top of page
Search

Kesan Jari Di Lengan!

Salam KC,

Saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa berbasikal di kawasan West Coast Park. Saya tidak berapa pasti tahun bila (kemungkinan lima atau enam tahun yang lepas). Kejadian yang menimpa diri saya meninggalkan kesan yang sehingga ke hari ini saya dan keluarga tidak dapat lupakan.


Saya bersama keluarga sering berbasikal pada waktu malam. Hari Jumaat malam Sabtu, seperti biasa, selepas waktu Maghrib, kami berlima mula mengayuh basikal dari rumah kami di Jurong East mengikut jalan susur penghubung taman di Toh Guan Road East melintasi jejantas AYE ke Pandan Gardens. Kami berhenti sebentar untuk mengambil gambar buat kenangan sebelum meneruskan perkayuhan kami ke Labrador Park dan terus ke perhentian penamat di Keppel Bay. Kami berehat sebentar untuk melegakan anak tekak dengan minuman dan makanan ringan yang kami bekalkan dari rumah dan singgah ke tandas sebelum meneruskan perjalanan pulang.


Dalam perjalanan pulang, kami berhenti seketika di restoran makanan segera McDonald's di West Coast Park sekitar 9.30 malam untuk ke tandas. Niat kami untuk terus pulang selepas itu, akan tetapi, entah macamana, kami terlajak berkayuh hingga ke satu kawasan belukar di penghujung West Coast Park melepasi jeti. Kawasan tersebut agak terpencil dan suram.


Saya dan anak lelaki saya sepertinya berlaga siapa yang lebih pantas mengayuh ke arah semak di penghujung West Coast Park itu. Semestinya, anak saya yang sampai dulu. Peliknya, dia berpatah balik ke arah saya, suami, abang dan anak saudara saya yang mengikutnya dari belakang. Saya memberitahu anak saya, “Biar ibu masuk dulu, kemudian Adik (panggilan manja anak saya) ikut dari belakang, ok?” Keempat-empat mereka akur dan mengikuti saya dari belakang.


Ketika saya kayuh masuk ke dalam semak belukar yang agak gelap, entah kenapa, saya rasa tidak sedap hati. Saya terhenti seketika seolah-olah ada sesuatu di hadapan saya lalu menepis dan memandang keadaan sekeliling (gelap namun diterangi tiang lampu yang samar-samar dan lampu basikal – kira terang juga lah...). Hendak berpatah balik, jalannya agak sempit, tambahan pula kami semua berbasikal, kami teruskan juga mengayuh hingga ke penghujung jalan (jalanraya utama).


Sampai saja di penghujung jalan, tangan kiri saya mula terasa berat (angkat tangan sedikit, terasa sakit). Saya tidak ambil endah ataupun memberitahu yang lain-lain keadaan saya dan teruskan perjalanan pulang. Kami selamat sampai di rumah sekitar 10 lebih malam. Suami dan anak-anak menolong saya bersihkan basikal sebab saya mengadu tangan saya sakit yang teramat sangat. Alangkah terperanjatnya semasa saya mencuci kaki dan membilas tangan saya, saya baru perasan ada kesan tiga jari seolah-olah telah menggenggam kuat tangan saya sehinggakan meninggalkan kesan lebam yang amat berbisa.


Pada malam itu juga saya telah menelefon abang ipar saya yang mempunyai mata ketiga, untuk memantau dari jauh keadaan diri saya. Abang memberitahu yang saya telah melalui tempat “terlarang” dan benda itu marah kerana saya melalui tempatnya. Abang telah menyuruh saya menyiram air ke tangan kiri saya sambil membaca beberapa potong ayat suci untuk melegakan rasa sakit. Tanda itu hilang keesokan harinya dan rasa sakit itu juga hilang selang tiga hari kemudian.


Terima kasih dan selamat malam!


Rose M.

257 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page