Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,
Saya Akmar dari Selayang, Selangor. Saya nak ceritakan pengalaman saya sewaktu masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi awam di Petaling Jaya. Kisah ini berlaku sekitar tahun 2007. Masa mula-mula daftar di IPT tersebut ada juga terdengar dari pelajar senior bangunan ini merupakan bekas tapak hospital. Saya pada mulanya antara percaya dengan tidak sehinggalah saya pernah terkena satu pengalaman aneh di IPT tersebut.
Ketika itu, saya dan ahli keluarga baru sahaja menghantar ibu dan ayah menunaikan ibadah haji di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Hari berikutnya merupakan semester baru bermula. Urusan menghantar ibu dan ayah saya ketika itu berlangsung pada waktu malam. Saya risau juga kalau-kalau pegawai keselamatan tidak beri keizinan untuk masuk memandangkan jam ketika itu menunjukkan jam 10 malam. Kalau nak sampai ke IPT sekitar jam 11 atau 12 tengah malam dari tempat menghantar ibu dan ayah.
Selesai menghantar ibu dan ayah ketika itu, pakcik saya menghantar saya dengan menaiki kereta ke asrama bersama dengan adik-beradik. Sampai sahaja saya di hadapan pintu utama IPT, ternampak pegawai keselamatan sedang membaca suratkhabar. Aduhai memang saya kurang bernasib baik kerana terkena dengan pegawai keselamatan yang garangi ni. IPT saya dulu terkenal dengan pegawai keselamatan yang garang ini. Saya beranikan diri tanya padanya sama ada boleh atau tidak kereta masuk sehingga ke depan pintu utama asrama.
Asrama saya ketika itu berada di dalam IPT, jadi mudah bagi kami yang menuntut ketika itu kerana kemudahan asrama di dalam IPT. Alangkah sedihnya saya, baru sahaja berpisah dengan ibu dan ayah yang menunaikan haji, pegawai itu tidak menunjukkan belas kasihan pada saya yang dari jauh membawa barang-barang dan tidak beri kebenaran. Alasannya masa sudah lewat malam dan harus pulang sebelum masa yang ditetapkan dalam buku peraturan. IPT saya memang ketat peraturannya. Beg baju lagi, laptop memang berat. mengomel saya sendirian sambil geram dengannya. Oh ya, saya terperasan ada seorang pegawai wanita di sebelah pegawai keselamatan tersebut. Kalau tidak silap saya, masa saya minta kebenaran, pegawai wanita itu sedang sedang duduk di atas motosikal.
Selesai saya mengangkat beg berisi pakaian dan komputer riba serta barang-barang keperluan lain dari bahagian belakang kereta dan bersalaman dengan adik beradik, saya mengucapkan terima kasih pada pakcik kerana menghantar saya. Saya mula berjalan dari depan pintu utama IPT sampai ke asrama. Masa itu memang bengang dan marah sangat dengan pegawai keselamatan itu. Macam tak nampak ke saya membawa banyak barang. Sampai hati biarkan saya berjalan seorang diri pula tu.
Sedang saya berjalan, di kiri saya merupakan bangunan asrama lelaki dan perempuan yang heboh dikatakan bekas tapak hospital. Berhadapan asrama lelaki terdapat sebuah padang bola dan gelanggang sepak takraw. Sedang saya berjalan, saya terdengar suara pelajar lelaki membuat bising seperti sedang bersukan. Pelik juga saya pada waktu itu, ada ke orang bermain sepak takraw malam-malam begini? Saya sempat toleh ke kiri di mana terdapat bunyi tersebut. Alangkah terkejut saya, saya ternampak macam kelibat orang bermain takraw, semuanya hitam, muka memang tidak nampak!
Perjalanan harus diteruskan. Memang kaget saya pada waktu itu. Telefon bimbit pun sudah kehabisan kredit di dalamnya. Hendak telefon kawan satu dorm pun tidak boleh. Kononnya kalau dapat hubung kawan saya, dapatlah menemani saya sepanjang berjalan pulang ke asrama. Saya terpaksa juga jalan laju. Perjalanan dari hadapan pintu utama ke asrama saya memakan masa sekitar sepuluh minit. Saya yang masih dalam ketakutan dan terkejut terus menuju ke blok asrama.
Sempat juga keheningan malam diganggu bunyi-bunyian dari blok asrama lelaki yang masih belum tidur semasa saya jalan menuju ke blok asrama. Blok asrama saya berhampiran dengan blok asrama lelaki. Sampai di blok asrama, saya dapati pagar asrama telah dikunci. Hendak minta pertolongan pegawai keselamatan, tiada pula yang meronda di kawasan depan pintu pagar asrama. Kredit telefon pun dah habis. Nasib saya baik, terdapat sebuah asrama perempuan yang berhampiran tidak berpagar dan terdapat pondok telefon. Memang saya tawakkal sahaja, sama ada boleh atau tidak telefon di pondok telefon itu digunakan atau tidak. Alhamdulillah boleh digunakan.
Saya capai telefon bimbit, cari nombor teman dorm saya. Nasib saya baik, salah seorang daripada mereka, Yana, belum tidur lagi. Saya minta tolong Yana minta pada pegawai keselamatan di asrama untuk buka pintu pagar asrama. Usai pagar asrama dibuka, saya masih dibelenggu rasa terkejut dan bingung tentang kejadian yang berlaku pada saya sewaktu berjalan pulang ke blok asrama saya. Alangkah terkejutnya saya pegawai wanita yang di atas motor pada awalnya tiba-tiba berada di asrama saya. Sebab seingat saya selepas saya meminta kebenaran untuk kereta masuk ke asrama, beliau telah beredar meronda ke blok asrama lain bersendirian. Untuk pengetahun semua, untuk ke blok asrama saya, dia perlu lalu jalan yang sama saya lalui tadi. Yang menjadi satu keanehan, dengan pantas dia boleh sampai di blok asrama saya! Mustahil saya tak perasan ada kenderaan lalu sepanjang saya berjalan pulang.
Lama juga saya simpan kisah aneh tersebut sehinggalah pihak IPT menganjurkan sebuah aktiviti wajib setiap semester. Saya telah menceritakan kisah itu pada kawan sekumpulan saya. Mereka saya namakan Alia dan Ayu. Kedua-dua mereka kebetulan rakan sekelas saya sejak semester pertama lagi. Saya menceritakan hal tentang saya ternampak kelibat hitam bising bermain takraw. Nak dijadikan cerita, aktiviti wajib yang pihak IPT anjurkan ini, selama dua hari, jadi pada keesokan harinya Alia khabarkan ada saya yang dia hendak beritahu hal yang sebenar dan jangan terkejut katanya.
Alia menyusun kata, katanya setelah dia bertanya pada seorang rakan lelaki yang duduk di blok asrama berhampiran dengan gelanggang sepak takraw yang saya ternampak kelibat tersebut, rakan lelakinya berkata gelanggang itu tidak dibuka. Memang sangkaan saya pada malam saya terkena itu benar, mana ada orang yang hendak bermain malam-malam ketika itu dan esoknya kelas semester baru bermula. Sampai sekarang kalau diingatkan kembali, memang itulah memori yang saya tidak boleh lupakan sepanjang hidup saya.
Terima kasih KC sudi ketengahkan kisah saya ini...
Comments