top of page
Search

Keistimewaan Mata Anak Sulung...

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,

Nama saya Norva dari Woodlands, Singapura. Saya ingin ketengahkan pengalaman keluarga saya di pantai Changi lama (sebelum ia menjalani proses pembaharuan). Kejadian ini berlaku lebih kurang tiga belas tahun yang lalu. Waktu itu saya sedang hamil lapan bulan dengan anak yang ketiga. Keluarga sebelah suami saya telah mengadakan acara kekeluargaan untuk meraikan ulang tahun salah seorang ahli keluarga kami di salah sebuah pit barbeku di pantai Changi. Anak perempuan sulung saya ketika itu berumur sekitar lapan tahun.

Sebelum teruskan kisah, saya nak berkongsi sedikit terlebih dahulu tentang anak sulung saya. Anak sulung saya ini memang dari kecil telah dianugerahkan dengan penglihatan yang "istimewa" ataupun lebih dikenali sebagai "Mata Ketiga". Ke mana kita pergi kalau bawa anak saya yang seorang ini, dia seolah-olah bole menjadi pemantau untuk kami sekeluarga.

Ini semua dengan izin Allah. Bukan saya nak taksub dengan perkara-perkara sebegini tetapi saya pun baru dapat tahu dengan kelebihan anak sulung saya ini sewaktu saya baru melahirkan anak kedua saya. Masa tu, makcik tukang urut yang mengurut saya dalam hari telah menegur sesuatu.

Kata makcik itu, "Anak awak yang besar ni istimewa! Ada yang menjaganya, awak didiklah dia betul-betul, Insha Allah dia boleh menjadi anak yang berjaya nanti..." Saya tergamam semasa makcik itu berkata begitu jadi saya bertanya padanya, "Apa maksud cik, 'ada yang jaga'?" Beliau pun menjawab, "Awak ada tak pernah bawa dia mandi-manda di kawasan air terjun ke tasik atau sungai?" Saya pun teringat semula, memang sebelum saya hamil dengan anak kedua, saya pernah bawak anak sulung saya ikut serta rombongan ke salah satu air terjun yang terkenal di Johor, air terjun Gunung Pulai tak salah saya nama tempat itu. Memang tempat itu sangat tenang, airnya jernih, sejuk dan suasana sangat nyaman.


Saya pun mengiyakan pertanyaan makcik urut tadi yang memang kami pernah ikut serta rombongan ke air terjun yang disebutkan tadi. Makcik urut berkata, "Mungkin yang menjaga anak awak skarang ni memang suka dengan anak awak sebab anak awak istimewa..." Waktu itu saya tak fikir apa-apa sebab anak saya memang tidak menunjukkan sebarang perangai pelik dan berkelakuan seperti kanak-kanak biasa. Disuruh belajar dia belajar, disuruh mengaji dia mengaji, jadi memang tidak ada masalah besar mendidik atau membesarkannya. Saya pun tak ambil kisah sangat tentang kata-kata makcik itu. Tapi saya mulai sedar yang semakin dia meningkat umur 4, 5, 6, 7 tahun dan seterusnya, deria "penglihatan" terhadap dunia ghaib semakin kerap untuknya.


Adakalanya saya beritahu suami mungkin dia inginkan perhatian dari kami. Tapi tidak juga sebab setiap kali dia dapat merasakan atau "nampak" sesuatu, dia tidak akan beritahu saya atau ayahnya secara spontan. Di lebih selesa berkongsi dengan atok atau neneknya. Dia juga sering beritahu mereka agar jangan memberitahu kami ibu bapanya. Jadi tidak mungkin itu petanda beliau ketagihkan perhatian dari kami.

Berbalik kepada cerita saya di pantai Changi, seperti yang saya kongsikan tadi, waktu itu saya sedang hamil lapan bulan dengan anak yang ketiga. Bukan saya seorang sahaja yang hamil pada waktu itu, ibu saudara kepada suami saya juga sedang hamil lapan bulan setengah juga. Usia kehamilan kami jaraknya hanya dua minggu sahaja. Saya memang ada membiasakan diri dengan zikir-zikir lazim sepanjang kehamilan (diajar oleh ibu dan ustazah saya). Ke mana saya pergi, saya memang lazimkan dengan bacaan zikir--zikir dan surah-surah tertentu untuk peninding diri dan anak dalam kandungan.

Sewaktu berada di pantai Changi, saya juga tidak banyak berjalan atau merayau kerana suami dan ibu mertua telah berpesan supaya saya duduk di pondok yang terang yang tersedia pada waktu itu. Saya duduk di kalangan saudara mara suami, bergurau dan berbual seperti biasa. Satu ketika dua orang anak saya datang pada saya untuk meminta izin bermain di taman permainan berdekatan bersama anak-anak sepupu suami yang lain. Oleh kerana mereka ramai, sekitar lebih kurang sepuluh orang kanak-kanak, saya izinkan walaupun pada masa itu dah pukul 11 malam.


Jarak taman permainan dari tempat kami berada dekat juga, lebih kurang lima minit perjalanan. Dari pondok yang kami duduk, memang tidak boleh nampak budak-budak bermain di taman permainan itu, melainkan kami berdiri di pit barbeku di hadapan pondok kami. Suami pun memberi kebenaran untuk anak-anak saya pergi bermain dengan kanak-kanak yang lain, sebab dari mana dia berdiri, dia masih boleh perhatikan anak-anak saya.


Tiba-tiba dua tiga orang dari kanak-kanak yang bermain di taman permainan itu datang kepada kami. Kerana salah seorang anak dari sepupu suami saya telah terbuang air besar dalam seluar. Mereka berteriak, "Cik Siti! Cik Siti! Si Mat Noh berak dalam seluar!" Siti pun menjadi berang. Beliau naik angin dan berkata, “Mat Noh! Kau berak dalam seluar lagi eh!” Terus dia pun mencapai sebatang ranting di lantai terus pergi bergegas untuk mendapatkan anaknya. Teruk juga Mat Noh dilibas dengan ranting kayu hanya kerana dia terlepas dalam seluar. Dengan ayah si Mat Noh sekali dimarahi si Siti.


Saudara mara yang lain ada yang cuba menenangkan Siti yang betul-betul naik angin ketika itu. Setelah keadaan kembali tenang macam biasa, tiba-tiba Siti terjerit dengan nada yang tinggi dan kemudian dia terus mengilai! Meremang bulu roma kami masa itu. Memandangkan ada dua orang ibu hamil waktu itu, keadaan kami sangat terdedah. Saya mulalah membaca istighfar berkali-kali untuk menenangkan hati. Siapa yang tidak terperanjat, benda jadi dengan tiba-tiba dan tanpa diduga.


Keadaan mula menjadi kecoh dan riuh. Beberapa orang lelaki dewasa dalam keluarga kami cuba untuk menenangkan Siti tapi tidak berhasil. Dia seperti macam ada kekuatan yang lebih - habis orang-orang yang pegang untuk tenangkan dan menahannya ditolak. Ada satu hamba Allah, seorang pakcik dari pit sebelah datang membantu. Kami nampak pakcik ini pegang kepala Siti, dengan kebenaran suaminya, dan mula membaca surah-surah tertentu.


Siti tiba-tiba menangis. Kami yang berada di sana menjadi terpinga-pinga. Tak tahu ini suaranya yang sebanar atau benda yang merasuknya. Diringkaskan cerita, beliau berjaya dipulihkan Alhamdulillah. Bila semuanya telah reda, suami saya pun panggil anak-anak kami dan terus kami pulang. Mujur dan syukur ke hadrat Illahi pada malam itu kami anak-beranak tidak mengalami sebarang gangguan.


Namun pada keesokan harinya sewaktu sarapan, anak sulung saya buka cerita. Begini cerita anak saya:


Anak: "Mama, Papa... Semalam sewaktu bermain saya ternampak sesuatu yang besar. Saya tak tahu itu manusia atau binatang..."

Saya: "Sesuatu? Seperti apa? Mana? Di taman permainan?"


Anak: "Bukan... Benda itu duduk di atas dahan pokok yang menghadap taman permainan..."


Terus meremang bulu roma saya bila anak menyebut “duduk di atas dahan pokok”. Saya pun mula “mengorek” cerita lagi..


Saya: "Oooh... Duduk di atas dahan? Mungkin burung hantu? Sebab burung hantu kan besar saiznya..."


Anak: "Tak lah Mama, saya pasti ia bukan. Ia berwarna putih. Burung hantu kan berwarna cokelat? Sebenarnya saya cuma nampak bahagian belakangnya kerana dia duduk menghadap laut. Ada rambut panjang tapi macam tak terurus. Saya takut jadi saya duduk dengan Kakak Sherry (anak sepupu suami yang berusia 12 tahun ketika itu) dan ajak adik duduk bersama. Selepas itu, benda itu pun hilang tapi tak lama kemudian kelihatan lagi di salah sebuah pokok berdekatan kelihatan seperti sedang memakan sesuatu dari tangannya..."


Saya cuba bayangkan, mungkin benda itu dalam keadaan bertenggek atas dahan pokok - dari pandangan tepi, tangan sebelah memegang daun-daun kering, tangan yangdi sebelah lagi mengambil daun-daun itu masuk ke dalam mulut.


Saya pun bertanya kepada anak saya lagi, "Kenapa tak bagi tahu Mama / Papa masa di sana? Mama tengok awal ok saja bermain dengan sepupu yang lain..."

Dia menjawab, "Kakak tak nak Mama terkejut atau takut..."


Aduhh tersentuh pula hati bila mendengar anak yang berumur lapan tahun boleh berfikir untuk melindung ibunya - bimbang kalau ibunya terkejut atau takut. Mungkin benda yang anak saya ternampak pada malam itu yang telah meresap ke dalam tubuh Siti sewaktu emosinya terganggu. Saya pernah dengar orang mengatakan benda-benda ini memang suka meresap atau mendekati jiwa-jiwa atau emosi yang lemah, contohnya orang yang sedang terlalu bersedih, terlalu marah sehingga lupa untuk beristighfar dan bertawakkal kepadaNYA.


Itu sahaja cerita saya. Alhamdulillah anak sulung saya sekarang dah pun berumur 19 tahun, mungkin kuasa Allah sebab semakin dia meningkat dewasa, deria penglihatannya untuk melihat makhluk-makhluk ghaib telah berkurangan. Ini mungkin punca sebab kadar penglihatannya kurang baik dan memerlukan memakai cermin mata yang mempunyai kadar degree yang tinggi. Tapi kalau saya taya tentang kejadian-kejadian atau penampakan yang dia pernah alami sewaktu dia kecil dulu, dia takkan pernah lupa. Sampai sekarang dia masih boleh ingat...



Salam sejahtera,


Norva dari Woodlands.



204 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page