Assalamu'alaikum KC, Nama saya Sharifah. Saya ingin berkongsi sebuah pengalaman yang hingga kini masih saya ingat dengan jelas, sewaktu saya berumur 11 tahun di salah sebuah sekolah di kawasan West Coast. Bangunan sekolah tahun 80an ini terletak di antara dua taman yang besar di barat Singapura, iaitu Clementi Woods dan West Coast Park. Kedua-dua taman tersebut terkenal dengan pelbagai kisah yang menyeramkan. Ada pula yang berkata disebabkan kedua-dua taman berada berdekatan dengan sekolah ini yang membuatkan ia menjadi lebih menakutkan. Bangunan sekolah ini sudah tidak digunakan sebagai sekolah lagi dan telah bertukar fungsi untuk salah sebuah syarikat swasta. Bangunannya masih sama sahaja. Saya dan adik saya biasa mendengar pelbagai kisah-kisah seram yang dialami rakan-rakan semasa kami bersekolah di situ seperti ternampak perempuan berambut panjang duduk di bangku piano di Bilik Muzik dan bayangan wanita di cermin bilik air tingkat satu - beberapa orang murid-murid perempuan terjerit-jerit lari lintang-pukang keluar dari bilik air itu. Terdapat juga sebuah bilik darjah yang tidak pernah digunakan mana-mana guru - bilik itu hanya mempunyai berderet-deret loker yang nampak lama dan kerusi meja tersusun seperti bilik darjah yang lain, tetapi yang peliknya memang tidak digunakan. Kepala yang terapung-apung pernah dilihat dua orang murid di dalam bilik tersebut. Bangunan sekolah ini empat persegi, di tengah-tengah sekolah terdapat sebuah kolam ikan, di sebelah kiri kolam itu terletak bilik air dari tingkat satu hingga ke tingkat tiga, dan berhadapan bilik air itu terletak tangga. Di sebelah kanan kolam ikan itu pula terletak pejabat guru besar dan di hadapannya juga sebuah tangga. Kededua tangga ini mempunyai kisah-kisah yang tidak baik. Sudah beberapa murid-murid jatuh di situ - sehingga ada yang terseliuh dan ada juga yang tidak boleh bangun akibat terasa kaki ditarik oleh makhluk. Sewaktu saya berumur sebelas tahun atau darjah lima, bilik darjah saya berada di tingkat paling atas iaitu di tingkat tiga. Bila lonceng sekolah berbunyi tanda masa rehat, kami murid-murid semua akan bergerak menuju ke kantin. Saya ingat masa itu sedang turun tangga sambil berbual-bual dengan teman baik saya. Ada juga beberapa murid-murid lain di hadapan dan di belakang kami. Entah kenapa, tiba-tiba, walaupun saya tidak lalai, saya terlepas satu langkah dan hilang kawalan. Kaki saya terus-menerus turun beberapa langkah di masa yang sama hingga sampai di lantai. Terumbang-ambing jadinya seperti kartun, dan jantung macam hendak putus. Seterusnya harus turuni lagi satu baris tangga.
Belum sempat perasaan gerun hilang, perkara yang sama berlaku sekali lagi. Tangan saya terkapai-kapai kerana cuba untuk tidak jatuh dan saya juga terpekik ketakutan. Apabila akhirnya tiba di tingkat satu, saya mengusap dada kerana jantung berdebar-debar. Yang menghairankan, kawan saya daripada tadi terus berbual-bual dengan saya seolah-olah tidak perasan langsung yang saya hampir jatuh di tangga. Bila saya bertanya kepadanya, dia tengok muka saya dengan hairan sekali, seperti saya berbual mengarut. Tidak ada murid-murid lain pun yang perasan apa yang berlaku pada diri saya. Sepertinya, mereka semua 'dibutakan' penglihatan dan suara saya 'dibisukan' supaya mereka tidak dapat membantu saya sebelumnya. Hairan sekali peristiwa itu. Kecut-perut juga jadinya kerana tangga itu pun dikatakan berhantu. Memang malap tangga tersebut. Saya pasti bekas murid-murid sekolah ini yang terkenal dengan menghasilkan pemain-pemain bolasepak yang telah mengharumkan nama negara, masih ingat lagi kerana kisah-kisah yang berlaku memang seram sekali. Walaupun sekolah itu sudah tidak berupa sekolah sekarang, ia tetap mengingatkan saya pada kenangan manis bersama guru-guru dan kawan-kawan. Pengalaman baik lebih daripada pengalaman seram. Terima kasih, KC. Semoga Malam Seram terus mendapat sokongan. Salam daripada Sharifah.
Comments