top of page
Search

Kisah Kelakar Seram...

Assalammu'alaikum dan selamat malam,


Saya ada satu kisah yang kelakar dan juga agak menakutkan terjadi kepada saya Sabtu lepas. Kisah ini terjadi di rumah saya yang terletak di salah sebuah kampung di Kuala Nerang, Kedah. Kampung yang saya tinggal ini tidak terlalu dalam, tapi jalan raya di kampung saya tiada lampu di kiri kanan jalan, dan liputan rangkaian telefon juga sangat perlahan. Rumah saya pula berada tidak jauh dari jalan utama, dan dikelilingi oleh kebun getah di kiri kanan rumah. Jarak dari rumah ke pinggir kebun getah kiri kanan agak luas iaitu 20 meter (tanah kepunyaan sendiri).


Kisah ini terjadi disebabkan saya dan ayah pada masa itu hendak mencari anak monyet yang ayah bela. Untuk pengetahuan semua, anak monyet yang dibela ini, kalau kami lepaskan memang tidak akan pergi jauh dari kawasan rumah sebab ia berkawan baik dengan anak kucing saya, sangat akrab bila kita perhatikan mereka, sampai tak boleh nak renggang antara satu dengan lain. Secara lazimnya pada pukul 7.30 atau sekitar waktu Maghrib, anak monyet tersebut akan masuk ke dalam kandang yang disediakan tetapi pada malam tersebut, bila ayah saya periksa kandang lebih kurang pukul 11 malam, ia tidak ada di dalam. Jadi saya dan ayah keluar dari rumah untuk cari anak monyet tersebut.


Sambil kami mencari, kami menjerit namanya "Awang!" (nama yang kami berikan padanya). Setelah mencari selama lebih kurang 30 minit, saya memandang ke arah kebun getah di sebelah kiri rumah sebab saya nak dengar mungkin ada bunyi anak monyet dalam kawasan kebun getah. Saya fokus memandang ke arah kebun getah, saya tajamkan pendengaran saya. Tak lama kemudian, saya ternampak atas pokok getah yang jauh dalam hutan macam ada benda putih. Mula-mula ingat mungkin itu hanya pantulan cahaya dari rumah yang terkena pada cermin mata saya.


Saya buat tak endah, saya tengok lagi ke dalam kebun getah tersebut, saya terperasan benda putih itu lagi, tapi semakin dekat. Benda itu tidak terbang, tetapi seperti berteleportasi. Saya rasa lain macam, saya cuma abaikan saja. Saya pusing hendak mencari di hadapan rumaha, saya pusing lantas jalan membelakangkan kebun getah. Kemudian saya terdengar macam bunyi macam bunyi tikus atau bunyi pemuda yang cuba mengurat wanita.


Saya tak syak apa-apa, saya pusing pandang mungkin suara anak monyet saya sebab bunyi lebih kurang. Pusing dan pusing keliling kawasan itu, atas pokok getah di pinggir tanah rumah saya, saya ternampak ada kain putih berdiri di atas dahan dahan salah sebuah pokok getah. Terlihat jelas rambut panjang mengurai ke bawah. Saya boleh nampak dengan jelas sebab cahaya dari kawasan rumah, ditambah dengan cahaya lampu di luar rumah. Saya nampak benda itu, berderau juga darah saya. Tapi saya kawal diri saya, sebab ayah ada, dan kawasan rumah saya memang dah dipagar.


Saya dengan selamba cakap tapi dengan nada perlahan, "Lahhh... Hang kah?" sambil tengok benda itu. Selepas itu saya pun berpusing meneruskan mencari Awang. Akhirnya, hampir pukul 12 malam baru terjumpa si Awang. Semasa mencari pada awalnya, saya terpandang ke atas pokok dan ada beberapa kali saya terperasan benda itu masih ada atas pokok.


Saya cuma beritahu ayah bila kami dah masuk ke dalam rumah, dan ayah pun berkata sewaktu saya pandang ke arah pokok dan ternampak benda itu, dia terperasan saya sedang berkata sesuatu. Ayah ingatkan saya sedang beristighfar atau membaca ayat-ayat suci. Bila dia mendapat tahu saya berkata, "Lahhh... Hang kah?", dia terus gelakkan saya dan berkata, "Patutlah benda tu masih ada lagi di situ..."


Terima kasih dan Selamat Malam Seram!

260 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page