Salam KC dan pembaca blog Malam Seram,
Kisah yang saya ingin kongsikan ini berlaku sewaktu saya bekerja sebagai seorang pegawai polis pada satu ketika dahulu di Pusat Polis Kejiranan di salah sebuah kawasan di Barat Singapura. Rutin kerja kami macam biasa, membuat rondaan dan juga menerima sebarang panggilan atau sesiapa yang membuat aduan. Pada waktu kejadian ini, saya bekerja syif malam, kebetulan pada hari Khamis, iaitu Malam Jumaat.
Sekitar jam 3 lebih pagi, kami mendapat pesanan untuk buat pemeriksaan aduan. Kami mendapati ada tiga orang yang telah menghubungi pihak polis untuk melaporkan bahawa mereka mendengar suara perempuan menjerit dengan kuat. Jeritan itu datang dari kawasan blok bersebelahan dengan mereka. Yang peliknya, blok sebelah itu tidak ada penghuni dan bakal dijadikan EN-BLOC! Tiada orang yang tinggal di situ lagi! Walaupun sekeliling blok itu belum dipagar, tetapi di setiap tangga, setiap pintu dan tingkap di tingkat satu telah pun dikunci. Bayangkan blok lama, yang ada rumah di tingkat satu. Bloknya berbentuk huruf H dan berkongsi satu lif di tengah.
Sejurus kami turun dari kereta, kami seolah disambut dengan angin yang kuat seperti angin ribut. Saya dan teman sekerja saya juga merasakan seperti kami diperhatikan dari blok-blok yang kosong itu. Kami mulakan rondaan kami untuk mencari jika ada orang atau kejadian seperti apa yang dilaporkan kepada kami. Seperti yang saya ceritakan tadi, semua rumah tingkat satu dan pintu sudah dikunci, tingkap juga telah dikunci. Tiba-tiba, kami terdengar suara tapak kaki berlari dari satu rumah yang berada di tingkat satu.
Kami perlahan-lahan menuju ke rumah itu dan cuba membuka pintunya. Pintu itu tidak dikunci! Saya dan teman sekerja saya keluarkan belantan kami, untuk bersiap sedia jikalau ada apa-apa yang terjadi. Alangkah terkejutnya kami apabila kami memasuki ke rumah kosong itu dan kami ternampak perkakas-perkakas seperti untuk memuja. Ada bungkusan kain kuning di lantai di setiap penjuru rumah itu. Ada tempat membakar kemenyan. Dan rumah itu bau busuk tak terkata. Seperti yang kami jangkakan, tiada orang di rumah itu. Meremang bulu roma kami!
Kami melaporkan balik ke ibu pejabat tentang situasi rumah itu, jadi mereka boleh memberitahu pihak HDB untuk mengunci rumah itu. Lalu, kami keluar dari rumah itu untuk sambung rondaan di sebelah belakang blok yang sama itu pula. Persekitaran di belakang blok itu sangat gelap dan terdapat banyak pokok-pokok besar. Apabila berada di belakang blok itu, kami dapat merasakan seperti ada sesuatu yang memerhatikan gerak geri kami.
Kami dikejutkan dengan suara yang sayu sedang menangis. Suara tangisan itu merdu, dan sayu sangat. Tapi kita tidak tahu dari mana datangnya suara itu, keraana suaranya seolah-olah berada di sekeliling kami. Nak tak nak, kami terpaksa periksa dari arah mana datangnya bunyi itu. Takut-takut kalau itu adalah gurauan budak-budak nakal atau orang yang sedang bersembunyi di situ untuk menghalau kami.
Sedang kami menyuluh lampu ke tingkat-tingkat yang berada di atas, tiba-tiba terdengar satu bunyi ketukan di salah sebuah tingkap di tingkat dua. Kami menyuluh ke rumah itu. Saya dan teman sekerja saya beranikan diri untuk dekatkan diri dengan rumah tersebut. Di balkoni rumah tingkat dua tersebut, ada kucing hitam, badannya di dalam posisi seolah ingin menerkam kami. Ia mendesir dengan sangat garang sambil melihat kami, bulunya semua berdiri.
Macam-macam berlaku dalam waktu yang singkat di tempat yang sama. Hujan pula mula turun dengan lebat. Kami membuat keputusan untuk balik ke ibu pejabat untuk membuat laporan dan membuat permintaan untuk seluruh kawasan perumahan itu dipagar. Nasib baik kami tidak mengalami apa-apa gangguan selepas habis syif dan pulang ke rumah. Kini, kawsan blok itu sudah pun dirobohkan dan mereka sedang membangunkan rumah baru.
Sehingga kini kejadian itu menjadi satu misteri. Apa yang berlaku di rumah tingkat satu itu, adakah ia pernah menjadi rumah seorang bomoh? Adakah orang pecah masuk untuk memuja jin? Bunyi tangisan siapa yang kami dengar? Mengapa dalam banyak-banyak tempat, kucing hitam itu berada di tingkat dua balkoni blok kosong itu dan mengapa ia seperti ingin menyerang kami?
Sekian, terima kasih KC...
Comments