top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Kejadian di Airport Pound

Assalamualaikum KC,


Nama saya Hilman dan ini pertama kali saya hantar emel untuk berkongsi pengalaman saya di Malam Seram. Ini salah satu kes yang mengerikan dalam hidup saya yang saya cuba buang jauh dari fikiran tetapi tetap teringat juga sehingga ke hari ini. Kejadian ini berlaku pada tahun 2015, ketika itu saya sedang menjalani Perkhidmatan Negara di Akademi Home Team dan kemudian saya dihantar ke Divisyen Polis Trafik.


Di Divisyen Polis Trafik ini, saya telah ditugaskan untuk menjaga kawasan yang dinamakan "Airport Pound" bersama seorang lagi teman sekerja bernama Abang Jo. Kawasan ini adalah tempat meletak kereta-kereta yang telah terlibat dalam kemalangan di jalan raya. Bukan kereta sahaja, tetapi bas, motosikal, lori, teksi semuanya ada. Abang Jo merupakan pegawai sepenuh masa dan merupakan salah seorang pegawai senior. Dah namanya kisah seram, kejadian ini berlaku sewaktu kami bertugas pada sebelah malam.


Di belakang kawasan Airport Pound ada sebuah bangunan yang sudah lama ditinggalkan begitu saja. Tempatnya berkarat, banyak rumput-rumput tinggi, dan amat gelap apabila tibanya waktu malam. Pada malam kejadian itu, saya dan Abang Jo memang sibuk dengan kerja masing-masing, menyiapkan beberapa laporan untuk dihantar kepada pihak atasan. Diam tak diam, telefon di pejabat berbunyi tepat pukul 12 tengah malam.


Apabila gagang telefon diangkat, saya terdengar suara salah seorang pegawai yang bertanyakan samada kami berdua dah pergi meronda atau belum. Saya dengan mata yang sedang melawan rasa ngantuk berkata yang kami belum melakukannya. Pegawai di hujung talian pun berkata, "Eh dah pukul berapa ni, sepatutnya tadi pukul sembilan malam korang dah buat, tahu? Pergilah buat jadi boleh cepat-cepat rehat..."


Saya tengok jam tangan saya, Ya Allah sudah pukul 12 malam! Saya dan Abang Jo tidak perasan sama sekali kerana kami memang sibuk membuat kerja sendiri. Abang Jo kata pada saya "Kau tahu buat tak? Kau tahu mana perhentian yang perlu kita pergi kan?" Saya hanya mengangguk dan berkata yang saya tahu. Abang Jo kemudian memberitahu saya, "Okay kau pergi dulu, aku nak ambil pesanan makan ni. Dah habis, telefon ibu pejabat dan beritahu mereka kita dah habis meronda..."


Saya pun pergi dahulu dengan membawa lampu suluh dan alat yang digunakan untuk merakam setiap kali kami di suatu perhentian. Apabila saya hendak ke kawasan belakang, saya boleh lihat bangunan yang kosong dan gelap yang disebutkan awal tadi. Tiba-tiba, saya terdengar suara perempuan sedang menyanyi gurindam dan datang dari arah bangunan yang sudah terbengkalai itu. Saya berkata dalam hati, tidak mungkin ada orang sebab ini kawasan larangan dan mungkin hanya permainan minda saya sahaja.


Saya cuba kuatkan semangat dan sambung meronda tetapi di dalam hati saya seperti dapat mengagak bahawa pasti ada kejadian susulan yang akan terjadi selepas itu. Saya tidak menunggu lama untuk mengalami apa yang saya sangkakan pada awalnya. Sedang saya berjalan, tiba-tiba di depan mata saya, saya ternampak sosok tubuh seperti makhluk Cik Pon sedang duduk di atas salah sebuah kereta yang sudah buruk kerana terlibat dalam satu kemalangan.


Saya dengan secara automatik beristighfar. Benda itu melihat dan terus bangun menuju ke arah saya. Saya masih ingat lagi yang saya memekik "Allahu Akbar! Allahu Akbar!" dan lari secepat mungkin sehingga terlihat kelibat Abang Jo di dalam pejabat. Abang Jo bertanya pada saya, "Eh kenapa kau berpeluh ni, kau lari ke apa?" Saya tidak berani untuk memberitahunya apa yang terjadi. Saya hanya mampu bertanya samada makanan yang dipesan telah sampai atau belum? Abang Jo seperti tidak endahkan soalan saya. Dia hanya bertanya, "Eh kau tak habiskan meronda? Ni orang pejabat dah telefon dan berkata yang kau belum mulakan rondaan lagi..."


Saya mengajak Abang Jo ikut saya sekali dan dia bersetuju. Kami berjalan dan meronda di tempat yang saya ternampak Cik Pon itu Abang Jo pula tiba-tiba menegur, "Wahhh senyap pula malam ni, selalu di sini ada suara anjing menyalak atau bunyi kriket. Ini tidak! Senyap sunyi, pelik ehhh..." Kami teruskan meronda sehingga di satu tempat, tiba-tiba Abang Jo berhenti dan menyuruh saya pusing ke belakang dan pusing kembali ke pejabat.


Setelah sampai di pejabat, Abang Jo berkata, "Hilman baru aku tahu kenapa tadi kau berpeluh. Aku pun nampak si dia! Dah jom kita makan dan lupakan saja kejadian itu..." Kami berdua tidak dapat tidur selepas itu. Saya ambil wudhu and tunggu sampai waktu Subuh untuk solat sebelum kami balik ke divisyen masing-masing. Bila tiba waktu pulang, saya sempat menceritakan kepada Abang Jo dan dia berkata, "Ohhh aku ingatkan kau dah tahu... Ini bukan kali pertama berlaku. Setiap tahun pasti ada pegawai baru atau yang muda diganggu dan dapat melihatnya..."


Begitulah pengalaman saya. Terima kasih selamat tengah malam kepada semua pembaca blog Malam Seram!

443 views0 comments

Recent Posts

See All

댓글

별점 5점 중 0점을 주었습니다.
등록된 평점 없음

평점 추가
bottom of page