top of page
Search

Kelibat "Cik Tiana"!

Assalamualaikum KC,

Nama saya Hana dari Johor Bahru. Kisah yang saya ingin ceritakan ini berlaku kira-kira 3 tahun lepas. Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan ini dah lama juga sekitar dua be;as tahun lamanya.


Ada sebuah rumah terbiar di kawasan ini yang memang telah lama sangat dikosongkan. Sebelum saya berpindah lagi rumah itu memang tidak terurus. Keadaan luar rumah itu penuh dengan semak samun, ada pokok besar di laman dan tembok sisinya ada satu lubang yang agak besar jadi orang luar boleh masuk. Memang sebelum ini telah banyak sebenarnya kisah tentang penampakan kelibat kain putih dekat rumah itu. Ada yang kata dekat pokok besar itu boleh kedengaran bunyi suara seorang perempuan yang sedang menangis.


Nak dijadikan cerita, saya kalau pergi ke kedai, saya suka ikut jalan pintas iaitu laluan di kawasan perumahan bersebelahan dengan rumah saya, sebab kedai yang saya hendak pergi itu sedikit jauh dan kalau ikut lorong kecil dari kedai, terlalu banyak kereta. Pada satu hari, saya baru pulang dari kedai dan pada masa itu waktu senja dan hampir memasuki waktu Maghrib. Saya lalu di kawasan perumahan itu seperti biasa yang saya selalu lakukan. Saya tidak merasakan apa-apa yang pelik ketika itu.


Tiba di depan rumah tersebut, bulu roma saya dah mula meremang. Saya pula jenis suka menjaga tepi kain orang lain dan ikut terjenguk-jenguk dalam rumah itu. Rumah itu cuma berpagar tetapi tidak ada tingkap ataupun pintu. Bila saya jenguk ke dalam rumah itu, secara alami saya boleh melihat apa yang ada di dalam rumah terbiar itu. Dalam rumah itu nampak gelap dan agak menyeramkan. Halaman rumah penuh dengan semak samun. Jadi bila saya sedang menjenguk-jenguk ke dalam rumah itu, saya terperasan ada satu kelibat dan waktu itu saya terasa seram sejuk. Saya fikir mungkin ada kain yang tergantung. Saya hendak bergerak dan beredar tetapi mata saya masih lagi melihat ke arah rumah tersebut.


Baru saja saya hendak beredar, saya ternampak dekat pagar dalam rumah itu ada sosok tubuh berkain putih berambut panjang dan saya pasti itu "Cik Tiana" (Kakak Cantik)! Saya dah gelabah habis sebab dah ternampak secara depan mata. Selalunya hanya melihat dari rancangan di kaca televisyen saja. Dalam keadaan gelabah, saya terlupa hendak membaca surah-surah suci yang saya hafal. Yang saya ingat pada ketika itu hanyalah surah Al Fatihah saja. Sepanjang saya berjalan saya membaca surah tersebut tidak berhenti sehingga saya sampai di rumah. Waktu saya sampai di rumah, nenek saya bertanya, "Kenapa muka kau macam pucat ni, Kakak?" Saya panggil nenek saya dengan panggilan "Mak". Saya pun menjawab, "Tak ada apalah Mak, tadi ada anjing kejar, tu yang jadi takut sekejap..." Nenek saya rasa pelik sebab biasanya saya pergi ke kedai, saya memang berani menghadap anjing liar di sekitar kawasan perumahan rumah. Walaupun berasa pelik tetapi nenek saya hanya akurkan saja. Memang saya masih dalam keadaan terkejut kerana selama dua puluh dua tahun saya hidup dan walaupun pernah dirasuk dulu, saya tidak pernah nampak hantu atau seangkatan dengannya. Hari itulah kali pertama saya ternampak "Cik Tiana" dengan mata kepala saya sendiri!

Saya cuma ingin berpesan pada budak-budak yang selalu bermain sampai waktu senja agar terus pulang sebelum masuk waktu Maghrib sebab orang lama selalu berkata pada waktu senja ini "MEREKA" sering berkeliaran dan mungkin ingin mencari mangsa.

Itu saja cerita yang saya ingin kongsikan pada pembaca blog Malam Seram. Assalamualaikum dan selamat malam...

189 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page