top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Kolam Air Bertakung Kranji

Hai semua!


Nama saya Sabrina (bukan nama sebenar). Saya amat suka mendengar kisah-kisah misteri dan seram yang KC selalu ceritakan sewaktu masih di radio lagi hinggalah kini bila KC dah berhijrah ke YouTube. Saya pun ada kisah yang ingin saya kongsikan pada semua. Saya ada "penjaga", yang diberi oleh arwah datuk saya. Namanya Liha, berasal daripada Indonesia. Jika penjaga saya tidak bersama di tempat saya berada, saya menjadi bahan penarik kepada benda-benda yang kami tidak boleh nampak. Itulah yang arwah datuk saya memberitahu saya.


Saya suka menaiki bas yang perjalanannya agak jauh bersama-sama dengan teman lelaki saya bernama Ashraf. Kadang-kadang, kami menghabiskan masa berbual-bual dalam bas dari Choa Chu Kang hingga ke Tampines. Ada satu hari, dia mengajak saya pergi ke Kolam Air Takungan Kranji. Sebenarnya, dia ingin memberi kejutan kepada saya kerana pemandangan matahari terbenam di sana amat indah dan tidak ramai orang tahu akan tempat tersebut. Kalau saya tahu tempat yang dia ingin membawa saya itu, saya dah lama tidak akan rasa setuju.


Terkejut saya bila kami mula menjejakkan kaki di tempat itu. Saya rasa tidak sedap hati tetapi saya melayannya kerana saya tidak mahu menghampakan perasaannya. Tempatnya rupanya merupakan salah sebuah tempat bersejarah, iaitu di mana pasukan tentera Jepun telah bertempur dengan tentera British sewaktu penjajahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Ashraf membawa saya menuju ke bangku yang menghadap kolam air takungan. Ada beberapa orang sedang memancing di kawasan tempat kami berada. Apabila tiba waktu Maghrib, semua orang yang berada di situ telah beredar kecuali kami berdua. Tempat itu menjadi sunyi dan agak menyeramkan!

Kami berdua duduk berbual sehingga tidak perasan pun waktu sudah pukul 9 malam. Saya toleh ke belakang dan terperasan pintu besi yang kami masuk pada awalnya sudah ditutup. Yang peliknya, kalau ada pengawal keselamatan yang tutup pintu besi itu, sudah pasti kami akan ditegur ataupun disuruh beredar. Malah bangku yang kami duduk dan berbual itu memandang ke arah pintu besi itu. Saya dah mula rasa tidak sedap hati sekali lagi.


"B, jom pergi. Tengok pintu besi dah tutup..." saya tegur Ashraf. "Eh? Kenapa pulak tutup? Selalunya saya pergi dengan kawan, pintu tu tak tutup pun!" jawab Ashraf kehairanan. Saya pun pusing ke belakang dan ternampak sesuatu menyangkung di atas pintu besi itu. Saya terkejut. Saya tidak dapat berkata apa-apa dan terus menarik Ashraf untuk tinggal tempat tersebut. Arwah datuk saya pernah memberi saya ayat-ayat (bukan ayat suci biasa...) untuk dibaca tetapi saya tidak berani hendak membaca walaupun saya sudah hafal. Saya cuma ingat kepada Allah SWT sahaja. Dah takut sangat, walaupun saya memang boleh nampak benda-benda ini hampir setiap hari.


Ashraf tahu yang saya ada penjaga. Dia pun mula memegang tangan saya dengan lebih erat. Saya pun tutup mata dan ikut Ashraf. Kami terpaksa panjat pintu besi tersebut. Benda itu masih di atas pintu besi itu. Ashraf tidak boleh nampak, saya pun main peranan dan tidak menegur. Benda itu mula tertawa dengan perlahan. Ashraf cuba memanjat pintu besi tersebut sebanyak tiga kali, seperti ada seseorang atau sesuatu sedang menariknya dari bawah.


Saya mula membaca Ayat Kursi dan ayat-ayat suci yang saya boleh ingat dalam situasi itu. Apabila kami hendak menuju ke perhentian bas tersebut, daripada jauh, saya ternampak pocong sedang berdiri di penghujung perhentian bas Di belakang perhentian bas tersebut kelihatan seperti ada hutan di kawasan belakangnya. "Jom, kita naik bas!" kata Ashraf. Saya pula terhenti dan tidak mahu bergerak. Sambil menutup mata saya, saya pun mula nangis.


"Saya takut... Tak nak pergi sana..." kata saya dalam ketakutan. Ashraf tahu, jika saya cakap saya takut, benda yang saya paling benci dan takut adalah makhluk Pocong. Dia pun mula membaca ayat-ayat suci. Kami jalan di tepi jalan yang cuma satu laluan di kedua-dua arah, banyak lori-lori besar lalu di tepi kami kerana kawasan Kranji merupakan tempat perindustrian dan di mana terdapatnya kilang.

Teman lelaki saya terdengar seorang pekerja yang duduk di belakang salah sebuah lori kecil yang lalu di tepi kami memekik, "Scary, crazy children!" Kami sampai di perhentian bas setelah berjalan jauh dikelilingi hutan yang gelap. Apabila kami tiba di perhentian bas tersebut, khidmat bas sudahpun tamat. Khidmat bas tersebut hanya untuk pekerja-pekerja di kawasan Kranji itu sahaja, Ashraf lupa yang bas yang ingin kami naiki berakhir pada jam 8.45 malam.


Bayangkan, kami bergerak dari tempat awalnya hingga ke perhentian bas dan waktu itu memakan masa sekitar 50 minit. Nak tempah teksi Grab, namun talian hubungannya tidak ada. Kami pun menelefon khidmat Grab untuk menempah teksi untuk menghantar kami pulang. Kami berdua pun duduk di bangku perhentian bas tersebut. Tiba-tiba, ada seorang makcik tua, jalan membongkok, jalan, duduk di sebelah saya. Saya tak nak cakap apa apa. Ashraf pun sama juga. Nenek siapa lah, datang sini pada malam-malam buta seperti itu? Dan dia keluar pun dari lorong kecil di hadapan kami.


Baunya Ya Allah! Kami tidak boleh terkata apa-apa pun; tidak dapat menegur pun. Kami hanya mampu berdoa supaya sebarang teksi lalu di situ dan terus menghantar kami pulang. Saya mula rasa putus asa dan tidak perasan kenderaan apakah yang lalu di perhentian bas itu. 20 minit kami menunggu. Nenek itu tiba-tiba mula tertawa dan mengilai seperti Pontianak. Saya pula ambil alih peranan dan menahan sebuah van yang sedang menuju ke arah perhentian bas kami, sambil berdoa keadaan seram itu akan berhenti.


"Assamualaikum, Adik berdua buat apa kat sini? " tanya si pemandu lori. "Wa'alaikumussalam Cik! Oh kami datang sini untuk lihat matahari terbenam. Kami duduk berbual sehingga tidak sedar sudah tidak ada perkhidmatan bas. Terlupa bas yang lalu sini dah tamat..." Pemandu itu pun pelawa kami, "Masuklah... Masuk. Cik hantar ke jalanraya utama yang ada perkhidmatan bas..." Kami berasa amat berterima kasih. Nasib baik, ada orang juga hendak menolong kami.


Saya pun mula menceritakan apa yang terjadi kepada pemandu lori itu dan penampakan wanita tua pada awalnya. Pemandu lori itu tidak berkata apa-apa melainkan dia memberitahu kami agar jangan datang ke tempat itu lagi. Katanya penampakan di kawasan yang kami berada pada awalnya untuk melihat mata hari terbenam memang agak keras. Mujur kami berdua tidak diganggu ataupun sesuatu yang mengikut kami pulang pada malam itu.


Sekian!

211 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
bottom of page