top of page
Search

Kerana Sifat Tamak...

Salam DJ KC dan peminat-peminat Malam Seram,



Biarlah saya dikenali sebagai Hantu Laut Temasek. Kisah ini hanya untuk pengajaran buat semua. Kisah ini berlaku ketika saya berumur dalam lingkungan 5 atau 7 tahun. Pada waktu itu, bapa saya memang malas nak bekerja. Saya sendiri sampai sekarang masih tertanya kenapa pada masa saya kecil, bapa saya seperti dalam keadaan buntu atau kemurungan dan sampai sekarang bapa saya susah untuk mendapat kerja yang tetap. Adakah mungkin ego? Saya tidak pasti. Seperti apa sahaja keputusan yang diambil oleh beliau tidak pernah terfikir tentang anak dan isterinya. Padahal bapa saya ada kelulusan GCE 'A' dan saat muda beliau, dia pernah menjadi seorang guru dan pegawai HDB. Tetapi dia selalu berhenti setelah bertugas beberapa bulan sahaja.


Selanjutnya, dalam keadaan yang benar-benar susah dan terdesak. Bapa saya berkenalan dengan tiga hamba Allah. Yelah, kemungkinan dengan membuat kerja-kerja bodoh itulah cara bapa saya boleh mendapat kekayaan yang cepat? Siapa yang boleh beri anak-anak dan isterinya makan? Pada waktu itu saya sekeluarga selalu dalam keadaan lapar. Ayah pula selalu fikirkan tentang dirinya sahaja, seperti rokok dan sebagainya. Tiap-tiap hari saya dan adik lelaki saya selalu diarahkan untuk mengetuk rumah-rumah jiran untuk meminta sedikit wang untuk perbelanjaan harian kami. Sedih dan lagi mengharukan, bekalan eletrik dan air di rumah akan selalu dipotong oleh pihak Pemerintah kerana bil tidak dibayar dan pihak HDB pula rasa bersalah untuk menghalau kami sekeluarga dari rumah sewa yang kami menetap pada waktu itu.


Kembali kepada kisah ayah saya pada waktu itu. Tiga kenalan ayah saya sering ke rumah kami dan ingin menggunakan salah satu barang azimat yang sangat diperlukan dalam upacara mereka. Saya pun tak faham apakah barang yang diperlukan dan dari mana ayah saya memperolehi barang-barang itu. Kemungkinan dari keturunan? Mereka sebenarnya merancang untuk bermain atau berjudi lumba kuda. Dari apa yang saya ingat dan diceritakan oleh ayah kepada ibu saya pada waktu itu, sebelum hari perlumbaan dan tak salah pada waktu malam Jumaat. Mereka termasuk ayah saya akan pergi ke padang lama Turf Club, membayar salah seorang penjaga di sana dan harus menanam azimat itu hanya pada satu tempat khusus yang dipanggil "Turn In", merupakan tempat di mana kuda-kuda akan memecut ke garisan penamat. Trek larian kuda-kuda ini panjang dan jauh. dan tidak dapat melihat di dalam kaca televisyen.


Ayah saya sendiri terperanjat kerana bukan hanya kumpulan beliau sahaja yang menanam azimat mereka. Ada bermacam-macam kumpulan yang ada dan berbilang-bilang bangsa dan kaum. Ada yang menanam jin dan jembalang. Ada juga yang menanam di tempat permulaan larinya kuda, di mana kuda-kuda harus diletakkan di dalam kawasan seperti jaring-jaring sebelum ditembakkan pistol supaya kuda-kuda pecut berlumba. Bukan sebarang, bila ditanam azimat itu, hanya nama-nama kuda tertentu sahaja yang akan terpilih. Hanya mereka sahaja yang tahu dan dari kemampuan jumlah yang mereka ingin berjudi.

Pada kepercayaan mereka, jin-jin atau jembalang ini semua ditugaskan untuk memeranjatkan kuda. Tempat dipanggil "Turn In" inilah di mana kuda-kuda ini akan menyimpan tenaga pecut terakhir mereka dan di sanalah kuda-kuda ini akan terus pecut 500 meter ke garisan penamat. Kemungkinan kalau kuda yang terpilih ini disergah oleh jin-jin dari azimat ini, lagi cepatlah ia akan pecut dan harap akan kena tepat pada tiket yang dijudikan tadi.

Seterusnya, hari perlumbaan pun tiba. Dari apa yang ayah saya bercerita lagi, tak salah saya, mereka telah menang wang yang begitu banyak berjumlah tidak lebih dari setengah juta dolar! Tapi hanya kerana tamaknya salah seorang daripada mereka, semua wang kemenangan mereka lesap setelah kesemua wang kemenangan dijudikan kepada perlumbaan yang terakhir. Mereka terlalu tamak dan terlalu percayakan azimat mereka yang dikatakan "bertuah".

Akhirnya semua kosong. Sebabnya dari situ saya bersifat berbeza dengan ayah saya. Saya tidak percaya pada barang-barang azimat ataupun menentukan pada nasib. Allah akan menolong pada umatnya yang tidak putus berusaha untuk berjaya. Alhamdullilah hidup saya tidak seperti ayah saya. Sampai sekarang kehidupan ayah saya selalu dalam keadaan susah dan bagaimana saya cuba untuk menolongnya, pasti akan ada sangkak.

Kejadian ini berlaku pada tahun 80an dan saya pasti sampai sekarang benda ini masih dipraktikan oleh mereka yang kaki berjudi kuda dan saya tak hairan jikalau tempat-tempat begini angker dengan jin-jin dan yang sewaktu dengannya.

Jangan dipercayakan sangat kisah saya ini. Hanya untuk pengajaran dan contoh dalam kehidupan kita. Sekian terima kasih...

159 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page