Kisah kedua terjadi pada Ogos tahun 2017. Ketika ini saya dah berumur 24 tahun dan sedang melakukan latihan industri / pelajar pelatih. Kejadian berlaku kepada abang saya yang kelima, panggilan namanya Abang Kir. Dia memang rapat dengan saya kerana beza umur hanya dua tahun. Dia sangat ramai kawan dan disenangi oleh semua orang yang berjumpa dengannya. Satu hari Abang Kir berasa tidak sihat dan sentiasa mengadu badannya gatal-gatal dan sentiasa suruh tukar cadar katilnya sehingga setiap hari terpaksa tukar cadar.
Abang Kir bekerja sebagai seorang eksekutif sebuah bank pelaburan dan disebabkan dia berasa tidak sihat, prestasi kerjanya terganggu hingga perlu mengambil cuti setiap minggu. Pada mulanya kami ingat ia disebabkan oleh pijat tilam. Sampai satu tahap, kami terpaksa buang katil yang dia guna sebelum ni. Semua binatang peliharaan yang berbulu seperti kucing juga perlu dilepaskan atau diberikan kepada jiran-jiran atau kawan-kawan. Satu rumah dibersihkan setiap minggu hingga kami tak cukup rehat.
Setiap hari Abang Kir akan memberitahu kepada saya dan ibu bapa saya tentang mimpi sewaktu tidurnya. Dia sentiasa memberitahu dia bermimpi ular berwarna hitam. Kadang-kadang dia mimpi bilik tidurnya penuh dengan ular berwarna hitam sehingga bawah selimut dan bantal. Ibu saya pun bagitahu yang ibu bermimpi sama juga. Ular hitam sedang keliling rumah.
Abah memberitahu Abang Kir untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Dia bersetuju dan untuk beberapa minggu, kami sekeluarga pergi berjumpa doktor bagi mendapatkan penjelasan tentang keadaannya. Sehingga satu hari, keadaan Abang Kir menjadi teruk sehingga badannya menjadi kurus dan mukanya menjadi hodoh dengan jerawat naik sehingga ke kepala. Abang Kir makin hari makin tidak boleh makan dan tak terdaya untuk bekerja. Sehingga tidak boleh berjalan kerana dia rasa seperti dicucuk-cucuk di tapak kaki. Setiap malam dia tidak boleh tidur seorang diri dan lampu perlu dihidupkan sepanjang malam.
Satu hari, Abang saya yang nombor dua menziarahi Abang Kir dan memberitahu supaya berjumpa dengan ustaz atau pakar perubatan Islam untuk mendapatkan kepastian. Dia bersetuju untuk pergi ke sebuah pusat perubatan islam di daerah Cheras. Semasa kami tiba di sana, Abang Kir tiba-tiba boleh berjalan seperti biasa dan sudah boleh bercakap macam tiada apa yang berlaku. Ketika berjumpa dengan seorang ustaz yang bertugas di pusat rawatan tersebut, ustaz bertanya:
Ustaz: "Apa Khabar?"
Abang Kir: "Sakit sikit Ustaz tapi awal tadi sihat sekejap..."
Ustaz: "Ooooo hehehe (sambil ketawa sedikit). Biasalah tu, benda tu bila nak jumpa Ustaz memang akan sembunyi sekejap..."
Abang Kir: "Benda apa ustaz?"
Ustaz: "Tak ada apa, boleh Ustaz pegang lengan awak?"
Abang Kir: "Boleh Ustaz..."
Semasa memegang lengan Abang Kir, abang tiba-tiba mengadu kesakitan. Ustaz berkata:
Ustaz: "Ustaz pegang je ni..."
Abang Kir: "Sakit... Sakit... Sakit..."
Ustaz: "Takpe tahan sikit. nak urut je ni..."
Abang Kir: "Aduh... Aduh Ustaz perlahan sedikit..."
Ustaz: "Takpe sekejap je ni. Banyak ni dia sembunyi..."
Abah: "Banyak dia sembunyi? Maksud Ustaz..."
Ustaz: "Benda ni dah beranak-pinak dah, anak-pinak dia saya dapat jumpa. 'Ibunya' belum lagi..."
Abah: "Jadi dia ada banyak dalam badan ke Ustaz?"
Ustaz: "Banyak... Mari saya tunjuk? Dekat sini..." (sambil pegang bahu Abang Kir)
Abang Kir: "Ustaz sakit... Sakit..." (sambil merayu)
Ustaz: "Sabar, Ustaz cuma nak tunjuk kawasan dia kumpul..."
Abah: "Ada tempat lain ke Ustaz?"
Ustaz: "Ada, setiap sendi anak Encik ni mereka berkumpul. Sebab tu dia tak boleh jalan, bergerak banyak dan makan. Mereka dah cengkam tekak anak Encik ini..."
Abah: "Jadi Ustaz boleh rawat anak saya?"
Ustaz: "Insya Allah, selagi 'ibunya' tak keluar, selagi itu tak boleh selesai..."
Abah: "Ustaz tolong keluarkan ya..."
Ustaz: "Insya Allah, kalau Allah bagi maka keluarlah ia..."
Proses perubatan mengambil masa, setiap kali Abang Kir balik dari jumpa ustaz, dia akan nampak sihat dan berjalan seperti biasa tetapi apabila tiba waktu Maghrib, dia akan sakit seperti biasa. Proses ini mengambil beberapa minggu dan bermacam-macam ustaz sudah berjumpa, semua bertemu jalan buntu.
Satu hari, rakan Abang Kir datang ke rumah sekitar waktu Maghrib. Beliau seorang gadis dan pernah mengalami hal-hal mistik ini. Panggilan nama dia Ila. Ila memberitahu Abang Kir:
Ila: "Kir, aku kalau bagitahu hang jangan takut tau..."
Abang Kir: "Apa dia?"
Ila: "Tadi masa aku sampai aku nampak ada "benda" dekat pokok luar pagar rumah kau..."
Abang Kir: "Benda apa?"
Ila: "Gula-gula" (Pocong)
Abang Kir: "Haa? Seriouslah? Satu ke?"
ILA: "Tak, Tiga..."
Abang Kir: "Dia buat apa? Masuk rumah ke?"
ILA: "Taklah... Dia diri saja depan pagar rumah sebab tak boleh masuk. Dia pandang aku tadi tapi aku buat-buat tak nampak..."
Untuk pengetahuan semua, ibu bapa saya sangat suka membaca kitab suci Al-Quran. Disebabkan itu "benda" itu tak boleh lintas masuk pagar rumah kami.
(Bersambung...)
Comments