top of page
Search

Kelibat Lembaga Putih Di Luar Tingkap!

Assalamualaikum KC,


Panggil saja saya dengan nama samaran saya Enma Ai. Saya berasal dari Sarawak. Saya merupakan pendengar setia KC semenjak tahun 2012 lagi. Mendengar rancangan kelolaan KC memang sudah menjadi salah satu aktiviti wajib yang perlu saya lakukan pada malam hari. Berbalik pada topik asal, kisah yang saya ingin ceritakan ini merupakan pengalaman peribadi saya. Terpulang kepada semua samada ingin percaya atau pun tidak kisah yang saya akan ceritakan ini. Tapi, ini adalah pengalaman peribadi saya.

Kisah ini berlaku pada tahun 2008, ketika saya masih darjah dua. Sepanjang hidup saya, saya memang meminati perkara-perkara yang berunsur paranormal. Saya banyak menyimpan majalah-majalah paranormal semenjak umur saya masih kecil. Namun, saya tidak pernah sekali pun berdepan dengan entiti paranormal. Sehinggalah pada satu hari pada tahun 2008.


Saya dan keluarga saya berpindah ke sebuah rumah yang terletak di sebuah kawasan pedalaman. Reka bentuk rumahnya memang sangat memuaskan, bertingkat dua, kawasan kejiranan yang dekat dan persekitaran yang segar, pendek kata, semuanya lengkap. Rumah tersebut sudah ditinggalkan dalam satu tempoh masa yang agak lama. Kehidupan kami di dalam rumah itu sangat tenang dan harmoni, namun beberapa bulan selepas berpindah ke dalam rumah tersebut, saya mula perasan sesuatu yang pelik.

Pada satu malam pada tahun itu, saya sedang sibuk menyiapkan kerja sekolah bahasa Inggeris di tingkat atas. Waktu itu semua ahli keluarga saya berada di tingkat bawah. Saya seorang saja yang berada di tingkat atas. Saya berusaha menyiapkan kerja sekolah saya sebab saya dah lapar. Dari petang saya tidak makan. Di bahagian tingkat atas, saya duduk berhadapan dengan sebuah tingkap dan sebuah pintu, di mana apabila kita membukanya, kita akan menuju ke balkoni rumah tersebut.


Beberapa minit kemudian, saya mendengar seolah-olah tombol pintu tersebut seperti ingin dibuka dari luar, oleh sebab pintu tersebut sudah dikunci dari dalam, jadi saya tak rasa takut sangat. Beberapa saat selepas itu, bunyi itu berhenti. Tak tahu lah apa yang merasuk saya pada masa itu, sepertinya ada sesuatu yang menarik perhatian saya untuk terus menatap ke arah tingkap. Beberapa saat kemudian, dengan mata kepala saya sendiri, saya ternampak lembaga putih melintas di hadapan mata dalam beberapa saat saja!

Saya terkedu dan tersentak! Lembaga putih tersebut dalam keadaan yang sangat cepat! Saya tidak tahu apa benda itu. Bulu roma saya dah mula meremang, di tingkat atas memang saya seorang saja pada waktu itu. Saya apa lagi, terus lari pergi ke bawah dalam keadaan tergesa-gesa. Walaupun masa itu umur saya baru lapan tahun tapi saya masih boleh bezakan, mana hantu dan mana manusia. Kalau ia manusia, disebabkan lantai balkoni kami diperbuat dari kayu lama, kayu itu pasti akan mengeluarkan bunyi. Mustahil seorang manusia boleh berjalan begitu cepat seolah-olah kakinya tidak berpijak tanah sama sekali. Perkara itu terngiang-ngian di dalam benak fikiran dan menghantui saya sepanjang minggu itu.


Selepas beberapa tahun kejadian seram itu berlaku, sekitar tahun 2012, ada salah seorang jiran saya menceritakan tentang sejarah rumah itu. Rupanya, rumah itu bekas orang yang telah memelihara saka! Ada juga yang mengatakan rumah itu dihuni oleh seekor saka yang tidak bertuan dan sedang mencari tuan baru. Ya Allah, Tuhan saja tahu betapa takutnya saya bila mendengar kisah-kisah dari mereka. Namun, saya tidak pasti adakah ianya benar atau tidak.


Kejadian pada tahun 2008 itu, saya tidak akan pernah lupa sampai saya hembuskan nafas terakhir saya. Itu saja pengalaman dari saya, maaflah kalau tidak seram pada penghematan anda. Terima kasih dan Selamat Malam Seram~~~🖤

329 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page