top of page
Search

Kem Perkhemahan Dairy Farm

Assalamualaikum dan selamat malam KC,


Saya merupakan pendengar setia rancangan kelolaan KC sejak zaman sekolah menengah lagi sampailah ke hari ini di mana usia saya sudah mencecah 28 tahun. Walaupun dah lama mendengar dan mengikuti rancangan KC, tidak pernah sekalipun saya menghantar kiriman kisah pengalaman ataupun menelefon untuk berkongsi kisah seram saya ini. Entah kenapa tiba-tiba tergerak pula hati hendak menghantar kiriman ini.


Pada tahun 2009, sekolah saya telah menganjurkan kem tahunan selama tiga hari, dua malam lamanya. Saya berada dalam menengah tiga pada waktu itu. Selalunya pelajar-pelajar dari menengah tiga hingga lima dapat menikmati pengalaman acara perkhemahan di luar sekolah, manakala pelajar-pelajar di menengah satu dan dua pula hanya di perkarangan sekolah kami. Tahun itu, kami ke kawasan Dairy Farm di Bukit Timah untuk acara perkhemahan kami. Saya memang rasa amat teruja dan gembira, sebab sudah dua tahun melalui acara perkhemahan di sekolah.


Kisah yang terjadi ini, saya tidak menyalahkan sesiapa pun kerana saya percaya ia berpunca dari diri saya sendiri. Mulut saya cabul, tapi dengan cara tidak sengaja. Sampai sahaja di kawasan Dairy Farm, saya terlihat banglo yang pertama. Saya tidak pasti samada para pembaca blog Malam Seram pernah ke sana atau tidak tetapi kawasan perkhemahan Dairy Farm mempunyai beberapa "rumah" sebuah untuk kami tidur. Tidak ada apa-apa di dalam melainkan kipas di dalam banglo setinggi dua tingkat ini. Walaupun tidak mendirikan sebarang khemah, kami terpaksa tidur dalam beg tidur yang kami bawa ke acara tersebut.


Berbalik kepada cerita saya. Dari pintu pagar utama, banglo yang saya nampak itu merupakan yang pertama, namun ia paling jauh dengan tempat berkumpul di dalam kawasan perkhemahan tersebut. Saya pun berkata, "Sesiapa yang dapat banglo ini, memang nasibnya tak baik. Jauhnya!" Rakan-rakan saya yang lain ketawa mendengar keluhan saya. Namun apakan daya, nasib saya macam kentang.


Pelajar-pelajar perempuan dalam kelas saya yang ditempatkan untuk menetap di banglo tersebut sepanjang acara perkhemahan kami. Kami berkongsi dengan pelajar perempuan dari kelas yang lain. Secara keseluruhan ada dua puluh orang pelajar perempuan di dalam satu banglo. Pelajar lelaki pula diasingkan dan berada di banglo di penghujung kawasan perkhemahan yang lagi satu. Saya pun tidak fikirkan apa-apa. Mungkin kerana kami ramai jadi tidaklah rasa takut atau kurang selesa. Kami lakukan pelbagai aktiviti yang menarik pada hari pertama itu.


Malam pun tiba. Setelah membersihkan diri, kami simpan barang-barang di tingkat dua dan mengambil beg tidur kami dan kembali ke tingkat satu untuk tidur. Mak saya selalu masukkan buku Surah Yassin di dalam beg tidur saya sekiranya saya pergi ke acara perkhemahan. Dia selalu berpesan kalau hendak tidur letak buku bacaan Surah Yassin itu dalam bantal kecil yang telah dibawa. Jadi saya lakukan apa yang dipesan oleh Mak. (Nota penyunting: Amalan ini boleh dikategorikan sebagai syirik. Buku bacaan surah Yassin itu fungsinya untuk dibaca, bukan untuk diletakkan di bawah bantal sebagai pendinding... Mohon jangan dilakukan perkara seperti ini di masa hadapan...)


Kami tidak menghadap tingkap sewaktu tidur, malah kami membelakangkan badan kami darinya. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang lain di dalam banglo tersebut, kesemuanya membelakangkan tingkap. Tingkap di banglo itu jenis tingkat nako, jadi saya dapat melihat refleksi di belakang saya, merupakan di luar banglo, dari tingkap-tingkap yang berada di hadapan saya. Saya memang bukan seorang yang jenis senang lelapkan mata. Zaman itu telefon bimbit pun belum popular lagi. Kalau ada pun bukannya boleh bawa ke acara perkhemahan pun. Jadi saya baring-baring sahajalah beralaskan beg tidur. Rakan-rakan saya semuanya dah nyenyak tidur.


Masuk satu jam, saya terpandang refleksi tingkap yang berada di hadapan saya. Di dalam banglo tersebut memang tidak gelap sangat sebab cahaya lampu di luar masuk ke dalam. Jadi sedikit sebanyak masih boleh nampak. Sedang saya cuba nak lelapkan mata, tumpuan saya terpaku ke sesuatu di refleksi tingkap depan, iaitu kain putih. Pada mulanya saya sangkakan tuala, sebab tempat gantung tuala kami memang di situ. Semakin saya perhatikan, benda itu mula bergerak. Selepas beberapa saat saya dapat melihat yang kain putih itu ada rambut, dan rambut itu panjang!


Saya cuba tenangkan diri, ia masih bergerak perlahan-lahan dari arah kir ke kanan seperti terapung-apung. Bermakna, "dia" akan bila-bila masa bergerak di belakang saya! Semakin lama semakin dekat. Saya berkata dalam hati, "Jangan ingat apa-apa, dia berada di luar. Aku di dalam... Sedang minda menerawang jauh, terus teringat refleksi di tingkap. Ya Allah! Tuhan sajalah yang tahu betapa takutnya saya waktu itu kerana benda itu betul-betul berada di belakang saya dan yang pisahkan saya dengannya hanyalah tembok dan tingkap. Rasa hendak pengsan dan hendak mati. Saya baca surah Al-fateha, sambil itu saya tarik buku bacaan Surah Yassin perlahan-lahan dari dalam bantal, zip beg tidur sehingga penuh. Biarlah kepanasan asalkan tidak nampak benda itu lagi. Mujurlah tidak ada apa-apa yang berlaku pada saya. Saya dapat tidur juga, Alhamdulilah, kerana ketakutan.


Pukul 5 pagi, kawan Cina saya mengejutkan saya. Dia tanya kenapa saya tidur berbungkus seperti itu? Saya diamkan diri. Kemudian, dia berkata, "Tengok si Nina (bukan nama sebenar), dia menangis sejak dari tadi. Kawan-kawan dia sedang pujuk..." Nina merupakan pelajar perempuan dari kelas yang lain. Memang tidak rapat, setakat kenal nama sahaja. Dia sedang menangis ketakutan dan rakan-rakannya termasuk instruktor kem sedang menenangkan keadaan dan memujuknya. Saya bertanya, "Apa yang terjadi?" Salah seorang kawannya berkata, "Ada sesuatu di luar memanggil-manggil namanya sepanjang malam dan dia tidak boleh tidur!" Mata saya terbeliak, adakah itu benda yang sama saya nampak sebelum saya lelapkan mata?


Saya memang tidak beritahu sesiapa tentang pengalaman saya kerana kami masih ada lagi satu malam yang perlu kami tidur di sana dan saya tidak mahu menakutkan sesiapa. Nanti mereka sangkakan yang saya buat cerita pula. Nina dibenarkan pulang kerana dia tidak lagi mahu berada di sana dan orang tuanya sendiri yang datang menjemputnya. Pada sebelah siangnya, saya betul-betul bersungguh-sungguh melakukan segala aktiviti hanya untuk memenatkan diri saya agar senang tidur pada sebelah malamnya.


Alhamdulillah mujur tidak ada apa-apa gangguan lagi selain pada malam pertama itu. Pada saya, itulah pengalaman paling seram dan tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila. Pulang saja dari acara perkhemahan tersebut, saya demam selama dua hari. Saya ceritakan kepada ibu saya dan dia marah. "Tulah, suka nah tegur sembarangan! Nasib dia tak ikut balik..." Mujur tidak ada apa-apa yang berlaku kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Saya memang bersyukur sangat.


Itu sahaja kisah pengalaman saya. Selamat malam dan terima kasih!

425 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page