(Sambungan kisah dari Elias...)
Kejadian ini berlaku di Jalan Hulu Langat. Kisah yang kedua ini betul-betul membuatkan saya trauma untuk keluar lewat malam. Ketika ini saya dan Ameer mengambil jalan yang kedua, iaitu dari Cheras ke Bukit Ampang melalui Hulu Langat. Pada mulanya kami lepak minum dan lepak di sudut pemandangan di Bukit Ampang. Selepas itu Ameer menagajak saya ke kolam air panas. Kolam air panas ini berada di Hulu Langat, dekat sahaja. Selepas melepak dan minum, kami pun beransur gerak ke kolam air panas.
Seperti biasa kami menaiki motor secara berasingan dan bergerak secara bersebelahan. Sebelum sampai di Hulu Langat, saya dan Ameer hendak membuat kerja nakal sedikit, hendak curi topi keledar kononnya, hahaha. Kami masuk tiga simpang. Simpang di jalan Bukit Ampang dan berdekatan dengan lampu trafik Hulu Langat yang menanda ke kiri untuk ke Sungai Gabai / Congkak dan kanan ke kolam air panas / Cheras.
Di simpang pertama, terdapat kawasan perumahan flat empat tingkat, cari punya cari, tiada hasil. Tapi kawasan rumah itu pun gelap juga. Seram rasanya. Masuk simpang kedua, sama juga kawasan flat 4 tingkat. Sampai sahaja simpang ketiga, bukan kawasan flat tetapi kawasan perkampungan. Jalan sempit jadi saya terpaksa berada di hadapan dan Ameer di belakang.
Rumah kampung diperbuat daripada apa? Kayu betul? Seperti rumah dalam iklan Adabi yang mempunyai tingkap kayu kampung. Saya nampak ada satu rumah di mana tingkapnya sudah terkulai dan tergantung ke bawah dan saya boleh lihat ke dalam rumah itu. Gelap dan kebetulan di situ ada beberapa ekor anjing. Ameer terus tegur saya di belakang, “Weh Elias, anjing!“ Saya dengan selamba menjawab, “Alah biarlah, bukan kejar kita pun...”
Di hadapan jalan saya adalah kawasan gelap. Saya nampak pun seram, jadi saya dah nekad untuk membuat pusingan U di situ. Ye lah, kalau ternampak Cik Ponti lagi, sia sia saja. Bila saya sampai sahaja jalan gelap itu dan ingin membuat pusingan U, tiba-tiba Ameer menjerit, "Woii Elias tolong!” Saya merintih dalam hati, apa saja yang si Ameer hendaki?
Saya terus menuju ke Ameer dan bertanya, “Apa hal kau jerit-jerit, kawasan orang ni, kau dah kenapa?” Ameer terus menjawab, “Anjing kejar aku!” Pada masa itu saya tak tahu kenapa dengan diri saya, situasi itu betul-betul mencuit hati saya dan saya gelak macam orang tak ingat dunia. Yelah, orang-orang tua ada berpesan, jangan terlalu suka, nanti musibah datang. Ternyata masin mulut saya! Sepanjang perjalanan ke kolam air panas Hulu Langat, saya gelak sahaja, gelak, gelak dan gelak tanpa henti. Tiba-tiba, enjin motor saya mati!
Saya tidak gelabah dan dalam keadaan gelak ketawa, panggil dan jerit, “Weh! Weh Ameer! Motor aku mati!” Bodohkan aku? Sepatutnya kalau orang lain, mesti dah gelabah. Yelah motor tiba-tiba sahaja mati tanpa sebab dekat tengah-tengah jalan yang sunyi. Ameer patah balik dan terus tanya saya, “Minyak motor kau habis ke?” Saya terus menjawab, “Takkanlah habis, kitakan isi minyak sama-sama tadi?”
Tangan kanan saya pegang kunci motor dan pusing ke kanan, meter motor menunjukkan N (Neutral). Apa yang pelik? Takkan saya bawa motor saya dalam keadaan kunci pencucuh dimatikan? Ikutkan logik, takkanlah saya bawa motor dari Bukit Ampang dalam keadaan enjin yang tak dihidupkan? Pelik betul! Tapi saya masih tak hiraukan keadaan pelik itu dan terus hidupkan enjin motor, jalan dan sambung gelak kerana teringatkan Ameer dikejar anjing tadi. Tak tahu lah apa benda yang dah masuk dalam badan saya ni, hahaha...
Sampai sahaja di kolam air panas, saya letak motor bersebelahan dengan Ameer, matikan enjin, dan tidak berganjak, hanya terus gelak ketawa teringatkan kisah Ameer dikejar anjing. Sudah puas gelak, saya ambil barang peribadi apa yang patut dan terus menuju ke gerai menjual burger berdekatan. Di situ ada gerai menjual burger, di mana si penjual juga yang menjaga kolam air panas itu. Untuk masuk, dikenakan bayaran seorang RM1.00. Saya sudah sediakan RM2.00 dalam poket dan terus hulur kepada abang yang menjual burger itu.
Apa yang memeranjatkan kami adalah abang itu tengok duit kami dan tengok kami, tengok duit dan tengok kami. Perkataan pertama abang itu berkata adalah, “Bukan ke kawan kamu yang seorang lagi dah masuk?” Allahu Akbar! Saya dan Ameer saling berpandangan dan terus menjawab, “Bang, mana ada bang? Kami berdua sahaja!” Tanpa membuang masa, abang yang menjual burger itu membenarkan sahaja kami berdua masuk.
Kami dalam keadaan pelik, mencedok perigi air panas dengan baldi, dan merendamkan kaki. Kami tak masuk ke dalam kolam sebab tak bawa baju lebih. Kami duduk tak sampai lima minit, Ameer terus bertanya, “Elias, kau tak rasa ke apa abang tu cakapkan, betul? Tak nak pergi tanya balik?" Saya pun mengiyakan sahaja dan bersetuju untuk bertanya kembali abang yang menjual burger itu. Kami pun gerakkan kaki menuju ke gerai tadi.
Ameer: "Bang, betul ke abang nampak (konon) kawan kita masuk dalam?" Dia menjawab, "Ya betul, tadi masa korang sampai sini, korang gelak-gelak atas motor, kan?" Kami pun mengiyakan sahaja. Abang itu bertanya pula kepada kami, “Siapa naik motor putih biru (Kriss MR1) tu?“ Saya menjawab itu adalah kepunyaan saya. Dia lantas berkata, “Haaa... Tadi abang nampak budak tu duduk belakang kamu lah...“ Allah, saya dan Ameer terus terdiam.
Dia bersambung, “Masa korang berdua datang nak buat bayaran, budak itu tak ikut sekali. Dia terus menuju ke jalan keluar (kolam air panas) dan berhenti di situ dan pandang Abang. Tak sampai beberapa saat kemudian, dia terus masuk ke dalam menggunakan jalan keluar...” Kami masa tu dah tak boleh terkata apa-apa. Terkejut, seram semua ada. Dia terus tanya kepada kami, “Cuba cerita pada Abang betul-betul, tadi masa datang sini ada apa-apa terjadi ke?”
Ameer menjawab, “Ada, tadi motor kawan saya mati di tengah jalan dan apa yang kami perasan ada simpang besar berpasir di sebelah kiri kami...” Abang itu berkata, "Oh patutlah, sebenarnya jalan itu digelar 'Jalan Makan Darah'. Ramai budak motor mati kena langgar di situ..." Kami terus bertanya bagaimana rupa bentuk budak itu. Dia menceritakan rupanya seperti lingkungan kami berdua, berambut pendek, berpakaian baju belang-belang, berseluar hitam dan tidak nampak apa-apa yang pelik padanya. Sebab itulah abang itu menyangkakan itu kawan kami. Lagi-lagi dia duduk di belakang saya ketika kami sedang gelak-gelak di parkir kenderaan!
Begitulah pengalaman seram saya. Sepanjang perjalanan “ditumpang” saya tak merasakan motor saya berat atau apa-apa. Saya harap kisah saya ini boleh ditonjolkan kepada umum sebagai peringatan janganlah terlalu gembira sehingga tidak mengawal tingkah laku kerana ada yang lain sedang memerhati anda. Terima kasih dan Assalamualaikum...
Comments