top of page
Search

KOMPILASI KISAH SERAM HOTEL SAYA TINGGAL


(UNTUK DENGAR MUZIK LATAR SAMBIL MEMBACA TAP "LISTEN IN BROWSER")


As Salam KC,

Nama saya Nur, dari Selangor, Malaysia. Saya ada beberapa kisah-kisah di hotel yang ingin dikongsi dengan pendengar Malam Seram. Saya dan keluarga amat gemar bercuti. Jadi apabila ada masa terluang ibu dan ayah akan mengajak kami adik beradik pergi bercuti. Buat pengetahuan semua, saya adalah anak bongsu, dan saya bukan seorang yang berani, saya juga seorang yang penakut. Kakak-kakak saya juga semua penakut. Kisah pertama ini adalah di Pulau Langkawi. Terdapat sebuah resort di Pantai Chenang, Pulau Langkawi yang mana kami sememangnya selalu ke sana apabila bercuti ke Pulau Langkawi, cuma kali ini nasib saya kurang bernasib baik.

Setibanya kami di resort, ibu dan ayah saya memilih suite dihadapan pantai, manakala kami adik beradik memilih bilik di tepi jalan supaya senang untuk berjalan jalan di mlm hari. Pada hari tersebut, saya membantu ibu dan ayah angkat beg ke bilik mereka yg jauh dari parking dan jauh dr bilik kami, manakala kakak-kakak saya berehat di bilik kami. Selesai membantu ibu dan ayah, jam menunjukkan jam 7 malam. Saya telah menghantar mesej kepada kakak sulung saya bahawa saya akan bergerak balik ke bilik agar mereka tidak mengunci pintu.


Saya kurang pasti apa yg berlaku, tiba-tiba saya mendengar kakak saya menjerit memanggil-manggil nama saya di kejauhan. Seperti tersentak dari lamunan, memandang ke arah kakak saya, rupa-rupanya saya telah berada di kawasan pantai menghayung langkah kaki ke dalam laut. Sepantas mungkin saya berlari ke arah kakak saya. Kakak saya sememangnya tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan saya. dan saya tidak pasti apa yang berlaku, dan saya telah berjalan jauh dari bilik suite ibu ayah menghala ke laut.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah kedua berlaku di resort yg sama di percutian yg lain. Seperti selalu ibu dan ayah tinggal di suite berhadapan pantai dan kami tinggal di bilik hotel. Kali ini berlaku di dalam bilik hotel kami. Kami dapat 2 katil single dan kami rapatkan agar menjadi 1 katil besar. Setelah selesai seharian berjalan di pekan, kami makan malam di Pantai Chenang dan kemudian kami kembali ke hotel.

Malam itu kakak saya tidur dahulu kerana kepenatan, maka saya masih melayan mata untuk tidur sambil menonton televisyen. Saya pun terlelap. Tiba-tiba saya terasa seperti terawang-awang, saya terus membuka mata dan katil saya telah diangkatsenget ke sebelah kiri membuatkan saya hampir-hampir jatuh ke atas kakak saya yg nyenyak tidur. saya memegang kuat tilam bagi mengelakkan dari jatuh. Saya memanggil-manggil kakak saya untuk mengejutkan dia agar dapat membantu saya yang terbalik, malangnya dia tidak terbangun dari tidur. Setelah beberapa ketika, katil saya dihempas jatuh semula dan saya masih tidak percaya atas apa yang berlaku. Pagi hari, setelah kakak saya bangun pagi, saya bertanya, " kak, kau tidur mati ke? aku kejut kau bagai nk gila minta tolong langsung tak bangun." Kakak saya jawab, " Fuh, tak dengar apa pun, tapi nasib baik la kau yang kena."

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah seterusnya berlaku di sebuah hotel di Kuantan, Pahang. Sewaktu keluarga saya bercuti di sana, kami berlima memilih untuk mengambil 2 bilik bersebelahan di lantai bawah kerana hotel ini tiada lif, dan ibu ayah saya agak uzur untuk naik tangga. Maka kami ditempatkan di bahagian blok paling hujung di hotel ini. Bilik saya dan kakak-kakak, ada 1 katil single dan 1 katil queen.

Malam hari, kakak-kakak saya malapkan lampu bilik untuk tidur. Dan saya agak sukar untuk tidur awal seperti kakak-kakak saya. Maka saya menonton televisyen seorang diri. Jam menunjukkan pukul 1 pagi dan saya masih belum mengantuk. Tiba-tiba saya terdengar ada suara wanita dari arah bilik air, "aku dah balik....aku dah balik". Saya maca, eh? balik mana lak dia ni? sebelah ni kan bilik ibu ayah? silap bilik barang kali. Kemudian suaranya bertukar kepada menangis sayu sela dengan hilai ketawa mengulangi ayatnya tadi, "aku dah balik".


Saya risau. Suara itu semakin jelas dan bergema di dalam bilik. Saya terus memeluk kakak saya. Dia terus terkejut memarahi saya. Saya cakap, jangan bising, tadi aku dengar ada perempuan cakap dia dah balik. Kakak saya cakap kuatkan suara televisyen, aku tidur dulu. Kakak saya seorang lagi terbangun kerana bising. Kakak saya bertanya kenapa bising? Saya cakap, tadi ada suara perempuan cakap dia dah balik. Kakak saya terus, haa tidur dulu wei. Maka kakak-kakak saya masing-masing telah tidur dan meninggalkan saya keseorangan ketakutan. Malangnya, suara itu tidak berhenti di situ. Suara itu berada didinding sebelah pula. Bersambung dengan hilai tawa, tangisan mendayu-dayu. Suara ini berlarutan sehingga jam 4 pagi.


Saya bangun pagi dalam keadaan mengantuk. Saya manja dengan ibu ayah, telah mengadu kepada ibu ayah apa yang berlaku. Ibu dan ayah saya tidak mahu apa apa perkara tidak diingini terjadi, maka kami keluar dari hotel berkenaan dan pegi ke hotel lain.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah seterusnya berlaku di Perak. Kami sekeluarga telah beberapa kali ke resort ini. Tetapi pada kali ini saya telah menemani kakak saya yang berkursus di sebuah resort di Perak. di sini terdapat cottage-cottage kecil yang pelbagai jenis rekabentuk dimana di dalamnya terdapat kolam persendirian. Kami dapat 1 cottage yang agak besar dan paling hujung dimana berdekatan dengan kawasan hutan. Terdapat 3 bilik, 1 dapur, 1 ruang tamu. ruumah ini berbentuk empat segi, maka setiap penjuru terdapat 2 bilik dan 1 pintu utama. Setiap ruang dilengkapi dengan pintu sliding kaca. Ia amat cantik kerana di tengah-tengahnya ada kolam dan taman tidak berbumbung. di tepi kolam itu terdapat 2 pokok kelapa sawit menghiasi taman dan kolam berkenaan. Sememangnya amat cantik dan menenangkan. Semasa kakak saya berkursussepanjang hari dan pulang jam 11 malam, saya hanya berada di cottage berehat seorang diri.

Saya suka keadaan yang sunyi sepi dan tenang sebegini. Tiada gangguan. Selepas maghrib, saya berada di dalam bilik melayan telefon bimbit. Kedengaran seperti ribut di luar. Angin bertiupan kuat sehingga desiran pokok kelapa sawit kedengaran jelas. Lantas, saya keluar dari bilik untuk melihat kedaan sekeliling di taman sambil menyalakan lampu-lampu di koridor. "Eh, takde pulak angin ni. Baru nak rasa kesejukkan malam di dalam hutan" Saya pun masuk kembali ke bilik. Desiran daun sawit tadi kedengaran lagi, "Wah wah, kuat angin ni, kejap datang kejap pergi." Saya keluar kembali melihat taman setentang dgn bilik saya. "Hmm... lari lagi angin ni.." Maka saya kembali berehat sementara menunggu kakak saya. Angin masih bertiup kencang diluar. Sakan berhembusan memukul dedaunan. Saya tidak mengendahkan malah seronok mendengar desiran angin malam.

Selang beberapa ketika, saya terasa haus. maka saya keluar dari bilik. Apabila keluar saja, angin pun berhenti kerana tiada kedengaran desiran daun. Saya menuju ke dapur untuk membuka peti ais. Desiran angin kembali kedengaran. Saya mengambil air mineral botol kecil dan menutup pintu peti ais. Saya membuka penutup botol, Mula untuk meneguk air sambil memandang ke taman. Tegukkan, demi tegukkan, sambil mendongak untuk minum. Alangkah terperanjatnya saya. Selama berjam-jam tadi saya mendengar desiran daun-daun sawit, bukan kerana angin ribut. Tetapi seorang wanita berbaju putih yang besar sedang menari-nari tarian yang saya tidak pasti, sambil memegang kedua-dua pucuk pokok kelapa sawit. Muka dan matanya memandang tepat kearah saya. Amat mengerikan. Saya masih memaksa meneguk air sehinga habis, kerana tergamam dengan apa yang menemani saya malam itu. Saya berdoa agar Allah melindungi saya. Moga tiada apa apa buruk yang akan terjadi.

Saya cuba tenangkan diri. Cuba buat-buat tidak nampak akan kehadiran entiti itu. Saya keluar dari dapur, kali ini desiran itu tidak berhenti malah makin galak, cuba untuk menakutkan saya. Saya ke ruang tamu cuba mencari rancangan agama atau siaran bacaan Quran. Saya tidak jumpa, kerana di resort ini hanya sedikit saja siaran yang diberi selebihnya adalah wayang-wayang hollywood. Saya menanti kakak saya pulang, sambil ditemani makhluk itu yg masih berada di atas pokok.


Dipendekkan cerita, saya demam kuat dan saya tidak memberitahu kakak saya apa yang berlaku di dalam cottage ini. Kami pulang ke rumah, saya berjumpa ibu saya dan menceritakan apa yang terjadi. Ibu saya membacakan ayat-ayat manzil di dalam air, untuk saya minum. Alhamdulillah, setelah minum dan berehat saya pulih kembali. Sememangnya sehingga ke hari ini, jika keluarga saya ingin bercuti di situ, saya rela tinggal seorang di rumah dari mengikuti mereka ke sana.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Kisah-kisah sebelum ini berlaku di dalam negara, kejadian aneh, seram, misteri juga tidak terkecuali apabila saya berada diluar negara. Apabila bercuti keluar negara selalunya saya hanya akan pergi dengan kakak-kakak saya. Kejadian kali ini terjadi apabila kami bercuti di Bandung, Indonesia.Kami telah memilih Ibis Hotel. Kami pilih 2 bilik, yangmana 1 bilik single untuk Kak long dan 1 bilik lg utk kakak dan saya. Kami berada di lantai yang sama, cuma jarak bilik kami agak jauh sedikit. Kami kerap ke Bandung, maka kami lebih selesa apabila untuk makan malam dengan memesan penghantaran makanan segera ke bilik hotel.


Pada malam itu, kami memesan pizza dan mcdonald. Setelah membuat panggilan dan menunggu anggaran dalam masa 20minit, pintu bilik kami diketuk. Saya berada didepan untuk membuka pintu dan kakak saya berada dibelakang saya. Saya lihat ada pemuda delivery dari pizza diiringi staf lelaki. Saya membayar dan mengambil pesanan pizza. Tidak lama kemudian, McDonald delivery pula datang mengetuk pintu, anehnya tiada staf yg mengiringinya. Saya rasa marah kerana ia adalah bahaya jika pihak hotel membenarkan sebarang orang untuk naik ke bilik. Tetapi perut sudah lapar, maka kami pun makan beramai-ramai di bilik. Langsung terlupa akan rasa tidak puas hati saya.

Hari berganti hari, tibalah pada hari terakhir untuk kami pulang ke tanahair. Kami bersarapan di hotel agak lama kerana tiada apa hendak dibuat melainkan kemas barang-barang untuk pulang. Jadi masa tengah bersarapan saya berbual dengan kakak-kakak saya. " Hotel ni semua ok kan? Cuma boleh pulak dorang tak teman delivery boy McDonald haritu. Aku geram pulak rasa." Kakak saya berkata," Ko cakap apa ni dik?" "Yela, kan masa pizza datang, ada staf dia iring orang delivery tu. Heran masa McD tak ada pulak." "Kau ni kenapa? Gila ke?" " Apasal pulak? Kau kan ada masa orang tu datang, belakang laki tu kan ada mamat pakai baju samfoo cina warna merah terang yang kosong dengan seluar slack hitam". Kakak saya mendekati saya, "Adik, cuba kau tengok staf-staf sini, ada tak pakaian macam kau nampak? Sebab malam tu aku berdiri belakang kau, orang pizza tu datang seorang saja." Saya pusing melihat pakaian uniform staf hotel. Betul, memang tiada yang berpakaian seperti yang saya lihat malam itu. Siapa pula lelaki yang datang bersama delivery guy sambil senyum manis pada saya?....

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Kisah seterusnya ini masih berlaku di Indonesia, tapi kali ini berlaku di Bali. Saya pergi bercuti dengan kakak saya hanya kami berdua. Dalam perancangan kami, kami ingin ke 'Kecak Dance'. Maka kami memberitahu pemandu pelancong kami, yang kami ingin melihat 'Kecak Dance' ini. Dia pun menempah tiket dan kami duduk barisan paling hadapan.


Memang seronok melihat tarian dan alunan muzik persembahan. Sehingga ke kemuncak persembahan di sudut tepi pentas, terdapat seorang lelaki duduk berlunjur dan ada beberapa orang mengelilingi beliau. Salah seorang daripadanya memegang tempat bara untuk mengasap kemenyan lelaki yang berlunjur itu. setelah dibaca sesuatu lelaki itu akan-akan dirasuk semangat topeng yang dipakai dan dia meneruskan tarian sehingga tamat. Saya dan kakak saya amam seronok kerana kami tidak pernah melihat persembahan sebegini. Jadi kami terus pulang ke hotel.


Setiba di bilik, kakak saya mahu mandi dahulu kerana seharian penat keluar. Jadi saya terus naik ke katil melayan televisyen. Maaf kata, sepanjang percutian saya kali ini badan saya tidak bersih. Sambil menonton televisyen, saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Perasaan saya seperti ada yang memerhatikan saya di dalam bilik. Saya berkata dalam hati, " Ahhh... sudah. Setan mana pulak la yang ikut balik ni. Hai, mana la kau ni. Jangan kacau kakak aku sudahlah." Kakak saya adalah seorang yang lebih penakut dari saya. Jadi saya amat berharap agar ia tidak menganggu kakak saya kerana kami hanya berdua dan di tempat orang. "haih, mana kau ni jangan ganggu boleh tak?"

Kakak saya masih mandi. Dan saya cuba mencari dari mana datang perasaan ini. Saya mencari keliling bilik hotel, sekali saya terpandang ada kepulan asap hitam berterbangan di siling. ke sana ke mari. Saya mula membaca Ayatul Kursi, dan berharap agar makhluk ini pergi. Kakak saya keluar dari bilik air, dan saya bergegas untuk bersihkan diri secepat mungkin. Takut-takut kalau kakak saya pula ternampak. Setelah saya keluar dari bilik air, saya dapati kakak saya telah terlena dibuai mimpi. Tetapi kepulan asap itu masih berapa di dalam bilik buat beberapa ketika. Selama itu juga, saya tidak putus-putus membaca Ayatul Kursi dan memohon perlindungan Tuhan.


Alhamdulillah, segala selesai dan keesokkan harinya, saya lihat bilik kami tiada lagi kepulan asap dan hari hari mendatang kami tidak mengalami gangguan apa apa. Sekian cerita saya untuk pengalaman di hotel.



479 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page