top of page
Search

Kisah Seram Di Kampung Amber

Salam KC,

Panggil saya Mak Pon. Saya tinggal di Yishun. Masih ingat bait-bait lagu "Di Tanjong Katong"? Pada zaman 60’an ada sebuah kampung di kawasan Tanjong Katong, namanya Kampong Amber. Rumah Mak di belakang kedai gudang air batu yang menjual air batu berukuran saiz A3. Tinggal di Kampong Amber memang banyak cerita misteri. Ini adalah salah satu cerita yang Mak alami.

Ketika bulan puasa dalam zaman 60’an, umur Mak ketika itu lapan tahun dan kakak Mak berumur sepuluh tahun. Rumah dan dapur dipisahkan dengan satu lorong (maksudnya rumah berdepan dengan dapur). Tandas mandi jauh sedikit dari rumah kami. Agak-agak kena lalu lima buah rumah jarak jauhnya.

Kakak: "Pon, kau nak sahur tak dengan kakak besok dan tengok seorang perempuan yang berada di dapur Che Fatimah Hashim pada pukul 2 pagi?"

Pon: "Apa! Biar betul? Oklah!" (Dalam hati berkata, "Betul ke kakak cakap?")

Kakak: "Janji jangan bagi tahu mak dan bapak..."

Pon: "Ok!"

Rumah kami tidak ada bekalan elektrik, hanya gunakan lampu colok dan bulan. Kakak kejutkan saya pada pukul 2.00 pagi. Kami gunakan lampu colok untuk ke dapur dan ke menuju belakang dapur untuk ambil ubat gigi, gayung dan berus gigi.

Selepas keluar dari dapur dan menuju ke tandas mandi mesti melalui rumah Bu Lek Tuminah, rumah jiran berbangsa Cina, Kee Chong, Nenek Suminter dan baru rumah Che Fatimah Hashim. Saya di sebelah kiri dan kakak di sebelah kanan. Saya sengaja tengok di dapur Che Fatimah Hashim, ada seorang wanita yang berpakaian baju kebaya putih terselindung di sebalik pintu. Rupa parasnya tidak nampak. Hanya samar-samar.

Tandas mandi yang ada ketika itu di luarnya ada paip dan di dalam pun ada juga. Kami pun ambil air dan mencangkung di luar. Saya di depan dan kakak di belakang. Sambil berus gigi, saya memegang gayung dengan sebelah tangan. Tup-tup ada seketul batu masuk ke dalam gayung saya. Terkejut saya dibuatnya!

Kakak: "Pon kau buang batu tu dan ambil air baru..."

Pon: "Kakak nampak tadi?"

Kakak: "Ya, sama macam aku terkena juga. Cepat sikit…!"

Pon: "Ok!"

Sambil berlalu dari tandas mandi, kami lalu lagi di belakang dapur Che Fatimah. Perempuan itu masih ada lagi! Namun tidak bergerak. Dengan pantas kami berlari pulang ke rumah. Mujur tidak ada yang mengekori kami pulang. Maaf sekiranya kisah ini kurang seram, namun bagi seorang kanak-kanak berumur sepuluh dan lapan tahun, ia amat menyeramkan bagi saya...


Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya...


811 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page