top of page
Search

Kisah Seram Hostel dari Ayen (Bahagian Pertama)

Salam & selamat malam kepada KC dan para pembaca blog Malam Seram,


Panggil saya Ayen. Di sini saya ingin berkongsi sebuah cerita para pelajar yang menuntut di Universiti Awam Malaysia. Saya ingin menceritakan tentang kakak saya semasa ingin melanjutkan penggal baru di Universiti. Biasanya untuk masuk penggal baru, kami akan bersihkan bilik dan juga pasang surah-surah suci dengan tujuan menandakan mahu menetap di situ, tetapi jika terlupa, mungkin kami akan terkena ganguan dari makhluk-makhluk yang tidak sepatutnya.


Kejadian berlaku pada siang hari di mana kakak saya ingin membersihkan kawasan bilik hostelnya. Saya sendiri dapat tengok keadaan biliknya. Terpulang pada andaian semua yang membaca, kakak saya mendapat bilik sewanya dan menetap bersendirian berbanding dengan bilik lain yang kebanyakannya dihuni dan dikongsi oleh dua orang. Biliknya betul-betul berdekatan dengan bilik air. Bila saya dengar kakak saya bercerita, saya rasa meremang dan kasihan dengannya.


Sebelum saya lanjutkan cerita, izinkan saya berkongsi sedikit tentang perwatakan kakak saya ini. Dalam keluarga, dia seorang yang pelik sedikit, mungkin kalau ada pakar yang melihat keadaannya akan berkata bahawa hijabnya terbuka, Wallahu'alam. Mana taknya apabila pelajar tahun akhir membuat solat hajat sekitar musim peperiksaan UPSR, dia pula buat solat hajat dengan niat untuk buka hijab. Tak ke mengundang benda-benda yang tak diingini kalau dimakbulkan?


Awal ceritanya bermula semasa beliau ingin mengemas bilik. Menerusi jelingan matanya, kakak ternampak susuk lembaga putih melintas dari bilik ke arah tandas. Selalu orang berkata di bahagian tepi mata kita terletaknya hijab dan dari situ kita boleh nampak makhluk halus. Kerana pandangannya yang terbatas, kakak saya pandang seimbas lalu, dengan sangkaan mungkin hanya sebuah ilusi ataupun permainan mata. Kakak pun sambung kemas bilik, sapu dan mengemop lantai semua, tetapi ada satu perkara dia terlupa. Dia terlupa hendak mengaji atau sekurang-kurangnya memutarkan bacaan ayat-ayat suci di dalam bilik itu.


Jadi apakah yang terjadi pada kakak saya? Dia pun tertidur pada waktu petang sehinggalah hendak masuk ke waktu Maghrib. Pada waktu senja itu dia pun hendak bangun tetapi tidak boleh kerana tiba-tiba badannya seperti ditindih oleh sesuatu. Dahlah duduk seorang diri dalam bilik, mulutnya pula terkunci dan tak boleh nak cakap atau menjerit. Mungkin sebab dia penat sangat mengemas aagaknya, jadi kakak hanya membaca Ayatul Kursi di dalam hati, dengan niat agar dia terlepas dari ditindih.


Malang buatnya lagi, dalam keadaan dia meronta-ronta untuk bangun dari katil, kedengaran satu jeritan dari seorang perempuan bertempik kuat di telinga kakak saya. Sekali lagi kakak cuba menjerit sekuat-kuatnya untuk melepaskan diri. Mujur kakak bernasib baik dan akhirnya terlepas dari tindihan itu. Namun sewaktu kakak saya menjerit, sebenarnya tiada sesiapa yang menetap di bilik-bilik sebelah yang mendengar. Seusai waktu Maghrib, kakak terus memutarkan bacaan ayat-ayat suci sehinggalah keesokan harinya dan perkara ini dia ulang selama seminggu selepas itu. Alhamdulillah tiada gangguan selepas itu...


(Berakhir Bahagian Pertama...)

837 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page