Assalammu'alaikum,
Saya peminat tegar Malam Seram. Nama saya Adlina (bukan nama sebenar), berasal dari Selangor, Malaysia. Kisah seram saya ini berlaku sewaktu saya baru memasuki universiti di Alor Gajah, Melaka. Saya tahu ramai pendengar mengenali universiti tersebut kerana memang banyak kisah-kisah seram yang berlaku di kolej-kolej atau lebih dikenali sebagai hostel pelajar.
Kisah ini berlaku pada tahun 2016, di mana saya ketika itu mendapat tawaran untuk sambung belajar di universiti tersebut. Memang waktu orientasi saya banyak mendengar cerita pelajar-pelajar di sana di mana mereka ternampak banyak makhluk halus ketika berjalan di lorong yang digelarkan sebagai "Karak" di situ. Ada yang ternampak makhluk yang sedang merangkak di sebelah pelajar yang beramai-ramai sedang berjalan hendak pergi ke dewan tetapi Alhamdulillah sepanjang minggu orientasi, saya tidak pernah diganggu.
Setelah minggu orientasi, pelajar direhatkan dalam masa seminggu sebelum bermulanya kelas. Tak silap saya ketika itu bermulalah bulan suci Ramadhan. Jadi macam biasa, saya agak positif setiap kali tibanya bulan Ramadhan kerana saya yakin semua syaithan termasuk makhluk halus akan diikat hahahahaha. Sebab saya orangnya bukanlah berani sangat. Maklumlah, ini pertama kali saya berjauhan dengan keluarga dan duduk di kolej, jadi saya akan terlebih berfikiran sedikit, lebih-lebih lagi saya banyak terbaca tentang kisah misteri tentang universiti ini. Tapi Alhamdulillah tiada gangguan terhadap saya yang berlaku sepanjang Ramadhan. Sehinggalah seminggu selepas cuti Aidilfitri.
Saya banyak mendengar cerita di mana terdapat sebuah tasik berhadapan perpustakaan di universiti itu yang ada kisah seramnya sendiri. Banyak perkara berlaku di mana mereka yang melalui tasik tersebut akan diikuti oleh sesuatu makhluk. Ada juga yang dirasuk di perpustakaan pada waktu malam, ada juga ternampak kelibat di dalam tasik tersebut. Jadi saya memang akan mengelak dari melalui tasik tersebut pada waktu malam.
Sebenarnya benda ini tidak menjadi masalah pada saya kerana saya bukanlah jenis yang suka berjalan. Tetapi pada satu hari ini, tidak silap saya pada hari isnin, selepas cuti raya Aidilfitri, terdapat satu acara yang diadakan oleh pelajar yang diadakan di sebuah dataran berdekatan dengan perpustakaan tersebut. Untuk pergi ke sana, kami semua perlu melalui jambatan untuk melintasi tasik tersebut. Sebenarnya ada jalan alternatif lain tetapi ia agak jauh sedikit. Kebetulan, teman sebilik saya terlibat dengan acara tersebut jadi saya pun pergi untuk berikan sokongan. Saya berjalan bersama rakan yang lain melalui tasik tersebut untuk ke dataran itu.
Setelah selesainya acara tersebut sekitar jam 12 malam, saya dan rakan pun berjalan beramai-ramai melalui tasik tersebut. Ketika itu saya tidak mahu berfikir apa-apa, lagipun saya ketika itu berada dalam keadaan yang tidak bersih (haid). Sepanjang perjalanan tersebut, saya hanya berdiam dan berselawat dalam hati. Setibanya di kolej, saya basuh kaki basuh muka, tukar baju semua dan baring di atas katil. Bilik di kolej saya terdapat tiga orang satu bilik. Satu katil dua tingkat dan satu katil perseorangan. Katil saya di tingkat sebelah atas. Katil perseorangan bersebelahan dengan pintu. Jadi di tengah-tengah ruang tersebut terdapat ruang untuk solat ataupun untuk baring.
Teman yang berkongsi sekatil dengan saya, Liyana (bukan nama sebenar), sudah pun tidur tetapi teman seorang lagi, Nana (bukan nama sebenar), belum pulang dari acara awal tadi kerana ada hal yang perlu diselesaikan. Saya cuba untuk tidur tetapi masih tidak dapat lelapkan mata. Badan saya terasa panas sangat. Nak berselimut pun rasa bersalah. Saya rasa tidak tenang dan ada sesuatu yang tidak kena. Jadi saya pun turun ke meja belajar untuk ambil alat berzikir. Saya berzikir tetapi masih belum boleh tidur. Waktu itu masuk jam 2 pagi. Kemudian seorang rakan saya bernama Mariam (bukan nama sebenar), datang ke bilik untuk tumpang tidur. Mariam memang setiap malam akan tidur di dalam bilik saya sebab dia lebih selesa di sini, maklumlah kami berkawan sejak sekolah rendah lagi. Jadi bila Mariam masuk, saya jadi lebih tenang sedikit tetapi masih tak boleh tidur dan tidak lama kemudian, Nana pun pulang. Saya masih di atas katil cuba untuk memejamkan mata tetapi masih tidak boleh.
Saya kurang berasa takut kerana saya dapat mendengar Mariam dan Nana sedang bersembang perlahan. Jadi saya pun ambil keputusan untuk turun dari katil membawa bantal dan selimut saya tidur bersama Mariam di ruangan tengah bawah katil tersebut. Tidur di bawah lebih sejuk sebab kipas siling akan berada betul-betul di atas. Saya masih lagi mencuba untuk tidur, waktu itu sudah pun jam 3 pagi. Saya masih berzikir untuk tidur. Ketika itu Mariam dan Nana masih bersembang. Saya membelakangi Mariam ketika itu dan tiba-tiba, badan saya terasa amat berat Allah sahaja yang tahu. Saya seperti dihempap! Tidak boleh bergerak dan saya seperti separa sedar.
Tiba-tiba, ada satu suara perempuan yang sangat halus dan menyeramkan di telinga kiri saya. Suaranya seperti wanita tua yang menyeramkan. Dia berkata, “Kenapa tak tidur lagi? Kalau takut, peluklah Mariam... Hehehehe...” Masya Allah waktu itu saya memang boleh dengar lagi suara Mariam dengan Nana masih bersembang di sebelah saya tetapi saya memang dengar dengan jelas suara tersebut. Badan saya memang kaku ketika itu dan tak boleh bergerak. Benda itu seolah-olah tahu yang saya agak ketakutan dan tidak boleh tidur malam itu. Jam pun sudah pukul 4 pagi dan saya masih belum tidur, kelas esoknya pukul 8 pagi, selalunya memang saya akan bangun pada jam 5 lebih pagi. Akhirnya saya buat keputusan untuk tidak tidur. Lama-kelamaan Mariam dan Nana pun tidur. Tetapi gangguan bukan setakat hari itu sahaja.
(Bersambung...)
Comentarios