top of page
Search

Kisah Pelajar Pertukaran Di Switzerland (Bahagian Ketiga)

Salam sekali lagi buat para pembaca blog Malam Seram,


Diharapkan anda semua terhibur dengan dua kisah awal dari saya Aliah yang kini berada di Switzerland sebagai seorang pelajar pertukaran. Kisah ketiga saya ini lebih ringkas dari kisah-kisah awal sebelum ini dan ia berkenaan dengan besmen rumah yang saya menetap sekali lagi, kisah yang telah saya kongsikan kelmarin di bahagian pertama dalam siri kisah-kisah pengalaman peribadi saya menetap di Switzerland.


Saya terlupa untuk menceritakan dengan lebih terperinci tempohari. Di besmen rumah saya ini ada tiga bilik. Bilik yang dikhaskan untuk mencuci kain baju memang terletak berhadapan dengan tangga. Bilik-bilik yang lain merupakan bilik stor dan juga bilik yang dikhaskan untuk keluarga yang menumpang saya ini bertukang. Mungkin anda pernah menonton dan melihat rumah yang serupa dalam filem-filem atau rancangan-rancangan televisyen dari Barat sebelum ini. Ada juga rumah orang Barat yang menggunakan besmen untuk menyimpan arak (wine) kerana mereka percaya sesetengah arak (wine), rasanya akan lebih sedap mengikut peredaran masa.


Nak dijadikan cerita, saya sedang mencuci kain baju saya di bilik mencuci kain ini. Seusai sudah melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan, saya matikan lampu dan naik atas tanpa menutup pintu bilik itu. Dah naik separuh tangga, tiba-tiba lampu bilik mencuci kain itu boleh pula hidup dengan sendirinya. Kalau benda ini terjadi di Malaysia memang saya akan tinggalkan saja, tetapi saya menetap dengan keluarga orang putih, saya kenalah matikan, takut-takut nanti mereka sangkan yang saya membazir tenaga elektrik.


Saya mengucap dan beranikan diri untuk masuk semula dan matikan lampu. Saya tunggu beberapa ketika supaya lampu tak hidup semula. Dah siap dan baru saja nak keluar dari bilik itu, tiba-tiba lampu bilik lain pula yang hidup! Masyallah! Tapi yang itu saya tak berani pergi matikan sebab bilik itu agak jauh ke sebelah kanan. Lagipun tidak ada orang yang masuk bilik itu. Saya biarkan saja dan terus lari ke atas.


Kini saya dah setahun lebih di Switzerland. Saya pun dah terikut macam orang sini, hati kental tak takut dengan apa-apa. Tengah malam saya boleh berjalan dalam hutan dengan salah anggota keluarga tumpangan saya yang rapat dengan saya kerana kami sama-sama perempuan dan hampir sebaya usia kami berdua. Malam-malam pun kadangkala kami akan naik bas ke atas bukit. Di situ ada satu tasik yang besar, dan kami suka berbarbeku dan mandi di situ walaupun dah lepas 10 malam.


Sampai di sini saja tiga kisah seram saya. Selamat Malam Seram!

118 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page