top of page
Search

Kejadian Sebelum Hari Pertunangan

Assalamualaikum KC dan para pembaca blog Malam Seram!


Nama saya Nabilah. Saya ingin berkongsi cerita saya yang tidak begitu menyeramkan. Ini terjadi pada bulan Januari tahun 2018 sewaktu saya hendak bertunang. Saya bertunang pada hari Sabtu, jadi hari Jumaat sebelumnya, keluarga saya membuat persiapan untuk majlis pertunangan saya. Sepupu-sepupu rapat serta nenek dan datuk saya bermalam di rumah saya. Agak meriah jugalah keadaan.


Kejadian berlaku sekitar jam 12 lebih malam, sedang kami semua berehat, kecuali nenek yang sedang sibuk memotong bunga rampai. Nenek saya boleh nampak makhluk halus. Hendak dijadikan cerita, sedang kami berbual sambil minum air dan makan cemil-cemilan, tiba-tiba kami terbau haruman bunga yang amat wangi. Pendek kata bauan bunga melur!


Pada waktu itu saya ingatkan sepupu saya yang memakai minyak wangi yang mempunyai haruman bauan bunga melur, tetapi bila saya cuba menghidu bajunya, dia memakai minyak wangi yang lain. Saya tidak fikirkan apa-apa yang mencurigakan lalu saya pun sambung berbual. Sedang asyik berbual, semakin lama semakin kuat baunya. Nenek saya pun bersuara, "Korang baca apa yang korang tahu..." Kami dengan secara automatik terdiam lalu masing-masing mula membaca bacaan surah-surah suci yang kami tahu.


Tingkap depan dalam rumah saya memang terbuka luas pada malam itu. "Eh Ilah kau pergi tutup tingkap tu. Dah pukul berapa ni? Korang biarkan tingkap terbuka aje ya?" marah nenek saya. Saya pun pergi menutup tingkap. Apabila saya hendak tutup tingkap saja, saya ternampak kelibat seekor burung berwarna putih terbang dan sayapnya berkibas begitu kuat dan laju sangat.


"Astaghfirullah!" saya tersentak dan mengucap, sebab setahu saya burung apa yang terbang malam-malam? (Nota penyunting: Burung Hantu lah dik oiiii!!!) Baru saja tutup tingkap, nenek saya pula beristighfar. "Astaghfirullah!!! Ilah kau buka bacaan orang mengaji sekarang! Cepat!" Saya pun putarkan bacaan surah-surah suci menerusi aplikasi YouTube. Bila kami bertanya kepada nenek apa yang dia nampak, nenek memberitahu kami yang dia nampak kain putih terbang menuju ke arah sebuah pokok.


Nenek bertanya saya pula, "Tadi aku dengar kau mengucap, kenapa? Ada benda tak kena?" Saya pun memberitahu nenek yang saya ternampak seekor burung terbang. Nenek tanya saya lagi, "Badan kau kotor eh?" Saya hanya diam dan menganggukkan kepala. "Patutlah... Darah manislah katakan. Nanti sebelum tidur kau baca surah Al-Fateha, Tiga Qul dan Ayatul Kursi. Telefon bimbit kau tu kau putarkan bacaan surah-surah suci, Insya Allah, Allah akan lindung hambaNYA..."


Syukur Alhamdulillah, mujur tidak ada apa-apa yang berlaku selepas itu dan majlis keesokan harinya berjalan dengan lancar. Itu sahaja cerita saya. Terima kasih kerana sudi berkongsi.


Selamat Malam Seram dan Assalamualaikum!

460 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
bottom of page