top of page
Search

Kisah Adik-Beradik Disantau (Bahagian Ketiga)

(Bersambung dari kisah semalam...)


Sudah hampir dua bulan keadaan Abang Kir semakin hari semakin teruk sehingga perlu mengambil cuti tanpa gaji. Berita mengenai keadaannya sampai ke makcik-makcik saya yang berada di Kedah dan kawasan-kawasan di Utara Malaysia. Sampai ada yang sanggup mengambil tindakan untuk menjaga abang saya di Kuala Lumpur. Seorang makcik saya, Mak Su, menasihati abang saya untuk bercuti dan berehat di kampung di Kedah dahulu. Abang Kir bersetuju dan terus bercuti di kampung kami di Kedah.


Semasa di kampung, makcik memberitahu yang suaminya atau pakcik saya kenal seorang tukang urut, dengan panggilan Pak Mat, dan pernah menemani majikannya berjumpa dengan tukang urut ini. Apa yang diberitahu, Pak Mat boleh membantu dan merawat penyakit-penyakit mistik ini. Cuma orang yang betul-betul kenal sahaja yang tahu Pak Mat ini boleh merawat penyakit mistik sebab tak semua orang yang Pak Mat rawat. Selepas dua hari di kampung, barulah kami pergi berjumpa dengan Pak Mat. Untuk berjumpa dengan Pak Mat, hanya boleh berjumpa selepas solat Isyak kerana pada siang hari, beliau bekerja sebagai penoreh getah.


Untuk pergi ke rumah Pak Mat perlu memandu selama 40 minit dan selepas itu perlu melintasi ladang getah sejauh dua kilometer sebelum terjumpa sebuah rumah kampung di tengah-tengah ladang getah itu. Semasa melintasi ladang getah itu, kami hanya mempunyai cahaya lampu kereta dan pandangan kami hanya terhad pada hujung cahaya lampu kereta. Di kiri kanan hanya pokok getah dan gelap-segelapnya. Bermacam-macam bunyi kami dengar sepanjang kami melintasi ladang getah itu. Dalam hati kami berfikir, macam mana Pak Mat boleh tinggal dalam hutan ladang seorang diri.

Pak Mat duduk seorang diri, anak-anaknya sudah berada di luar negeri dan isterinya sudah tiada. Apabila kami tiba di hadapan rumah Pak Mat, rumahnya rumah kampung, hanya mempunyai empat lampu pelita di luar rumah dan sekeliling rumah tiada pagar, hanya ada pokok getah. Kami sampai lebih kurang 10 malam, dan Pak Mat tiada di rumah. Mungkin pergi ke kedai atau beli makanan. Selepas 10 minit, terdengar bunyi ekzos motor kapcai datang dari arah jalan masuk ke kawasan rumah Pak Mat.


Pak mat bertanya:


  • Pak Mat: "Dah lama sampai?"

  • Pakcik: "Baru 10 minit saja..."

  • Pak Mat: "Haa bagus lah, mari masuk rumah. ni siapa yang hendak berubat ni?"

  • Pakcik: "Ni anak saudara saya, Kir..." ( sambil menunjuk ke arah Abang Kir)


Pak Mat melihat Abang Kir dan menggeleng kepalanya sambil senyum. Selepas itu kami pun masuk ke rumah Pak Mat. Kami duduk bersila di ruang tamu rumah. Di dalam rumah Pak Mat penuh dengan sangkar burung yang digantung di siling rumah. Kami semua macam terpegun dengan sangkar-sangkar burung yang digantung sehingga sepupu kami menegur:


  • Sepupu: "Uihh, ada burung cenderawasih..."

  • Makcik: "Hehh, jangan tegur. Mulut kamu ni jaga sikit..." (sambil cubit sepupu saya)


Untuk pengetahuan semua, burung cenderawasih dikaitkan sebagai salah satu burung dari syurga. Itu mengikut apa orang-orang tua katakan. Selepas itu, Pak Mat pun keluar dari kawasan dapurnya selepas mengambil baldi bersama air. Pak Mat duduk di hadapan Abang Kir, sambil menepuk peha abang. Pak Mat berborak dengan abang:


  • Abang Kir: "Teruk ke Pak Mat keadaan saya?"

  • Pak Mat: "A'ah, lambat sikit boleh sampai mati ni. Nasib pakcik hang bawak mai, kalau tak Pak Mat tak boleh tolong... Pak Mat tak ada apa-apa kuasa pun. Cuma boleh bantu saja, yang lain bergantung kepada Allah SWT sahaja. Pak Mat ni tukang urut saja... Okay lah, mari Pak Mat nak urut sikit lengan hang..." (sambil pegang lengan Abang Kir)

  • Abang Kir: "Ada benda ke, Pak Mat?"

  • Pak Mat: "Amboi, dia main dengan miang buluh ni. Tajam kulit badan hang..."

  • Kami: "Miang buluh kata Pak Mat?"

  • Pak Mat: "Haa miang buluh, dia duk main kat sendi-sendi hang ni. Nak tengok miang tu? Mari Pak Mat tunjuk..."


Pak Mat suruh Abang Kir masukkan kaki ke dalam baldi berisi air tadi. Pak Mat urut kaki abang sambil membaca surah untuk keluarkan miang buluh tu. Selepas beberapa minit, Pak Mat menyuruh kami tengok dalam baldi itu sambil menyuluh lampu suluh ke dalam baldi.

Kami nampak banyak seperti sembilu buluh sedang berenang keluar dari kaki abang dalam air itu. Benda itu bergerak macam ikan yang sedang berenang.

  • Pak Mat: "Itu baru anak-anak dia, sebab itu hang selalu miang. 'Ibunya' ada sorok dekat sendi hang. Dia kunci sendi hang..."

  • Abang Kir: "Macamana Pak Mat tahu ada 'ibu' sedang kunci?"

  • Pak Mat: "Tadi masa Pak Mat jumpa hang, Pak Mat nampak belakang hang tinggi. 'Ibunya' bangun nak marah Pak Mat. Masa tu Pak Mat nampak ekor dia duk belit hang..."

  • Abang Kir: "Belit saya? Hmmm... Pak Mat boleh keluarkan?"

  • Pak Mat: "Insya Allah, Kita doa sama-sama okay?"

Pak Mat menyambung merawat Abang Kir sambil tangannya diurut. Pak Mat bertanya samada kami ingin melihat "Ibunya"? Kami mengangguk kepala. Pak Mat tarik dari bahu kiri Abang Kir sampai ke tengah antara ibu jari dan jari telunjuk tangan abang. Tiba-tiba di tengah-tengah antara ibu jari dan jari telunjuk abang berbenjol seperti bola pingpong. Pak Mat memberitahu yang benda itu "ibunya".


Pak Mat sambung untuk masukkan benda itu ke dalam botol kaca. Pada mata kasar kita, kita takkan nampak apa yang ada di dalam botol kaca itu tetapi kalau menggunakan kamera telefon bimbit, kita akan nampak rupa bentuknya. Sepupu saya memetik gambar botol itu untuk tengok rupa bentuk "Ibu" itu. Kami nampak sesuatu berbentuk seperti Ular berkepala Harimau / Kucing. Tetapi Pak Mat memberitahu agar jangan simpan gambar itu, takut anaknya ikut balik sekali.


Selepas itu kami bertanya kepada Pak Mat macamana benda ini terjadi dan siapa yang hantarnya. Pak Mat memberitahu yang dia tak boleh bagitahu siapa yang buat benda ini tapi dia boleh ceritakan macamana boleh terjadi. Pak Mat menceritakan yang si pelaku ini bukan berniat nak balas dendam atau tak suka kepada Abang Kir tetapi dia hanya nak cuba keberkesanan ilmu santaunya pada sesiapa yang dia nampak. Mungkin pada masa Abang Kir lalu di hadapannya, dia telah menghembus santaunya ke arah abang dan nak tengok sejauh mana kekuatan ilmu santaunya.


Kami bertanya adakah dilakukan oleh saudara sendiri, Pak Kat kata tidak. Orangnya duduk "berdekatan" dengan rumah Abang Kir tapi tidak menceritakan di kawasan mana. Mungkin dekat mungkin jauh. Hanya gambaran kawasan mana yang abang terkena santau. Pak Mat menasihati supaya berjaga-jaga ketika lalu di rumah orang lain dan sentiasa jangan lepas melaksanakan tanggungjawab solat lima waktu.


Keesokan harinya, kami pulang ke Kuala Lumpur. Selepas itu Abang Kir dimasukkan ke hospital kerana mengalami kekurangan zat disebabkan oleh kejadian sebelum itu. Setelah beberapa bulan, syukur alhamdulillah Abang Kir kembali seperti biasa dan dapat melakukan aktiviti seharian tanpa ada sebarang masalah.


Terima kasih kerana sudi mengetengahkan kisah saya di blog Malam Seram. Maaf sekiranya kisah saya kurang seram atau terlalu panjang berjela...

321 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page