top of page
Search

Kisah Pelajar Pertukaran Di Switzerland (Bahagian Kedua)

Kisah Kedua


Kisah kedua terjadi sewaktu saya sudah menetap di Switzerland selama dua atau tiga bulan. Kadang-kadang saya pulang ke rumah lewat, sekitar pukul 1 atau 2 pagi sebab kadang-kadang saya pergi ke majlis keramaian dengan kawan-kawan atau saya balik dari daerah lain dan keretapi saya sampai pada tengah malam. Budak remaja di sini pula, ibu bapa mereka inginkan anak-anak mereka berdikari. Jadi kalau nak keluar majlis keramaian atau ke mana saja harus pergi sendiri dan pulang juga sendiri. Rumah yang saya menetap di kaki bukit, kawan yang lain rumah mereka di pertengahan Glarus.


Glarus ini seperti sebuah kampung, dan dikelilingi dengan bukit. Rumah saya terletak di kaki bukit and kawasan kejiranan saya walaupun ada banyak rumah, jalan naik ke bukit ini ada juga banyak kawasan lapang untuk peladang. Kalau waktu pagi pemandangannya memang indah. Nampak sangat tenang dan hijau. Tetapi apabila tiba waktu malam, memang seram sangat. Bayangkan kawasan lapang gelap, lampu jalan pun terletak jauh antara satu sama lain. Kawasan lapang pulak, di hujung ada hutan dan selepas hutan terus kawasan bukit lagi.


Saya pulang ke rumah dalam pukul 2:30 pagi. Saya tak rasa takut kerana itu bukanlah pertama kali saya pulang seorang diri. Ketika pertama kali pulang seorang diri memang seram, tapi lama-kelamaan saya dah terbiasa. Tapi pada malam itu terasa sangat seram. Saya terpaksa lalu di depan dua gereja untuk jalan naik ke bukit. Waktu saya jalan, tiba-tiba loceng besar kedua-dua gereja itu berbunyi! Di salah satu gereja itu ada tanah perkuburan, tetapi terlindung dengan pokok besar dan pagar.


Saya dah mula rasa takut tetapi saya fikir mungkin di negara orang putih tidak ada hantu. Saya naik bukit dan mula berjalan di kawasan yang lebih lapang yang saya ceritakan awal tadi. Saya tak berani memandang tepi ke arah kawasan yang lapang itu. Saya rasakan seperti ada orang mengikut saya dari belakang sebab bahagian badan belakang saya rasa meremang. Tambah lagi, waktu itu pula saya sedang mengalami waktu tertentu yang sering kaum wanita alami. Faham-faham sajalah.


Saya rasa memang silap besar saya pulang lewat pada malam itu. Saya pasang muzik di telefon bimbit saya sambil mendengar lagu kuat-kuat sampailah saya sampai ke rumah. Saya cepat-cepat masuk ke dalam rumah, letak jaket saya semua dan terus masuk ke bilik. Saya cuba untuk tidur malam itu tetapi saya rasa tidak sedap hati. Selama satu minggu itu, saya rasa tak sedap hati. Setiap malam saya akan selalu terbangun antara pukul 3-4 pagi. Sampailah salah satu malam, saya sedang tidur dan saya termimpi mimpi yang seram!


Saya mimpi ada hantu cuba untuk kacau saya sampailah pada satu tahap dalam mimpi itu saya cuba membaca surah-surah yang saya tahu. Mula-mula baca memang lancar tetapi lama-kelamaan mulut saya rasa susah nak terbuka dan suara saya pun tak boleh nak keluar. Saya rasa macam tekak saya terjerat dan seperti diikat. Saya cuba dan cuba lagi tapi tidak boleh. Saya cuba sedaya-upaya untuk menjerit "Allahu Akbar". Saya cuba dan cuba lagi sampailah saya boleh. Akhirnya, mulut saya dapat melaungkan takbir. Masa saya menjerit dalam mimpi itu, terus saya terjaga dan perasan mulut saya sedang cuba untuk laungkan takbir.


Memang ketika terjaga itu, mulut saya terasa berat tapi saya rasa macam tidak dapat mengawal diri dan saya terus cuba melaungkan takbir. Saya tengok keliling bilik saya, semua gelap. Saya cuba untuk tidur balik, tiba-tiba terdengar ada orang ketuk pintu saya dengan kuat. Kuat sangat seperti hendak pecahkan pintu. Saya sangkakan keluarga tumpangan saya tetapi selepas seminit tidak ada orang yang mengetuk pintu. Saya rasa takut terus tidur semula. Keesokan harinya, saya hubungi ibu bapa saya yang berada di Malaysia dan bertanya apa yang patut saya lakukan. Ayah cadangkan saya untuk pasangkan surah Al-Qur'an sepanjang malam menerusi telefon bimbit saya. Selepas itu memang keadaan kembali normal. Tapi ada juga satu kali saya terbangun sekitar pukul 3 pagi, dan saya terlihat bahawa bacaan surah Al-Quran seperti ada orang yang menekan fungsi "Pause"...


Akhir Kisah Kedua...

119 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
bottom of page