Assalammu'alaikum DJ Champion KC,
Nama saya Brother R, saya penonton Malam Seram dari Kuala Lumpur, Malaysia. Saya ada kisah misteri tentang adik-beradik saya disantau. Kisah saya berlaku pada dua masa yang berlainan. Yang pertama terjadi pada tahun 2006 dan yang kedua terjadi pada tahun 2017.
Saya mempunyai 6 orang adik-beradik, 5 lelaki dan seorang perempuan. Saya merupakan anak bongsu dalam keluarga. Kisah pertama terjadi kepada arwah abang sulung saya dan ketika itu saya baru berumur 12 tahun. Saya panggil arwah dengan gelaran Abang Yat. Arwah Abang Yat merupakan seorang pensyarah di salah sebuah institusi tempatan di Perak, Malaysia. Abang Yat seorang yang berbadan sederhana dan tinggi. Perwatakannya sangat ceria. Seorang yang sangat sopan bila bertutur dan sangat disukai oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Untuk pengetahuan semua, Arwah merupakan penghidap lemah jantung.
Satu hari Abang Yat dilaporkan jatuh sakit dan kami sekeluarga mendapat panggilan dari kakak ipar kami yang memberitahu Abang Yat jatuh sakit. Kami sangkakan arwah terkena serangan jantung. Keesokan harinya kami sekeluarga berangkat pergi menuju ke Perak. Semasa kami tiba di hospital, Chik, iaitu kakak saya sudah tiba di sana bersama suaminya. Chik memberitahu mereka sudah tiba malam semalam dan menerangkan keadaan arwah Abang Yat kepada abah dan mak saya.
Perbualan Chik dan Abah:
Abah: "Apa cerita Yat?"
Chik: "Semalam masa Chik sampai, Abang Yat dalam keadaan mengerang seperti harimau. awalnya Chik ingat Abang Yat sakit jantung tapi rupanya bukan..."
Abah: "Mengerang? Hmmm... Takpe baik abah pi tengok."
Abah bertanya kepada Kak Zah, kakak ipar saya, iaitu isteri Abang Yat:
Abah: "Apa yang terjadi sebenarnya? Macamana benda ni terjadi?"
Kak Zah: "Zah pun tak tahu, hari tu Yat pernah cakap dia ada sakit-sakit, batuk, dan demam untuk beberapa minggu. Zah ingat mungkin sebab sakit jantung dia tapi sejak 2 hari lepas, Yat macam buat bunyi mengerang apabila tiba senja / Maghrib. Sebab tu Zah bawa Yat mai hospital untuk buat checkup."
Abah: "Apa doktor kata?"
Kak Zah: "Doktor kata sakit jantungnya masih normal tapi tak tahu kenapa jadi macam ni..."
Abah: "Ada minta pertolongan mana mana ustaz?"
Kak Zah: "Belum Bah..."
Kak Zah ada memberitahu yang beberapa minggu sebelum ini semasa menjemput Abang Yat pulang dari kerja, dia rasa seperti ada benda sedang memerhati mereka berdua. Dekat rumah pula ada benda bermain di atas siling dan ternampak kelibat sesuatu di luar tingkap rumah, tetapi Kak Zah tidak menghiraukan perasaan takut kerana perlu memikirkan kesihatan Abang Yat dan menjaga anak mereka.
Semasa kami tiba di wad Abang Yat, abang saya yang nombor dua memberitahu tadi masa sebelum kami tiba di wad, Abang Yat sedar sebentar dan berkata abah dah nak sampai dah. Kami semua terkejut sebab kami tak bagitahu pun yang kami dah nak sampai di wad. Selepas beberapa hari, keadaan Abang Yat tidak kembali pulih. Satu hari, abah meminta pertolongan seorang pakar perubatan islam dan semasa pakar perubatan sedang melakukan rawatan, Abang Yat tiba-tiba duduk seperti orang biasa dan kepalanya tunduk ke bawah dan matanya memandang ke arah pakar perubatan sambil tersenyum dalam keadaan seram.
Pakar itu bertanya kepada Abang Yat, "Yat, kenapa duduk? Baring jelah. Ustaz nak rawat Yat ni..." Abang Yat masih tersenyum. Selepas itu, Abang Yat memandang ke arah abah saya dan tiba-tiba Abang Yat menjelir lidah! Lidahnya amat panjang sampai ke perut dan berwarna hitam! Kami sekeluarga terkejut dan masing-masing beristighfar dan membaca Ayat Kursi. Pakar perubatan memberitahu ada orang hantar sesuatu dan beliau bertanya siapa hantar kepada makhluk itu dan ia memberitahu, "Tuan aku tak suka dia ni... Tuan aku sakit hati..." Pakar bertanya, "Kenapa sakit hati? Tak baik buat macam ni, keluar nak? Meh saya bagi keluar ya?"
Makhluk itu tak mahu keluar, ia enggan keluar sehingga memakan beberapa hari. Dipendekkan cerita, selepas beberapa hari, makhluk itu akhirnya keluar dan dibuang ke laut. Yang sedihnya, Abang Yat merana hingga kurus kering sampai nampak bentuk tulang muka dan badan. Peha hingga kakinya membengkak seperti kaki gajah. Punyalah orang sakit hati hingga sanggup seksa arwah abang saya.
Betapa kejamnya manusia, pakar perubatan ada sebut ini merupakan santau dengan cara angin dan beliau ada memberitahu tentang individu yang lakukan hal tersebut tetapi hanya kepada ibu bapa saya. Selepas beberapa hari, Abang Yat meninggal dunia. Kami sekeluarga amat bersedih atas kehilangan ahli keluarga yang paling disayangi.
(Bersambung...)
Comments