Apabila kakak dan saya putarkan bacaan Surah Yassin, putaran bacaan itu akan termati dengan sendirinya. Berkali-kali terjadi seperti ia tidak suka akan bacaan surah suci itu.
Pengalaman keenam: - Saya bolehlah dianggap seperti orang yang agak berani. Dulu kalau balik kerja malam sekitar sebelas malam, saya akan naik bas nombor 7 yang akan berhenti di perhentian bas berdekatan dengan landasan lama keretapi. Saya suka jalan di situ kerana setelah melalui jejantas di situ, rumah lama saya hanya di depan saja. Ada sekali saya balik seorang diri berjalan menghala ke jejantas, tiada sesiapa di sana. Sunyi, gelap tapi saya beranikan diri. Tiba-tiba apabila saya mendongak ke atas, ada beberapa kelawar sedang terbang mengelilingi di atas kepala saya. Saya terus lari lintang-pukang. Mujur tidak apa-apa yang aneh berlaku selepas itu.
Memang seram sangat tinggal di kawasan itu tapi saya memang sayang sangat meninggalkannya kerana terlalu banyak kenangan suka dan duka di sana sewaktu membesar.
Sekian, terima kasih...
Comments