top of page
Search

Kejadian Di Hotel Senai, Johor

Assalamualaikum KC,

Saya Nora dari Kulai, Johor, ingin berkongsi kisah seram semasa saya bekerja sementara menunggu keputusan SPM. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1994, semasa saya berumur tujuh belas tahun selepas menduduki SPM. Saya bekerja sementara sebagai pegawai pengendali perhubungan di salah sebuah hotel di kawasan Senai, Johor.


Kejadian ini berlaku semasa saya bekerja syif malam, masuk kerja pada pukul 11 malam. Kami ada van pekerja yang menghantar dan menjemput kami ke sana. Sampai di tempat tugas, saya ke loker yang terletak di bahagian bawah tanah. Jalan laluan menuju ke tandas atau bilik persalinan di bawah tanah agak menyeramkan dan malap pada malam hari. Pada syif malam tidak ramai pekerja yang berpangkalan di pejabat kerana waktu operasi pada sebelah siang hari, cuma beberapa orang saja yang bekerja.

Saya ke loker untuk tukar baju seragam. Kawan-kawan yang lain di bahagian pejabat utama di resepsi, mungkin sudah datang awal. Saya seorang diri ke loker dan tandas itu. Dalam loker itu memang ada tandas sekali untuk kemudahan pekerja. Mulanya saya memang tidak ada rasa seram kerana saya berjalan sambil bernyanyi kerana mendengar lagu dari alat fon telinga.


Sesudah sampai ke dalam loker, saya ke tandas untuk membuang air kecil. Ketika itu saya terdengar kubikel bilik air sebelah ada kedengaran seperti bunyi air dan seperti orang pam jamban selepas menggunakannya. Jadi saya sangkakan ada pekerja lain yang ada di dalam kubikel itu. Saya pun rasa lega sebab sangkaan saya ada kawan dan boleh ajak berbual, lantas saya pun bertanya, "Siapa tu?"

Namun persoalan saya tidak disambut. Tidak ada sesiapa yang menyahut sapaan saya. Saya buat tak endah saja sebab saya fikir orang itu mungkin tidak kenal saya sebab itu dia tak menyahut panggilan saya. Saya pun keluar dari kubikel menuju ke loker saya untuk menukar pakaian seragam saya. Saya menukar pakaian sambil bersolek dan mengambil masa selama lebih kurang lima belas minit di sana. Saya masih terdengar bunyi air paip terbuka dan pintu kubilkel sebelah tadi berbunyi seperti dibuka dan ditutup tetapi orangnya masih belum keluar lagi.


Saya masih menunggu kerana ingin tahu siapalah pekerja yang sombong itu. Tiba-tiba saya seperti tersentak dan terus meremang bulu roma saya. Saya baru tersedar itu mungkin bukan orang tetapi gangguan sesuatu yang ghaib. Saya pun berlari sekuat hati keluar dari bilik loker itu seperti orang yang hilang arah tujuan. Syukurlah saya ternampak pengawal keselamatan. Saya pun ceritakan semua pada mereka dan meminta mereka temankan saya untuk ambil barang-barang saya di sana.

Saya pun sudah tidak mahu bekerja syif malam lagi selepas itu. Saya fobia dan takut sangat. Mak ayah membawa saya berjumpa salah seorang pakcik saya untuk dipulihkan semangat saya semula kerana ketakutan. Akhirnya saya pun tidak mahu lagi bekerja di sana. Sebelum ini saya ada terdengar cerita-cerita dari pekerja lain tetapi saya tak terlalu memikirkan sangat. Bila saya terkena barulah saya tahu macamana perasaannya. Seram sangat...


Terima kasih. Itulah pengalaman saya dulu. Selamat tengah malam geng semua...

Semoga Malam Seram terus sukses dan makin meleTOP!

963 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page