Kejadian yang ingin saya ceritakan ini telah berlaku lebih kurang sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu, saya sedang mengajar di sebuah sekolah berasrama di utara. Sekolah itu terdiri daripada beberapa blok bangunan baru dan lama sejak sebelum Malaysia merdeka lagi.
Saya seorang guru sains.
Satu hari saya telah memberi pilihan kepada salah satu kelas sama ada ingin menjalankan satu eksperimen pada esok hari atau ditangguh beberapa hari lagi. Jika mahu dijalankan esok, mereka perlu menghantar wakil bertemu saya pada malam nanti di makmal untuk mengambil bahan dan memulakan langkah penyediaan.
Mereka semua sepakat mahu menjalankan eksperimen itu pada keesokan harinya dan berjanji akan berjumpa saya pada sebelah malamnya nanti. Sebagai petanda, saya pesan agar hanya datang apabila nampak lampu bilik penyediaan di makmal sains dihidupkan lebih kurang pada pukul 9 – 10 malamnya nanti.
Kedudukan makmal sains itu bertentangan dengan salah satu blok asrama. Oleh itu, mudah sahaja untuk mereka memeriksa kehadiran saya. "Angah tak pergi sekolah ke malam ni? Kata tadi, nak pergi sekolah jumpa diorang?” Tanya ibu saya. Saya ketika itu sedang terbaring lemah di atas katil. Di luar, hujan turun dengan sangat lebat dan tak mungkin akan berhenti dalam masa setengah jam sekalipun.
Jam sudahpun menunjukkan pukul 9 malam. Saya bukan terlupa, tetapi badan saya terasa sangat panas dan air hidung saya tidak berhenti-henti mengalir (selesema). Kepala dan seluruh badan terasa sakit-sakit sejak balik dari sekolah awal tadi. “Tak jadilah Ummi. Tengah demam ni. Tak larat sangat-sangat dah ni...” jawab saya. Terus saya menyambung tidur.
Keesokan harinya saya datang juga ke sekolah. Lagipun, demam saya dah berkurangan.
“Nampaknya, tertangguh lagi eksperimen mereka. Kesian…” kata saya dalam hati bila mengenangkan keadaan semalam. Sedang saya menuju ke bangunan makmal, beberapa pelajar berlari-lari anak ke arah saya dengan wajah penuh gembira.
“Cikgu!... Cikgu!... kitorang dah siap dah!”
“Hari ni, kita boleh jalankan eksperimen tu! Bestnya!”
Saya kehairanan. Tetapi wajah mereka teruja sangat-sangat! “Eh, macam mana korang boleh siap prepare bahan-bahan tu? Cikgu belum bagi korang lagi…” jawab saya.
“Eleh, cikgu ni… Bergurau pulak. Takkan cikgu lupa, semalam cikgu dah bagi barang suruh kami buat bahan persiapan?” balas salah seorang dari mereka.
“Bila masa pulak cikgu bagi barang kat korang. Kan cikgu dah pesan, hanya datang ke makmal jumpa cikgu, bila korang lihat lampu makmal terbuka, lebih kurang pukul 10 malam. Tapi, malam semalam cikgu tak dapat datang. Tiba-tiba cikgu demam...” balas saya pula.
“Eish cikgu ni!... Janganlah main-main. Kan cikgu DATANG malam tadi!” jawab mereka hampir serentak.
“Tak lah!! Cikgu demam. Lagipun, malam tadi kan hujan lebat. Macam mana cikgu nak ke sekolah? Kalau tak percaya, cikgu boleh telefon mak cikgu sekarang…” tegas saya.
Lantas, saya telefon ibu saya dan set kepada mode loudspeaker. Biar mereka sendiri dengar ramai-ramai.
“Assalamualaikum Ummi. Betul tak, malam tadi Angah tak jadi pergi sekolah?” Tanya saya.
“Ha betullah… Kenapa tanya? Malam tadikan kau demam!” balas ibu saya.
Semua memandang saya dengan muka terperanjat.
“Tak ada apa. Saja tanya…” jawab saya sebelum mematikan panggilan.
“Eh, korang… perasan tak, malam tadi Cikgu N macam lain aje?” Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata. “Aah lha…” balas yang lain-lainnya.
Lalu mereka cerita pada saya, bahawa malam itu, seperti yang diarahkan, mereka datang ke makmal sains lebih kurang jam 10 malam apabila ternampak lampu bilik penyediaan sains dihidupkan.
“Kawan-kawan! Jom sekarang. Cikgu N dah sampai…”
Lebih kurang empat atau lima orang pelajar perempuan bergegas ke makmal dan berkumpul betul-betul di hadapan pintu bilik itu. Dari balik tingkap, mereka boleh lihat seolah-olah ada orang sedang bergerak ke sana-sini.
“Assalamualaikum Cikgu, kitorang dah sampai!” panggil mereka dari luar.
Untuk seketika, tiada sesiapa yang menjawab salam. Dalam bilik itu, sunyi-sepi.
“Assalamualaikum Cikgu!... Cikgu!...”
Keadaan masih sunyi-sepi.
Tiba-tiba, pintu bilik itu terbuka perlahan-lahan. Semua pelajar itu dapat lihat “saya” berdiri diam tanpa berkata-kata. “Cikgu cakap nak bagi kitorang bahan persiapan untuk eksperimen esok?” tanya salah seorang dari mereka.
“Saya” kemudiannya, menyerahkan satu dulang khas mengandungi bahan-bahan eksperimen beserta dengan sehelai kertas arahan langkah-langkah penyediaan bahan itu. Kemudian, mereka pulang semula ke asrama yang sekadar beberapa langkah sahaja di belakang makmal sains itu.
Mendengar cerita mereka itu, saya benar-benar terperanjat! Semalamnya sebelum pulang dari sekolah, saya memang ada menyediakan sebuah dulang berisi beberapa bahan yang perlu mereka sediakan malam itu juga. Eksperimen itu memerlukan penyediaan yang memakan masa 12 jam atau lebih. Lebih lama, lebih bagus. Jika kurang masa, eksperimen itu akan gagal. Untuk beri lebih awal, saya ada urusan lain yang perlu dibuat. Hendak tak hendak, saya hanya dapat serahkan selepas waktu “prep asrama” sahaja.
Bersama-sama dulang itu, saya sediakan juga nota berisi langkah-langkah yang perlu dibuat malam itu hingga pagi esok. Mereka boleh sahaja bergilir-gilir membuatnya mengikut masa yang ditetapkan di bilik asrama.
“Malam tadi, Cikgu N memang lain! Orang bagi salam pun tak jawab!” salah seorang dari mereka berkata.
“Aah laa… Selalunya, kalau kita bagi salam, belum bukak pintu pun, cikgu dah jawab salam...” balas yang seorang lagi.
“Selalunyakan, kalau cikgu nak bagi apa-apa arahan kat kita, mesti dia akan pesan kat kita macam-macam. Itulah, inilah… Padahal dalam kertas nota dah ada semua tu…” jawab pelajar yang lain. “Tulah! Semalam, dia diam aje!”
Saya tak berkata apa-apa. Risau juga saya sebab sekejap lagi, saya hendak masuk bilik itu. Bilik penyediaan itu memang dihuni saya seorang. Di sekolah itu ada empat bilik makmal, dua makmal sains baru dan dua lagi makmal sains lama. Hanya saya dan seorang lagi rakan setugas bersetuju untuk menggunakan makmal sains lama kerana walaupun agak usang tetapi saya selesa kerana tidak perlu berkongsi dengan guru-guru sains yang lain.
Walaupun telah mengalami beberapa kejadian pelik di makmal itu, saya tetap terus menggunakannya sehingga saya pindah ke Shah Alam selepas dua atau tiga tahun kejadian itu berlaku...
Comments