Assalammualaikum...
Saya PakSu, berasal dari Sungai Petani, Kedah Malaysia. Kisah seram saya ini terjadi awal tahun ini dan kejadian kedua baru berlaku dua bulan lepas. Saya bekerja sebagai pemandu Treler Kontena di dalam pelabuhan kontena di utara tanah air Malaysia ini. Saya bekerja syif 12 jam, 5 hari siang dan 5 hari malam. Kami diberi amanah untuk mengambil tong kontena yang berisi dari gerabak keretapi dan hantar ke blok yang diaturkan dalam sistem.
Kejadian pertama jadi dalam pukul 3.30 pagi. Ketika itu saya dan rakan-rakan baru selesai menghabiskan kerja. Jadi masing-masing mengambil tempat untuk lelapkan mata sekejap sementara nak tunggu gerabak keretapi seterusnya masuk pula. Ada yang baring tepi blok kontena kosong, ada yang baring di depan ofis, dan saya seperti biasa di tempat kegemaran saya, di tepi landasan keretapi.
Untuk gambaran jelas, saya cuba perincikan lokasi saya berehat. Di sebelah kiri saya kawasan lapang yang diletakkan kontena-kontena untuk kastam buat pemeriksaan, kiranya di situ saya dan pemandu kren pengangkut kontena saja yang ada, tapi masing-masing dalam jarak 10 hingga 25 meter, dan dia berada nun jauh di atas kren dan saya di bawah. Kalau nak jumpa orang lain di persekitaran hanya di kantin yang terletak kira-kira 200 meter jauhnya. Betul-betul di sebelah kanan saya merupakan landasan keretapi, dan di sebelah kanan landasan pula lebuhraya.
Kawasan saya berehat itu memang cerah dengan cahaya lampu yang datang dari tiang-tiang lampu di lebuhraya. Lebuhraya itu dah macam litar lumba pada malam minggu, penuh dengan Mat Rempit yang berlumba haram. Rasanya dah berpuluh kes kemalangan maut yang membabitkan Mat Rempit ni, tapi masih tak serik juga mereka ni. Baru-baru ni pun ada kes Mat Rempit maut kerana melanggar belakang kereta. Kejadian ini berlaku ketika saya terlelap sekejap dalam 15 minit, buka saja mata orang dah berkumpul ramai di tepi lebuhraya itu. Mangsa meninggal di tempat kejadian. Tempat saya rehat ni memang ada terletak papan tanda yang menyatakan bahawa kawasan ini "KAWASAN KEMALANGAN MAUT".
Malam kejadian merupakan malam minggu, awalnya memang ramai Mat-Mat Rempit berlumba, tapi selepas pukul 3 pagi dah lengang lebuhraya tersebut. Malam itu saya tak tidur sebab mata rasa segar semacam, sedikit pun tak rasa mengantuk. Ketika berehat, saya mendengar lagu di telefon bimbit dan hisap rokok saja sambil tengok ke arah lebuhraya. Dari jauh saya ternampak ada seorang pemuda menaiki motor jenis Honda EX5. Kawasan lebuhraya itu cerah, nampak dari jauh agak perlahan dia membawa motornya, memang nampak macam berat sangat.
Ya Allah! Bila dia lalu di depan saya yang jaraknya saya anggarkan dalam 20 meter, jelas kelihatan susuk makhluk hitam sedang bertenggek di tempat duduk belakang motor itu. Saya terus beristighfar dan berdiri semua bulu roma saya.😅 Apalah nasib pemuda itu, bawa balik ke rumah agaknya hehehehe. Saya rasa pemuda itu baru pulang dari bekerja. Allahu kesiannya...
Kejadian kedua terjadi dua bulan lepas, sekitar pukul 3 ke 4 pagi. Keadaan dalam blok waktu-waktu seperti ini memang lengang, adalah satu dua blok yang meriah sikit dengan geng kapal ambil kontena untuk hantar ke kapal. Blok lainnya lengang, gelap sebab terlindung dengan kontena-kontena yang disusun tinggi. Sesetengah tempat sahaja terang sebab dekat dengan tiang lampu lebuhraya.
Sedang saya memandu untuk hantar kontena dalam salah satu blok, antara keadaan gelap dan ada cahaya sedikit, tiba-tiba benda itu muncul betul-betul di depan cermin depan lori saya. Kelihatan makhluk yang hitam berdiri tegak. Mengucap panjang saya! Macam biasa berdiri habis segala bulu roma badan saya, meremang tengkuk dibuatnya. Tekan brek secara mengejut tapi biasalah brek lori bukannya boleh berhenti dengan serta-merta. Saya rempuh jugalah lembaga itu. "Mati" sekali lagi lembaga itu kesian...😅
Habis syif malam pada minggu itu, semasa berada di rumah bila tidur saja sekejap-sekejap saya terjaga, tak dapat tidur dengan nyenyak. Seminggu lamanya saya mengalami seperti itu, sampailah saya berjumpa pakar yang dapat mengubati saya dan membuatkan air penawar menerusi bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an. Alhamdulillah selepas itu bukan saja saya dapat tidur dengan nyenyak, malah terlebih tidur!
Sekian cerita yang tak berapa nak seram dari saya. Terima kasih kerana mengutarakan cerita saya ni. Assalammu'alaikum. Selamat MALAM SERAMMMM...
Comentários