top of page
Search

Kebenaran Adanya Pocong...



Salam KC dan Geng Momok sekelian,

Name saya Lyna. Cerita ini saya pendam sudah setahun lamanya. Sekarang baru saya berani menceritakannya pada umum. Bukan lokek untuk bercerita, tetapi saya perlukan masa untuk kuatkan semangat saya. Pengalaman saya ini berlaku ketika saya menjadi seorang pelakon yang memainkan watak Pontianak di sebuah rumah hantu di Singapura ketika musim Halloween.

Setahun yang lalu saya pergi ke sesi ujibakat memainkan watak Pontianak ini kerana saya sedang menyambung pelajaran untuk mengambil diploma di salah sebuah politeknik tempatan. Kerja sambilan memainkan watak seram ini hanya pada hujung minggu dan untuk membantu membayar bil telefon bimbit dan perbelanjaan seharian saya. Alhamdullillah, boleh dikatakan gaji yang diterima selama bekerja beberapa malam dalam sebulan ini cukup untuk membantu saya.


Saya memang tidak menyangka bahawa saya akan dapat peranan memainkan watak Pontianak ini, kerana terlalu ramai yang datang menguji bakat untuk peranan ini. Tapi Alhamdulillah rezeki saya dapat menjadi salah seorang yang berjaya mendapat tempat. Bukan senang mendapat watak pelakon di lokasi ini. Kami harus pergi beberapa sesi ujibakat, kemudian bila telah terpilih, kami harus menjalani latihan intensif yang telah dijadualkan dan setiap kedatangan kami dianggap penting. Jikalau kami tidak boleh beri komitmen 100%, kontrak kami boleh ditamatkan.

Untuk pengetahuan semua pada hari pertama, kedua dan ketiga kami datang berlatih, kami tidak perlu menggunakan pakaian watak masing-masing. Kejadian yang berlaku pada saya terjadi pada hari kedua latihan. Pada hari kedua ini, bilik yang diadakan latihan ini hanya ada dua orang, saya dan rakan sekerja saya. Watak saya harus keluar masuk bilik tersebut dan cuba menakutkan rakan saya yang memainkan watak pengunjung rumah hantu itu. Sementara menunggu sekumpulan pengarah yang memasuki rumah kami, kami dibolehkan berlatih bersama. Semuanya dicatatkan di dalam sebuah kamera. Kalau ada yang harus diperbaiki, pengarah akan menegur dan memberi nasihat serta tunjuk ajar.


Watak Pontianak saya harus bermula dari luar pintu, masuk ke ruang bilik yang disebutkan tadi. Untuk pengetahuan dan gambaran kawasan bilik itu, sekiranya saya berdiri di luar bilik itu (belakang pintu) kawasan yang saya membelakangkan agak gelap dan tiada siapa-siapa. Sementara menunggu masa untuk mulakan latihan, saya berdiri di luar bilik. Tiba-tiba saya terdengar suara lelaki mengerang "Ergghhh... Eergghhh..." berpanjangan. Tetapi saya tidak menghiraukannya, dan menganggap ia kesan bunyi atau suara yang dibuat oleh pelakon-pelakon yang memainkan watak lain. Secara lazim, pelakon lelaki akan memainkan watak "mangsa" atau pengunjung rumah hantu.


Dalam keadaan yang menyeramkan itu, saya pun menjenguk ke dalam bilik kerana saya nampak ada kelibat orang berdiri di pintu masuk. Alangkah teperanjat saya, bila saya ternampak susuk Pocong berdiri di pintu masuk tersebut! Apa yang boleh saya perincikan tentang apa yang saya nampak, ketinggiannya dua kali ganda lebih tinggi dan lebar dari manusia biasa, mukanya hitam (tak nampak muka tapi lebih kepada kosong, lubang hitam). Yang kelihatan hanya separuh badan, lagi separuh tidak begitu jelas.

Dengan segera saya menutupi pintu dan beristighfar. Tetapi saya teringat rakan selatihan saya yang sedang melakonkan peranan beliau dengan penuh konsisten dalam bilik tersebut. Saya pun redah membuka pintu tersebut, makhluk Pocong itu tidak kelihatan lagi. Bunyi mengerang yang saya terdengar tadi pun telah berhenti. Yang kedengaran hanyalah bunyi efek dari rumah hantu kami dan teman-teman selatihan yang lain.


Rakan saya ternampak saya seperti serba tak kena dan seraya bertanya, "Kau kenapa?" Kerana tidak mahu menakut-nakutkan beliau, saya hanya menjawab, "Takde apa2..." Dengan spontan dia menegur, "Eh! Wangi eh kat sini?" Saya hanya mampu menjawab "Perasaan kau aje..." dan saya pun tidak menceritakan padanya apa-apa, hanya menyuruh beliau jangan menegur dan membaca ayat-ayat suci sebagai pendinding. Tetapi, cerita saya bukan berhenti di situ sahaja.

Pada malam itu, kami menamati latihan sekitar jam 12 malam. Selepas latihan, kami harus pergi ke ruang menunggu untuk sesi taklimat. Di situ saya ditegur beberapa rakan bahawa muka saya nampak pucat dan seperti tidak menentu. Saya menarik salah seorang rakan saya yang bernama Sarah ke belakang khemah tempat ruang menunggu. Sedang saya menceritakan pada beliau apa yang saya alami pada awalnya, saya terpandang pohon kelapa di belakang beliau. Pocong berkenaan sedang berdiri dan seperti merenung ke arah kami. Tersentak, saya tidak melanjutkan cerita dan mengajak beliau patah balik ke ruang menunggu.


Tunang Sarah merupakan salah seorang pelakon watak seram bersama-sama dengan kami. Melihat keadaan saya, Sarah menawarkan agar tunangnya menghantar saya pulang pada malam itu tetapi saya menolak dan memberitahunya saya akan menaiki teksi agar pulang cepat ke rumah. Sarah dan tunangnya menemani saya ke perhentian teksi apabila kami semua dibenarkan pulang dan seusai taklimat terakhir. 


Sewaktu di dalam teksi, saya sandarkan diri di tempat duduk belakang, cuba merehatkan diri dan melupakan apa yang terjadi. Namun satu perkara pelik yang berlaku, pemandu teksi membuka tingkap beliau dan membuat reaksi seperti mahu muntah (seolah-olah saya ini busuk / atau bau bangkai). Saya tidak berani bertanya padanya. Beliau juga asyik mengintai saya dari cermin hadapan. Mukanya kelihatan pucat seperti ternampak hantu.

Setelah tiba di kolong blok saya, dia tidak pusing untuk mengambil wang dari saya. Dengan tidak melengahkan diri, saya pun memberi $10 pada beliau dan menghalalkan bakinya. Saya cepat-cepat keluar kerana saya rasa ada yang beliau ternampak dan terbau. Saya tidak rasa selesa dengan kejadian-kejadian pada malam itu. Bulu roma saya meremang dari tempat kejadian sampai ke depan pintu rumah saya. Sebelum masuk ke dalam rumah, saya duduk di luar rumah sambil membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an. Setelah bulu roma saya tidak lagi rasameremang, saya memberi salam dan memasuki rumah.

Kejadian itu menghantui saya sepanjang malam itu dan keesokan harinya saya demam selama seminggu. Sememangnya pengalaman ini menghantui saya selama setahun dan adakalanya terbayang-bayang susuk yang saya ternampak bukan sekali, tetapi dua kali pada malam itu!


Terima kasih...


Lyna


P.S. Ini adalah gambar saya memainkan watak Pontianak tersebut...



436 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page