Search

"Kelebihan" Anak Pertama

Salam KC,


Saya Asyraf berasal dari Perak dan kini menetap di Shah Alam, Selangor. Ceritanya begini, saya ada satu kisah berkenaan anak pertama saya yang mempunyai kelebihan untuk melihat makhluk halus. Kisah ini terjadi pada tahun 2013 dan apa yang ingin saya ceritakan adalah kisah di mana anak pertama saya melihat sosok tubuh makhluk di hentian R&R di Teluk Intan, Perak. Kejadian ini merupakan yang pertama kali berlaku, maklumlah anak yang masih kecil sememangnya hijabnya terbuka dan mampu melihat kelibat atau bayangan jika diizinkanNYA.


Kebiasaan cuti hujung minggu saya dan keluarga akan pulang ke kampung iaitu perjalanan dari Shah Alam menuju ke Perak. Ketika itu waktu malam kerana kami bergerak selepas selesai pulang bekerja. Jadi perjalanan yang memakan masa selama tiga atau empat jam sudah tentunya penat, dan pada malam tersebut, kami memutuskan untuk berhenti kerana terlalu mengantuk dan ketika itu terdapat hentian yang mempunyai medan selera atau restoran ala kampung yang terletak di Teluk Intan.


Setelah sampai di kawasan hentian tersebut, saya pun memberhentikan kenderaan saya betul-betul di hadapan sebatang pokok yang terletak di belakang kawasan tandas awam di kawasan parkir tersebut. Pada mulanya tiada apa-apa yang terjadi atau pelik. Saya pun melelapkan mata untuk seketika dan berkata kepada isteri saya untuk tidur sementara. Jika diikutkan, di hadapan kami terdapat kawasan makanan seperti medan selera tetapi pada malam tersebut kawasan berkenaan sudah pun tutup dengan kata lain tempat tersebut gelap kerana lampu ditutup.


Setelah beberapa ketika, kira-kira dalam setengah jam saya terlelap, saya merasakan seperti badan saya digerak-gerakkan. Apabila tersedar baru saya perasan isteri saya mengejutkan saya dan ketika itu saya melihat wajah isteri saya seperti resah dan cemas. Saya dapati anak saya yang sebelum itu duduk di bahagian depan sebelah saya telah berada di belakang sambil memeluk ibunya dalam keadaan takut. Saya yang ketika itu tidak tahu apa yang terjadi bertanyakan pada isteri saya apa yang terjadi.


[Dialog saya & isteri]


Saya: "Kenapa ni, sayang?"

Isteri: "Bang, cepat bang... Kita gerak dari sini cepat..." (dengan suara yang cemas)

Saya: "Eh, kenapa ni?"

Isteri: "Cepatlah. Nanti Sayang cerita, kita kena pergi dari sini cepat..."

Saya: "Okay... Okay..."


Saya yang turut cemas segera memandu kenderaan dan tinggalkan kawasan tersebut. Ketika itu, saya sangkakan ada orang mengganggu mereka ketika saya sedang tidur. Yelah, risau ada perompak ke apa. Maklumlah kadangkala di kawasan hentian kita tidak tahu apa yang kita akan terserempak, tambah lagi pada waktu malam. Setelah beredar dari situ, saya pun meminta isteri saya menceritakan apa yang berlaku ketika saya sedang tidur.


Isteri saya menceritakan yang anak saya pada ketika itu duduk di kerusi hadapan sebelah pemandu menunjuk-nunjuk ke arah pokok di hadapan kenderaan kami sambil menutup mata seperti ketakutan lalu berpindah ke belakang dan memeluk isteri saya sambil mengatakan ada hantu (anak pada ketika itu masih pelat bercakap). Menurut isteri saya, anak saya berkata seperti ini padanya:


[Dialog Anak]


Anak: "Ibu... Ada orang besar banyak tulang kat situ... Takutttt...!"


Isteri memandang ke arah depan dan melihat ke kiri dan kanan tetapi tidak ada apa-apa.


Anak: "Orang tu ada kat sebelah tingkap Ibu!"


Isteri pada ketika itu terus meremang bulu roma selepas anak cakap macam itu. Isteri pun terus mengejut saya. Pada ketika itu meremang bulu roma saya dan cuba bertenang sambil meneruskan perjalanan pulang yang masih berbaki sejam untuk sampai ke destinasi.

Setelah sampai, saya dan isteri masuk dan cuci kaki kami sekeluarga kerana adat jika balik malam basuh kaki supaya tiada benda-benda yang tidak elok mengikut balik. Pada ketika itu anak pun sudah tidur kerana keletihan. Keesokannya, saya menceritakan kepada mak saya mengenai apa yang terjadi semalamnya ketika kami berhenti di hentian. Saya meminta anak saya menceritakan apa yang dilihatnya pada malam tersebut.

[Dialog]


Anak: "Semalam, abang (dia bahasakan dirinya dengan panggilan itu) nampak ada hantu tulang. Mata dia merah. Badan dia besar. Tulangnya panjang. Takut..."


Pada hari tersebut badan anak saya tidak sihat seperti demam. Kemungkinan akibat dia menegur makhluk tersebut pada malam itu. Mak saya dilihat kerap membacakan ayat suci Al-Quran serta doa pada ubun-ubun anak saya semasa anak saya sedang tidur.

Kejadian ini tidak berhenti setakat itu sahaja. ketika dia mula memasuki tadika, banyak kejadian seperti diganggu di tempat tadika juga ada. Pernah satu ketika dia seperti dicubit di kaki ketika tidur di tadika dan terdapat juga beberapa gangguan yang terkena pelajar lain juga sehingga memaksa tadika tersebut terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan pihak sekolah "membersihkan" kawasan tadika tersebut.


Kerana sudah tidak tahan anak saya sering diganggu kerana kelebihan ini, pengasuh anak saya menawarkan untuk membawa anak saya bertemu seorang ustaz yang dikatakan boleh menolong menutup hijab kanak-kanak. Jadi saya pun membawa anak saya bertemu ustaz tersebut di Saujana Utama (Sg. Buluh), Selangor.


Ketika di rumah ustaz tersebut, beliau membaca ayat suci Al-Quran, tidak silap saya surah Al-Baqarah dan ada bahagian ayat dibaca berulang kali. Setelah selesai, ustaz berkenaan ada menyediakan sebotol air yang telah dibaca ayat suci dan memesan kepada saya untuk memandikan anak saya dengan air tersebut sambil berselawat selama tiga hari berturut-turut. Alhamdulillah selepas itu tiada lagi anak saya mengadu melihat kelibat atau gangguan hantu sehinggalah dia telah memasuki sekolah rendah sekarang.


Sekian terima kasih!

90 views0 comments

Recent Posts

See All

Bunyi Batu Dicampak Ke Tingkap Bilik Tidur

Assalamualaikum KC, Saya Rina. Saya ada pengalaman peribadi yang ingin saya kongsi bersama para pembaca blog Malam Seram. Saya tinggal di kawasan barat Singapura, berdekatan dengan Brickland Road. Kej

Mimpi Ditindih

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram, Nama saya Ilya. Saya pernah ditindih ketika mengalami demam panas. Elok-elok saya boleh tidur dalam bilik, sekarang saya sudah tidak berani tidur dalam

Suara Menggigil

Assalamualaikum KC, Saya berasal dari Perak, Malaysia. Nama saya Fiza, berumur 34 tahun sekarang. Peristiwa ini berlaku ketika umur saya enam belas tahun (Tingkatan 4) di salah sebuah sekolah asrama d