top of page
Search

Kisah Seram Di Universiti Di Alor Gajah, Melaka (Bahagian Kedua)...

(Sambungan...)


Keesokan harinya saya tidak pasti samada hendak beritahu Nana dan Mariam atau tidak kerana saya takut mereka akan jadi takut ataupun takkan percayakan saya. Jadi saya ambil keputusan untuk simpan dulu rahsia ini dari semua orang. Hari seterusnya juga tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah hari Khamis malam Jumaat. Selalunya bilik saya akan berempat, walaupun sepatutnya hanyalah tiga orang satu bilik, tetapi disebabkan Mariam yang memang akan tidur di bilik saya setiap hari jadinya berempatlah.


Pada hari Jumaat, kebanyakan kelas tidak ada kerana pelajar ramai suka pulang ke rumah keluarga masing-masing dan kelas yang sepatutnya ada pada hari Jumaat akan diawalkan pada hari lain. Jadi pada hari Khamis, Mariam pun pulang ke KL. Jadi hanya tinggal kami bertiga - Saya, Nana dan juga Liyana. Ketika itu saya masih dalam keadaan tidak bersih. Malam itu, seperti biasa selepas selesai membuat kerja-kerja sekolah, saya pun naik ke atas katil dan baring, cuba untuk tidur. Selalunya Liyana memang tidurnya agak awal, tetapi Nana pula jenis yang tidur lewat sedikit, jadi saya memang tidak akan rasa takut sangat sebab saya tahu kalau apa-apa terjadi, Nana memang tidak tidur lagi.

Tetapi malam itu Nana tidur lebih awal daripada saya, mungkin kepenatan agaknya. Jadi saya pun macam biasa paksa diri untuk tidur dengan membaca Ayat Kursi, doa tidur, berzikir, selawat semua apa yang patut. Masih tidak boleh tidur. Keadaan bilik pun terasa panas, saya jadi memang tak selesa. Saya pusing kiri, pusing kanan, tapi masih tidak boleh tidur. Saya hendak baring di bawah, tetapi saya rasa takut sedikit sebab Mariam tiada jadi saya seorang diri.


Bila dah tak boleh tidur sangat, saya pun ambil keputusan untuk bawa bantal dan selimut ke bawah. Saya cuba paksa diri untuk tidur tetapi masih tidak boleh tidur. Saya tak pasti waktu itu jam berapa sebab saya tak tengok jam. Saya rasa waktu itu mungkin dah pukul 1 lebih pagi. Saya tak puas hati sebab rasa kurang selesa, jadi saya pun bangun dan bawa turun tilam saya sekali tidur di bawah. Saya jadi tidak keruan kerana masih tidak boleh tidur! Saya baring di mana kaki saya berlunjur ke arah katil Nana dan kepala saya di katil Liyana.

Saya baring dan terus membaca doa. Waktu itu sedang saya tutup mata, apabila saya membukanya kerana masih kurang selesa, demi Allah, saya ternampak ada sesuatu sedang duduk di atas hujung katil Nana berdekatan dengan kakinya. Mukanya hitam dan berbaju putih. Masya Allah, lagi sekali saya terkaku tetapi saya tidak mahu kejutkan Nana sebab saya takut ini hanyalah mainan minda saya. Saya pun pusingkan badan saya mengiring ke kiri.


Waktu itu, saya terasa macam ada sesuatu di belakang sebelah kanan saya. Saya rasa tertarik untuk ubah posisi saya. Pada masa yang sama, saya rasa takut sangat dan amat kaku. Disebabkan saya masih tidak boleh tidur, saya pun perlahan-lahan pusingkan badan saya mengiring ke kanan. Tiada apa-apa dan saya pun tutup mata. Beberapa ketika kemudian, saya buka mata saya, BENDA ITU BERSILA DI HADAPAN SAYA, SUBHANALLAH! Memang berbaju putih, ternampak bentuk muka dan berambut hitam!


Jantung saya berdegup kencang dan badan saya berat tidak boleh bergerak. Saya tutup mata dan menyebut nama Allah. Sebaik sahaja saya buka mata, saya memang tak fikir banyak, saya terus kejut Nana dan saya kongsi tidur di sebelah katilnya yang merupakan katil perseorangan. Saya dah tak kisah kalau Nana nak marah ke apa, yang saya tahu saya selamat. Mujur Nana tak marah, malah dia tidak sedar pun saya tidur di sebelahnya, maklumlah dia tidur mati. Alhamdulillah selepas itu saya terus boleh tidur.


Saya masih tidak menceritakan apa yang berlaku minggu itu pada sesiapa pun sehinggalah di hujung semester. Tapi sampai situ sahaja gangguan yg saya lalui. Amat menyeramkan. Kalau nak cerita tentang gangguan di kolej tersebut memang banyak. Sampai kami pernah diarahkan untuk berkurung di dalam bilik, kunci pintu, tutup tingkap semua. Ada juga kejadian di mana seorang pelajar wanita berdiri di depan pokok besar dan bercakap seorang diri. Orang kena rasuk jam 2-3 pagi pun banyak. Alhamdulillah saya hanya terkena dua gangguan itu sepanjang saya di sana.


Cuma sejak kejadian itu dan semester seterusnya saya memang mengalami perkara yang sama di mana saya memang susah untuk tidur sampai saya sendiri rasa tekanan. Saya tidak tahu sama ada itu adalah gangguan ataupun fikiran saya sendiri tapi saya memang tidak boleh dan susah untuk tidur sepanjang saya menetap di kolej tersebut selama dua semester. Selepas kejadian tersebut, saya dan Nana akan tidur di bawah bersama-sama kerana Nana tahu saya takut. Alhamdulillah sekurang-kurangnya saya rasa selamat.


Itu sahaja daripada saya. Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya ini. Insya Allah nanti saya akan kongsikan lagi kisah seram yang berlaku di rumah sewa saya. Assalamualaikum dan Selamat Malam Seram!

305 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page